Tingkat kefahaman intelektual elak pergeseran

Admin
3e18b98a faf4 43cb 917a 7fef288be6c2

GEORGE TOWN – Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu, Sohibus Samahah Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

 

Dalam pertemuan berkaitan, Mohd. Sukki berkongsi tentang fungsi serta perancangan pentadbiran yang dipimpinnya kini.

 

“Saya mahu kefahaman intelektual dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan, kadang-kadang disebabkan perbezaan pandangan, berlakunya pergeseran.

 

“Justeru, kita berharap ia dapat dikurangkan, tidak mahu berlaku emosional dalam sesuatu perkara atau perbezaan pandangan, kerana kita takut timbulnya fitnah maka akan menjejaskan banyak perkara,” ujarnya.

Hadir sama, Ketua Penolong Mufti Negeri Pulau Pinang, Roslan Esa.

Pelantikan Mohd. Sukki adalah bagi menggantikan Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor yang menamatkan perkhidmatannya pada Jun lalu.

 

Sebelum ini Mohd. Sukki yang juga anak jati Pulau Pinang bertugas di Unit Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Difahamkan beliau adalah lulusan Bahasa Arab dan Syariah dari Universiti Yarmouk, Jordan; pemegang Sarjana Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Doktor Falsafah dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).

Selamat Menjalankan Tugas!

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT