Tiga tahun bina semula skuad ‘Harimau Kumbang’, capai prestasi terbaik – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menetapkan tempoh tiga tahun untuk skuad ‘Harimau Kumbang’ membentuk kembali pasukannya dan bersaing untuk mencapai prestasi terbaik dalam saingan liga.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, tempoh tersebut adalah memadai bagi membolehkan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) membina semula pasukan.

 

“Apabila isu berkaitan FAP dibawa kepada Kerajaan Negeri tahun lalu…bukan sekadar isu cabaran kewangan tetapi turut melibatkan lain-lain isu.

 

“Sebagai Ketua Menteri, saya tidak boleh membiarkan FAP terus ‘karam’ dan perlu memainkan peranan dalam mengatasi masalah yang ada.

 

“(Dan) saya amat berpuas hati dengan pencapaian tahun pertama yang ditunjukkan oleh skuad Pulau Pinang serta tidak menjangkakan akan mencapai prestasi yang begitu cemerlang (musim ini).

 

“Exco (Belia dan Sukan), barisan pimpinan dalam FAP serta pengendali pasukan telah menunjukkan kepimpinan yang baik, begitu juga para pemain yang memberi tumpuan (ketika beraksi) dan bermain dengan amat cemerlang, syabas,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan semua pihak yang terlibat dalam menjulang kejayaan buat skuad Pulau Pinang musim ini.

 

DR. Amar Pritpal (kiri sekali) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Menteri pada Majlis Makan Malam Apresiasi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang dekat sini, tadi. Turut kelihatan, Soon Lip Chee (dua dari kanan) dan Setiausaha Kehormat FAP, Dastagir Mohd. Yassin. 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

 

Turut berucap, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Presiden FAP, Dr. Amar Pritpal.

 

Menyentuh mengenai kemelut yang melanda skuad ‘Harimau Kumbang’ kini yang terlepas saingan di Liga Super, Kon Yeow berharap ia tidak menjejaskan tumpuan para pemain.

 

“Tak apa, mungkin ada hikmah kerana kita kini sedang dalam proses membina semula pasukan.

 

“Anggaplah kemelut itu sebagai suatu cabaran untuk terus bermain dengan cemerlang serta jangan biarkan kekecewaan terus menguasai…sebaliknya teruskan perjuangan. Saya percaya pimpinan negeri dan FAP akan terus berusaha menangani kemelut berkaitan.

 

“(Dan) saya difahamkan, FAP akan menyambut ulang tahunnya yang ke-100 dua tahun lagi (2021), jadi marilah kita berjuang bersama-sama dan capai prestasi terbaik dalam tempoh tiga tahun ini,” serunya yang turut mendapat sorakan keramat ‘Haria Penang Haria’. 

 

Dalam pada itu, Lip Chee percaya bahawa kejayaan skuad kendalian Ketua Jurulatih, Manzoor Azwira Abd. Wahid yang berjaya meletakkan Pulau Pinang di tangga ketiga dalam Liga Premier Malaysia musim ini akan terus kekal cemerlang pada musim hadapan dalam saingan Liga Malaysia.

 

Begitu juga Amar yang memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang 10 perlawanan terakhir dalam saingan Liga Premier Malaysia 2019.

 

“Saya percaya FAP selepas ini akan memberikan tumpuan terhadap pembangunan bola sepak dan membina semula pasukan yang lebih kuat,” katanya ketika ditemui sejurus majlis berkaitan.

 

Difahamkan, majlis makan malam tersebut diadakan sebagai apresiasi kepada skuad ‘Harimau Kumbang’ kerana berjaya layak ke saingan Piala Malaysia musim hadapan.

 

Kali terakhir skuad Pulau Pinang layak ke saingan Piala Malaysia adalah pada tahun 2015.

 

Menyorot kembali 10 perlawanan terakhir dalam pusingan kedua Liga Premier Malaysia 2019, skuad Pulau Pinang berjaya mengharungi saingan tanpa kalah satu perlawanan.

 

Malah, pencapaian terbaik musim ini adalah ketika menentang Sarawak di stadium keramat, Stadium Bandaraya yang mana Pulau Pinang berjaya menjaringkan enam gol.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar & Video : ALISSALA THIAN