Tinggalan minda penjajah, “Melayu terpinggir sebab Cina majoriti” mampu dihakis

KEPALA BATAS“Melayu terpinggir sebab Cina majoriti” adalah tinggalan minda penjajah yang mampu dihakis daripada pemikiran rakyat Pulau Pinang sungguhpun Kerajaan Negeri pernah ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) pada Mac 2008 lepas.

Ahli Lembaga Penang Institute (PI), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata demikian semasa mengupas mengenai forum ‘55 tahun kemerdekaan: Ke arah mana Melayu Pulau Pinang’ anjuran PI.

“Betulkah orang Melayu Pulau Pinang sekarang ini terpinggir disebabkan Cina minoriti…(statistik) Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2010 tunjuk orang Melayu sudah melebihi Cina.

“Di Kelantan, Melayu majoriti pun dipinggirkan oleh (kerajaan) pusat dan tak dapat hak royalti minyak disebabkan perbezaan pendapat politik selama lebih 20 tahun, tetapi mereka bertahan disebabkan (mereka) tolak suatu pemikiran yang mungkin serupa dengan maksud ‘minda penjajah’.

“Mungkin, inilah minda penjajah yang sengaja ditanam secara berterusan di Pulau Pinang bagi mewujudkan perasaan saling berprasangka dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di negeri ini, tetapi saya percaya umat Melayu di negeri ini mampu menolak pemikiran lama itu,” ujar beliau pada penganjuran Forum 55 Tahun Kemerdekaan: Ke Arah Mana Melayu Pulau Pinang baru-baru ini di sini.

Forum selama hampir dua jam itu turut menampilkan Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Senator Prof. Madya Ariffin Omar, Datuk Raja Munir Shah (Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjong) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Selangor) sebagai panelis. Penyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid bertindak sebagai moderator forum.

Difahamkan, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2010 menunjukkan, dari keseluruhan 1,609,000 penduduk Pulau Pinang, 42.06 peratus adalah Melayu. Manakala, Cina, India dan bangsabangsa lain masing-masing adalah 40.93 peratus (658,700), 155,600 dan 118,700.

Tuntas dari itu, Mujahid menggesa rakyat tanpa mengira kaum supaya membina minda baru yang lebih progresif dan konstruktif demi kepentingan rakyat terbanyak di negeri berkenaan.

“Pulau Pinang memerlukan polisi-polisi perbandaran dan pembangunan manusiawi baru, bukan sekadar lawan rasuah…tapi bagaimana warga tempatan boleh dikekalkan dalam perkembangan pembandaran moden yang sedang rancak dilakukan oleh Kerajaan Negeri sekarang ini.

“Melayu Pulau Pinang pun perlu suatu minda baru, iaitu bagaimana untuk mengukuhkan siasah mereka dalam Kerajaan Negeri baru yang sedia ada ini,” ujar beliau.