Tingkatkan pengetahuan CPR, guna AED di masjid – Norlela

Admin
NORLELA Ariffin (duduk, dua dari kiri) bersama-sama Nurul Izzah Anwar (duduk, paling kiri) turut mengambil kesempatan mengikuti sesi amali CPR dengan mesin bantuan AED yang dikendali oleh seorang pegawai bertauliah PHSS di Masjid Daerah SPT, Bandar Perda pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dengan menggunakan mesin Automated External Defibrillator (AED) yang ditingkatkan di masjid-masjid seluruh negeri Pulau Pinang mampu menyelamatkan ahli kariah saat menghadapi serangan jantung mengejut (SCA).

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata demikian semasa merasmikan Jelajah Program CPR & AED Kalangan Kariah Masjid Seluruh Negeri Pulau Pinang pada 23 Januari 2022.

“Apabila berlakunya serangan jantung mengejut dan berhentinya fungsi jantung untuk mengepam darah, pemulihan jantung dan pernafasan iaitu CPR serta penggunaan AED dengan segera adalah perkara utama untuk menyelamatkan mangsa.

“Justeru, pengetahuan tentang teknik asas melakukan CPR dengan betul dan penggunaan mesin AED adalah perkara yang perlu dititikberatkan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti dalam majlis berkaitan yang dilangsungkan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat Bandar Perda di sini.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang saling bekerjasama dengan Persatuan Pemulihan Jantung Pulau Pinang (PHSS) bagi menjayakan program jerayawara peringkat masjid-masjid kariah tersebut.

Presiden PHSS, Dato’ Dr. Luah Lean Wah yang berucap sebelum itu pula memberitahu bahawa kelewatan setiap minit dalam memulakan CPR akan meningkatkan kadar kematian sebanyak 10%.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr. Saiful Azlan Sharif; dan Ustaz Khairul Azman Azizan
(Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid & Surau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP) antara pemimpin negeri yang turut menyertai bengkel amali CPR dan AED tersebut.

Difahamkan, hampir 100 ahli kariah masjid tempatan serta wakil masjid sekitar daerah SPT kemudiannya menjalani sesi amali CPR dan AED di sini dengan bantuan pegawai terlatih daripada PHSS.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB