Tindakan tegas perlu diambil terhadap anggota ingkar arahan pelaksana, kata ADUN

Admin
img 3838

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng berkata ahli pentadbiran yang dipilih oleh rakyat harus menentukan dasar bahawa pegawai pentadbiran adalah pelaksana dan bukan sebaliknya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas dekat sini sebentar tadi.

“Wakil rakyat telah dipertanggungjawabkan untuk menghadapi pengundi setiap lima tahun sekali dan bukannya anggota pentadbiran.

“Malangnya, terdapat anggota pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) tanpa kebenaran pihak YB Menteri telah mengalihkan peruntukan yang diluluskan kepada kawasan Parlimen Bagan ke kawasan lain sebanyak dua kali.

“(Dan) pegawai JKR tersebut tidak seharusnya melanggari arahan jelas (YB Menteri) atau mana-mana ahli pentadbiran dan mengalihkan peruntukan dengan sewenang-wenangnya.

“Adalah dikesali ahli pentadbiran yang juga wakil rakyat menganggap perkara ini selesai begitu sahaja tanpa tindakan yang sewajarnya ke atas peralihan wang peruntukan ke kawasan lain.

“Susulan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi kerana telah mencari wang peruntukan RM1.4 juta dari sumber lain sebagai ganti untuk dipulangkan dan dibelanjakan dalam kawasan Parlimen Bagan,” jelasnya lanjut.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, telah meluluskan projek menaik taraf jalan kawasan Parlimen Bagan sebanyak dua kali iaitu RM1 juta pada (tahun lepas) dan RM5.6 juta tahun ini.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & SIEW CHIA EN