Tingkatkan kefahaman rakyat mengenai varian delta, gesa MP

Admin

PANTAI JEREJAK – Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) supaya mempergiatkan usaha menambah kefahaman rakyat mengenai jangkitan COVID-19 melalui varian terbaharu iaitu varian delta.

 

Jelasnya, kefahaman dan kempen pendidikan yang diguna pakai sekarang masih bersandarkan pada virus asal COVID-19 generasi satu yang dipercayai dari Wuhan, China.

 

“KKMM masih di tampuk lama iaitu generasi satu, sedangkan COVID-19 sudah bergerak ke varian baharu yang lebih bahaya iaitu delta.

 

“Jadi saya mahu pihak kementerian (KKMM) segera memberi respons, kemas kini semula prosedur operasi standard (SOP) dan penyampaian agar selari dengan varian baharu ini.


“Orang ramai perlu tahu tentang varian ini, jadi saya mahu kementerian giatkan lagi pemberitahuan kepada rakyat demi mengelakkan perebakan berlaku dengan lebih teruk,” ujar Tze Tzin dalam satu sidang media ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dekat Dewan Masyarakat Bayan Baru pagi tadi.

 

Difahamkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah ada menyatakan bahawa varian delta mampu berjangkit melalui udara dalam masa 15 saat sahaja.


Sementara itu, ketika melihat keadaan di PPV Bayan Baru, Tze Tzin menasihatkan masyarakat setempat supaya hadir ke PPV mengikut masa yang ditetapkan.

 

“Ini merupakan maklum balas daripada doktor bertugas yang menyatakan sedikit kesesakan berlaku akibat sesetengah individu yang hadir tidak mengikut waktu ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera.

 

“PPV di sini berkapasiti 800 orang sehari (untuk diberi suntikan), jadi amatlah perlu orang ramai untuk patuh dengan masa ditetapkan agar kawasan ini tidak menjadi begitu sesak,” serunya.

Sejurus meninjau keadaan di PPV di sini, Tze Tzin kemudiannya menyempurnakan cabutan bertuah bulanan yang menyediakan hadiah wang tunai RM1,000.

 

Syarat yang diperlukan adalah pengundi di Parlimen Bayan Baru dan selesai menerima dua dos suntikan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD