Tingkatkan nilai estetika jalan melalui penanaman pokok

Admin

TANJONG BUNGA – Nilai estetika di Jalan Tanjong Bunga hingga Jalan Batu Ferringhi kini dipertingkatkan dengan projek penanaman pokok di sepanjang pembahagi jalan tersebut.

 

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata projek inisiatif Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga yang menelan belanja RM205,535 itu adalah sebagai langkah untuk mengharmonikan infrastruktur awam.

 

 

“Melalui projek ini, pembahagi jalan sedia ada jenis New Jersey Barrier telah dinaik taraf kepada pembahagi bebendul jalan.

 

 

 

“Penaiktarafan tersebut membolehkan pokok-pokok renek seperti Ficus Nitida, Loropetalum Chinense dan Tabernaemontana Divaricata ditanam di antara pembahagi jalan tersebut.

 

 

“Bagi lokasi yang mempunyai pembahagi bebendul jalan sedia ada seperti di Jalan Batu Ferringhi (hadapan Holiday Inn), tumbuhan-tumbuhan renek ditanam bagi mengindahkan lagi kawasan tersebut.

 

 

“Bukan sahaja nilai estetika jalan-jalan tersebut dapat dipertingkatkan melalui penaiktarafan tersebut, malah pencemaran bunyi juga dapat diredamkan sedikit sebanyak,” ujar Zairil dalam satu sidang media dekat Tanjong Bunga di sini hari ini.

 

Hadir sama, Jurutera Penguasa Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Goh Kiet Rhee dan Jurutera Daerah Timur Laut JKR, Abdur Rahman Azam Che Sobry.

 

 

Mengulas lanjut, Zairil menjelaskan bahawa penaiktarafan pembahagi jalan sepanjang 740 meter di Jalan Tanjong Bunga dan Jalan Batu Ferringhi telah dilaksanakan melalui empat fasa.

 

 

“Fasa satu adalah di persimpangan Jalan Lembah Permai hingga Persimpangan Jalan Chee Seng (2019), Jalan Tanjong Bunga (hadapan Pusat Depot Bas Rapid Penang) hingga Persimpangan Jalan Lembah Permai (2020).

 

 

“Bagi tahun 2021 pula, Jalan Tanjong Bungah (hadapan Kompleks Mutiara Selera) dan Jalan Batu Ferringhi (hadapan Holiday Inn) terlibat dengan penaiktarafan ini,” katanya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING