Tingkatkan literasi digital babit PKS – Exco

Admin
508f6e50 f275 47d5 9b10 d37e1c875cbd RASHIDI Zinol (depan, dua dari kanan) meluangkan masa melawat gerai pameran produk komersil lokal seusai merasmikan Simposium 2024 : SME Go Digital di ibu pejabat NCER, Bukit Tengah pada 6 Jun 2024.

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang akan terus meningkatkan literasi digital dalam kalangan penggerak sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.

470adcbe 4d93 4a35 8f77 776fe2e706ad
RASHIDI Zinol

Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol berkata demikian semasa merasmikan Simposium 2024: SME Go Digital yang berlangsung di ibu pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dekat Taman Perindustrian Bukit Minyak di sini pada 6 Jun 2024.

“Di Pulau Pinang, Karajaan Negeri amat menitikberatkan transformasi teknologi digital bagi meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam ekonomi digital.

“Pelbagai inisiatif dan usaha telah dilaksanakan antaranya meningkatkan literasi digital iaitu melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk memastikan tenaga kerja dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk era digital,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut berusaha memperkasa penggerak PKS dengan penggunaan peralatan digital.

“(Inisiatif lain yang turut dilaksanakan adalah) memupuk ekosistem digital yang rancak serta membina infrastruktur berdaya tahan iaitu memastikan Pulau Pinang mempunyai infrastruktur digital yang teguh yang diperlukan untuk menyokong ekonomi berteknologi tinggi dan masyarakat yang saling terhubung,” jelasnya lagi.

Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ts. Ng Kwang Ming berkata usaha memperkasa PKS dalam era digital sebagaimana diterjemahkan dalam simposium pada pagi ini adalah selari dengan Visi Penang2030.

“Pulau Pinang boleh diibaratkan sebagai rumah kepada kira-kira 66,000 Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS), yang merangkumi 7.4 peratus daripada jumlah keseluruhan PMKS di Malaysia.

“Perusahaan-perusahaan ini adalah tunjang ekonomi Pulau Pinang, dan adalah penting bagi kita untuk memastikan mereka kekal berdaya saing,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan turut menzahirkan pengiktirafan dan penghargaan kepada rakan kongsi simposium seperti CTAPPS, PINGSPACE, Arrosoft, YGL World, Penang Green Council (PGC), SMECorp, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Pasaran Modal Malaysia (CMM) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) atas sumbangan dan penglibatan dalam menjayakan simposium tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD