GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) disarankan agar meningkatkan kemudahan rekreasi dalam kalangan penduduk Balik Pulau yang dianggap masih terkebelakang pada aspeknya.
Saranan tersebut disuarakan Ahli Majlis MPPP, Mohd. Taufik Sulong ketika Mesyuarat Biasa Majlis buat kali terakhir untuk tahun 2012 bertempat di Dewan Persidangan Majlis Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.
Mohd. Taufik berkata, Balik Pulau dilihat masih terkebelakang dari segi kemudahan rekreasi berbanding kawasan-kawasan lain di negeri ini.
“Saya berharap MPPP dapat meningkatkan penambahan kemudahan rekreasi dan eksploitasi sumber alam di Balik Pulau, malah, turut menjadi harapan agar master plan pembinaan Stadium Balik Pulau dapat direalisasikan demi kepentingan penduduk di sana (Balik Pulau).
“Selain itu, saya memohon sebuah kolam renang untuk masyarakat serta penduduk setempat disana berekreasi, pembinaan sebuah gelanggang futsal yang memenuhi standard piawaian dan sebuah taman rekreasi seperti Taman Belia diwujudkan,” ujarnya ketika ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis di sini.
Dalam pada itu, Mohd. Taufik berkata, Balik Pulau adalah anugerah ciptaan Allah yang terindah dengan alam masih menghijau, berbukit, memiliki air terjun Titi Kerawang, Pantai Pasir Panjang yang cantik, Pantai Malindo yang menjadi pilihan jurufoto merakamkan suasana senja serta panorama indah di puncak bukit Pemandangan Indah.
“Saya berharap pihak Majlis dapat berkerjasama dengan Exco, jabatan dan agensi-agensi kerajaan dalam memaju serta mengeksploitasikan sumber-sumber alam ini untuk kebaikan komuniti setempat, negeri dan kemajuan sektor pelancongan Balik Pulau,” ujarnya.