Tindakan penguatkuasaan PBT ditangguh sehingga aplikasi Penang Smart Parking kembali pulih

Admin
img 20250103 wa0054

SEBERANG JAYA – Tindakan penguatkuasaan membabitkan bayaran caj parkir di bahagian pulau dan Seberang Perai ditangguhkan sementara susulan masalah yang berlaku pada sistem Penang Smart Parking (PSP).

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata tindakan penguatkuasaan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini hanya akan dilaksanakan semula selepas aplikasi PSP berjaya dibaik pulih sepenuhnya.

“Semalam, pihak firma pengendali PSP, Heitech Padu Berhad telah melaksanakan kerja-kerja menaik taraf yang menyebabkan pengguna iOS berdepan masalah berkaitan fungsi log masuk biometrik dalam aplikasi PSP versi 3.0 yang baru dilancarkan.

“Apabila kita dapati aplikasi SPS tidak dapat digunakan, maka saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menangguhkan tindakan penguatkuasaan.

“Justeru, pengguna PSP tidak perlu risau kerana pasukan trafik kedua-dua PBT sedang membuat pemantauan secara berterusan, dan kita berharap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

Walau bagaimana, Mooi Lye menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak mengambil kesempatan dengan meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Penguatkuasaan ditangguhkan hanya melibatkan aspek bayaran caj parkir tetapi tindakan penguatkuasaan lain oleh kedua-dua PBT masih tetap berjalan.

“Oleh itu, pengguna jalan raya diingatkan supaya memakir kenderaan mereka di dalam petak parkir yang disediakan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

Semalam, Mooi Lye menerusi kenyataan menyatakan bahawa seramai 3,000 pengguna iOS menghadapi kesukaran untuk mengakses aplikasi melalui ciri log masuk biometrik.

Walau bagaimanapun, katanya versi Android dan Huawei telah berjaya dikemas kini.

“Masalah ini berpunca daripada cabaran keserasian yang diperkenalkan dalam versi 3.0. Kebenaran biometrik yang diperkenalkan dalam versi terkini tidak diperlukan dalam versi sebelumnya (2.0.6) menyebabkan ketidakserasian semasa proses kemas kini melalui Apple Store.

“Selain itu, pengguna yang mengemas kini terus melalui Apple Store mengalami masalah penyelarasan dalam pangkalan data pengesahan akaun tempatan.

“Ujian pada fasa Alpha dan Beta dijalankan melalui pemasangan baharu tanpa mengambil kira mekanisme kemas kini daripada stor aplikasi,” katanya.

Untuk bantuan lanjut berhubung perkara ini, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan (CCC) di talian 1700-81-8113 atau 1300-30-0080.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RAZDI