Tiger Orchid bakal jadi tarikan utama Rumah Orkid Taman Botani, dibuka hujung tahun

Admin

SELAIN menjadi tumpuan di Gardens by the Bay di Singapura, kepelbagaian spesies orkid yang terdapat di Rumah Orkid dekat Taman Botani Pulau Pinang tidak kurang hebatnya dan bakal menjadi tarikan terbaharu apabila dibuka kepada orang ramai pada penghujung tahun ini.

Pegawai Penyelidik Unit Botani dan Konservasi Tumbuhan, DR. OOI IM HIN berkata bahawa kebanyakan spesies orkid yang terdapat di Rumah Orkid merupakan spesies asli dari seluruh negeri.

RUANG dalaman Rumah Orkid di Taman Botani yang menempatkan 128 spesies orkid.

Menurut beliau, terdapat lebih daripada 128 jenis orkid dipamerkan di Rumah Orkid.

“Sekiranya (projek ini) berjalan lancar serta telah siap sedia, ia dijangka dibuka kepada umum pada hujung tahun ini dan akan menjadi kemuncak tarikan di Taman Botani.

“Tidak mudah untuk menjaga tumbuhan orkid, oleh itu pihak kami telah mewujudkan sesi pendokumentasian terhadap semua spesies orkid yang terdapat di sini dengan penuh teliti,” ujar Im Hin ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara baru-baru ini.

Jelas beliau, persediaan untuk membuka Rumah Orkid juga sudah hampir siap dan bakal memanfaatkan semua pengunjung yang datang.

“Sudah tentu aspek utama membina Rumah Orkid ini adalah sebagai pendedahan kepada masyarakat umum mengenai spesies orkid yang unik dari serata negeri.

“Kini, berbaki bahagian depan (Rumah Orkid) sahaja dan juga penanaman orkid hibrid di bahagian hadapan.

“Setelah dua tahun penangguhan untuk buka secara rasmi, diharapkan tahun ini semuanya berjalan lancar untuk tatapan umum,” ujarnya sambil menekankan kepentingan butiran pertumbuhan orkid dari semasa ke semasa.

ANTARA orkid yang telah berbunga yang sempat ditangkap semasa lawatan sidang redaksi Buletin Mutiara baru-baru ini.

Dalam pada itu, Im Hin turut berkongsi cabaran dalam memelihara dan memulihara serta mengekalkan kesuburan 220 tumbuhan orkid yang ada.

“Pihak kami perlu bersabar menunggu orkid berbunga sebelum memastikan jenis dan spesies masing-masing.

“Kini, terdapat lebih 128 jenis orkid yang ditanam di Rumah Orkid dengan jumlah keseluruhan 220 tumbuhan pokok orkid termasuk orkid liar dan orkid hibrid,” ulasnya sambil menyatakan bilangan spesies bunga orkid mungkin meningkat dari jumlah yang dinyatakan apabila dibuka kepada umum kelak.

Tambah Im Hin lagi, persekitaran Rumah Orkid yang terdahulu agak lama dan terlalu lembap serta tidak sesuai untuk menanam orkid.

“Orkid di taman ini kebanyakannya adalah orkid asli dari seluruh negara, dan keluarga Orchidaceae adalah keluarga tumbuhan yang sangat luas, dengan lebih daripada 1,000 spesies di Malaysia.

“Manakala orkid asli atau orkid hibrid lebih mudah dijaga kerana kedua-dua spesies bunga ini telah menyesuaikan diri dengan iklim dan persekitaran sekeliling.

“Bagi orkid liar pula ia telah dipindahkan dari pergunungan, jadi perubahan iklim, kelembapan persekitaran, kelembapan tanah, pendedahan cahaya matahari, dan lain-lain semuanya sangat khusus, oleh itu pihak kami perlu mimik keadaan sedia ada agar orkid bertumbuh dengan baik,” jelasnya.

Pada sesi pertemuan yang sama, wartawan Buletin Mutiara berkesempatan meneroka ke dalam Rumah Orkid dan melihat sendiri keadaan tumbuhan orkid yang mempunyai pelbagai jenis.

“Jika dapat dilihat, terdapat orkid yang mekar berbunga dan ada juga yang sedikit layu, hal ini demikian kerana tempoh berbunga setiap orkid adalah berbeza, jadi hal ini adalah biasa dan mengambil masa.

“Bagi orkid yang terdapat di sini, saya tidak menggalakkan pembajaan khas untuk mempercepatkan pembungaan, terutamanya bagi orkid liar.

“Justeru,  pihak kami hanya berharap orkid di sini akan tumbuh dan mekar dalam keadaan semula jadi dan dibaja dengan betul supaya dapat tumbuh dan berbunga dengan sihat,” katanya lagi.

GAMBAR menunjukkan salah seorang pelancong yang mengambil gambar tumbuhan Orkid Harimau di Taman Botani.

Pada akhir pertemuan, Im Hin turut memberitahu bahawa pengunjung juga boleh melihat tarikan bunga orkid terbesar yang terdapat di Taman Botani.

“Apabila pengunjung datang ke sini (Rumah Orkid), mereka bukan sahaja disajikan  dengan pemandangan bunga-bunga mekar, malahan juga boleh membuka mata dan mengetahui tentang pelbagai spesies orkid.

“Di samping itu, antara yang menjadi tarikan semua kini ialah tumbuhan orkid terbesar di dunia iaitu orkid harimau liar (Tiger Orchid), yang juga berasal dari Malaysia dan banyak di Langkawi dan Perlis.

“Orkid harimau tersebut ditanam di bahagian pintu masuk Taman Botani dan bersebelahan dengan Rumah Bunga Orkid, yang turut menarik pengunjung dan pelancong untuk mengambil gambar di sana,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD