Tindakan tegas kepada pihak cemarkan Sungai Nipah

Admin

BATU MAUNG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan pembuangan sampah ke dalam Sungai Nipah dekat Kampung Naran di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, tindakan itu termasuk menghentikan operasi, menarik balik lesen kitar semula serta mengenakan kompaun lebih tinggi kepada mereka yang didapati mengotorkan sungai.

“Sekiranya pihak yang bertanggungjawab menjalankan operasi di atas tanah yang diberi milik secara Lesen Menduduki Sementara (TOL) maka Kerajaan Negeri akan membatalkan lesen tersebut.

Keadaan Sungai Nipah yang tercemat akibat pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Malah, jika enakmen yang ada sekarang tidak cukup untuk mencegah pencemaran sungai maka kita minta pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pindaan (Enakmen) bagi membolehkan denda maksimum dikenakan kepada pesalah,” katanya kepada Buletin Mutiara semasa memantau pencemaran dekat Sungai Nipah sebentar tadi.

Abdul Halim berakata, hasil pemantauan yang dijalankan oleh pihak berwajib mendapati pencemaran Sungai Nipah adalah berpunca daripada syarikat kitar semula selain sisa kilang, restoran dan penduduk setempat.

“Pada masa ini, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah mengambil langkah jangka pendek dengan membersihkan Sungai Nipah dengan kekerapan dua kali seminggu.

“Bagaimanapun, hari ini kita dapati sampah-sarap dibuang semula ke dalam sungai walaupun kerja-kerja pembersihan telahpun dijalankan semalam,” ujarnya yang juga Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan.

Tambahnya lagi, sehingga kini sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kepada dua syarikat termasuk sebuah syarikat kitar semula.

Abdul Halim Hussain.

Selain itu katanya, JPS negeri juga telah mengeluarkan empat surat amaran kepada empat pengusaha terlibat dari tahun 2018 hingga 2020 dan yang terbaru adalah pada 5 Oktober lalu.

“Ada juga cadangan untuk JPS tambah kekerapan pembersihan tetapi yang paling penting adalah kesedaran individu, penduduk setempat serta mereka yang tinggal di kawasan berdekatan untuk tidak membuang sampah ke dalam sungai.

“Adalah memalukan apabila wawasan kita adalah untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bersih dan hijau tetapi sungainya sangat kotor.

“Justeru, kerjasama semua pihak amat diperlukan terutamanya daripada segi penguatkuasaan dan pemantauan untuk memastikan pencemaran sungai dapat diatasi,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI