SUNGAI PINANG – Penubuhan pusat simulasi perubatan, Allied Healthcare Centre of Excellent (AHCoE) dapat membantu untuk melonjakkan lagi industri perubatan pelancongan Pulau Pinang.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, kemahiran serta kecekapan melalui sokongan kakitangan profesional dan berkebolehan akan membantu penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih selamat dan berkualiti kepada masyarakat.
“Bagi meningkatkan pembangunan kompetensi, kemahiran serta kecekapan kakitangan perubatan, pusat ini menyediakan persekitaran kemudahan simulasi yang selamat melalui protokol dan algoritma senario simulasi klinikal sebenar dalam meningkatkan gerak kerja serta kemahiran mereka mengendalikan sesuatu kes atau seseorang pesakit.
“Dilengkapi dengan alatan simulasi perubatan yang paling canggih, AHCoE berfungsi sebagai sebuah hospital sebenar kerana semua peralatan yang digunakan ketika simulasi adalah alat sebenar yang biasa ditemui di hospital.
“AHCoE menawarkan metadologi pendidikan baharu untuk mempromosikan pembangunan profesional dan kolaborasi dalam disiplin penjagaan pesakit,” ujarnya sambil melahirkan rasa bangga terhadap kemudahan simulasi berteknologi tinggi yang ditawarkan di Pulau Pinang.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib dan Ketua Pegawai Ekskeutif AHCoE, Haw Ai Beng.
Dalam kunjungannya ke pusat berkenaan semalam, Afif turut diberikan demonstrasi simulasi mengendalikan beberapa kes menggunakan peralatan sokongan hayat, trauma dan kecemasan, proses di dalam bilik bersalin serta unit kecemasan (ICU) bayi.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2010, ACHoE telah menjalankan sebanyak 1,150 latihan melibatkan 26, 237 kakitangan profesional dari hospital dan institusi awam serta swasta telah mendapat manfaat latihan daripadanya.
Dalam pada itu, Ai Beng ketika berucap berkata, melalui AHCoE, pihaknya akan terus menyokong inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggalakkan kesedaran awam tentang peri penting teknik bantuan segera CPR (resusitasi kardiooulmanari) kepada pesakit serangan jantung.
“Pihak AHCoE bersedia untuk memberikan latihan CPR kepada umum, pelajar sekolah dan barisan hadapan seperti polis dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI