AIR ITAM – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) melancarkan tiket laluan pantas (fast lane) edisi khas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Perkhidmatan Kereta Api Bukit Bendera di sini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, pelancaran tiket laluan pantas edisi khas itu adalah untuk memeriahkan lagi suasana sambutan ulang tahun selain menambah minat pengunjung dalam memperingati sejarah perkhidmatan kereta api (funikular) Bukit Bendera.
Funikular Bukit Bendera bukan sahaja merupakan warisan ikonik Pulau Pinang tetapi juga warisan negara yang harus dipelihara.
“Perkhidmatan yang berusia 100 tahun ini telah berkhidmat kepada penduduk di sini dan juga kepada pekerja serta pengunjung sejak ia mula dibuka pada 21 Oktober 1923.
“Oleh yang demikian, sempena sambutan ulang tahun ke-100 ini, bukan sahaja sejarah tetapi juga transformasi Bukit Bendera sepanjang abad dipaparkan agar lebih ramai orang menghargai nilai warisan yang ada,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Tiket ‘Fast Lane’ Funikular Bukit Bendera Edisi Khas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Funikular Bukit Bendera di sini.
Menurut Soon Hin lagi, Kerajaan Negeri melalui MMK Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) turut mengambil inisiatif untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan negeri bagi tempoh lapan tahun akan datang.
“Langkah strategik adalah melalui pelancongan mampan yang pelbagai dan pintar dalam menguruskan cabaran pelancongan masa depan serta meningkatkan pengalaman pelancong apabila melawat ke negeri ini.
“(Dan) sambutan ulang tahun ini juga akan menjadi salah satu penyumbang dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan terkenal,” katanya.
Difahamkan, pelbagai acara menarik disediakan sepanjang tahun ini bagi meraikan sambutan ulang tahun antaranya pameran, penerbitan buku, jualan, aktiviti, peraduan di media sosial dan promosi istimewa.
Sementara itu, Pengurus Besar PHC, Dato’ Cheok Lay Leng ketika ditemui berkata, pelancaran tiket edisi khas itu bertujuan memberi cenderahati kenang-kenangan kepada pengunjung Bukit Bendera.
“Kebiasaannya apabila mengunjungi destinasi pelancongan terkenal, kita pasti mahu menyimpan cenderahati sebagai kenang-kenangan.
“(Dan) memandangkan pengunjung ke Bukit Bendera ini memilih untuk menggunakan laluan pantas, maka kami (PHC) mahu mereka membawa sesuatu istimewa untuk di bawa pulang,” jelasnya usai majlis pelancaran berkaitan di sini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan; Duta Besar Chile ke Malaysia, Diego Velasco von Pilgrimm; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pulau Pinang, Jonathan Freddy P. Bahang; Pengarah Tourism Malaysia (Wilayah Utara), Shahrul Aman Sabir Ahmad dan Hong Kian Beng (wakil kepada ADUN Air Putih).
Tiket funikular edisi khas ini mula dijual sejak 1 Januari 2023 dan boleh disimpan sebagai kenang-kenangan dan peringatan sempena sambutan ulang tahun ke-100 tahun ini. Maklumat lanjut, layari laman sesawang https://penanghill.gov.my.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS