Tingkat pemantauan aspek pembersihan hadapi kemungkinan banjir – Exco

TELUK AIR TAWAR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan persediaan lebih awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula pada 11 November 2023 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2024.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata bahawa langkah yang diambil termasuklah meningkatkan pemantauan terhadap aspek pembersihan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (BPT) negeri ini.

“Di bahagian pulau kita ada Pasukan Gerak Pantas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula mempunyai Skuad Khas yang sentiasa bersedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.

Jason H’ng Mooi Lye ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (Hpbs) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 dekat Dataran Robina Eco Park.

“Justeru, saya telah mengarahkan kedua-dua PBT untuk membuat pemantauan yang lebih kerap terhadap aspek pembersihan di setiap kawasan khususnya kawasan perumahan yang mempunyai perangkap sampah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 dekat Dataran Robina Eco Park, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia Pulau Pinang), Dato’ Tpr. Rozita Hamit; mantan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud serta ramai lagi.

Mooi Lye berkata, selain aspek kebersihan, pihak MBSP dan MBPP juga diarahkan untuk membuat pemantauan lebih serius terhadap rumah-rumah pam di bawah seliaan kedua-dua PBT itu bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Selain PBT, Kerajaan Negeri turut mengingatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri supaya sentiasa memastikan rumah pam dan pintu air sentiasa berfungsi.

“Kita tidak mahu ada alasan seperti pintu air atau rumah pam rosak yang membawa kepada berlakunya kejadian banjir,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

Mengulas lanjut, Mooi Lye juga optimis bahawa jumlah aset dan jentera yang dimiliki oleh kedua-dua PBT adalah mencukupi sekiranya berlaku sebarang bencana seperti banjir dan pokok tumbang.

“Selain itu, kita juga ada Pasukan Tindakan Kecemasan di setia Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang akan digerakkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Malah, Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah untuk menyampaikan mesej kepada pihak PBT,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS