Tingkatkan kedudukan, bidang kuasa mahkamah syariah – Ahmad Zakiyuddin

T.Y.T. (dua dari kiri) diiringi Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kiri sekali) dan Dr. Mohd. Na’im Mokhtar (kanan sekali) menerima cenderamata daripada YAA Muhamad Abdul Karim Wahab selepas merasmikan kompleks baharu bangunan Mahkamah Rendah Syariah Daerah SPT dekat Jalan Betik di sini pagi ini.

BAGAN LALANG – Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas hari ini hadir merasmikan kompleks baharu bangunan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat Jalan Betik di sini.

Hadir mengiringi ialah Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim Wahab; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Selain Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; Mufti Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

IR. Ahmad Zakiyyuddin Abdul Rahman

Ahmad Zakiyuddin ketika menyampaikan ucapan berkata pihaknya berharap kompleks tersebut akan menjadi satu lagi mercu tanda usaha kerajaan dalam memartabatkan kedudukan mahkamah syariah di negeri ini.

“Malahan, kita berharap bidang kuasa Mahkamah Syariah dapat diperluaskan lagi untuk semua perkara yang berkaitan dengan umat Islam sama ada daripada segi muamalat, pentadbiran harta dan lain-lain lagi.

“(Dan) dengan itu, kita juga berharap perjawatan di Mahkamah Syariah dapat dinaik taraf dan menjadi lebih tinggi berbanding gred-gred perjawatan yang setaraf demi menjadikan (kedudukan) Mahkamah Syariah lebih dihormati oleh umat Islam di Pulau Pinang ini,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

DR. Mohd. Na’im Mokhtar

Dalam sidang media selepas itu, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar turut memberi ulasan lanjut pada ucapan Ahmad Zakiyuddin berhubung isu menaikkan gred gaji kakitangan Jabatan Kehakiman Syarie Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) supaya setaraf dengan kakitangan awam di mahkamah sivil.

Menurutnya, ucapan Ahmad Zakiyuddin itu adalah selari dengan hasrat serta titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa merasmikan Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang dekat George Town pada 21 Disember 2019.

“Kita (JKSM) dalam proses membangunkan organisasi sumber manusia Jabatan Kehakiman Syariah di seluruh Malaysia.

“Hal ini demikian kerana, JKSM adalah agensi (kerajaan) peringkat Persekutuan dan sebagai badan yang menjaga hal kebajikan dan kedudukan Mahkamah Syariah di seluruh negara, kita akan membentuk suatu jawatankuasa, InsyaAllah akan disertai oleh semua Ketua-ketua Pendaftar Mahkamah Syariah semua negeri termasuk Pulau Pinang.

“Sebagaimana komitmen yang disebutkan oleh Timbalan Ketua Menteri I sebentar tadi, InsyaAllah kita akan menubuhkan jawatankuasa di peringkat persekutuan dan cadangan peningkatan daripada sudut perjawatan dan gred penjawat awam awam di Mahkamah Syariah ini akan diambil kira,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR