Tingkatkan penyampaian perkhidmatan Ahli Majlis, MBPP ikut keperluan rakyat – Ketua Menteri

f65cbc04 1919 4917 a29e da989773245c BARISAN Ahli Majlis MBPP yang baharu merakamkan gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan barisan pemimpin negeri lain di perkarangan hadapan Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama di sini pada 3 Januari 2025.

GEORGE TOWN – Kesemua 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tempoh lantikan tahun 2025 diharap dapat memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan supaya kekal mengikut keperluan sebenar rakyat setempat.

c7c62239 8561 4ab7 b5c7 06cd1030ac88
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyampaikan amanat sedemikian sebelum menyaksikan sekalian Ahli Majlis berkenaan mengangkat sumpah terimaan jawatan di Dewan Bandaraya MBPP, Jalan Padang Kota Lama di sini pada 3 Januari 2025.

“Sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan rakyat, saya berharap semua Ahli Majlis faham akan peranan masing-masing serta peka terhadap situasi dan keadaan semasa agar produktiviti dan juga sistem penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat, seiring dengan matlamat ke arah memperkasakan Agenda Perbandaran,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa pentadbirannya berharap barisan Ahli Majlis MBPP serta sekalian penjawat awam lain dapat menjalankan tugas dengan lebih progresif dan proaktif demi memastikan setiap tema di bawah Visi Penang2030 – terutamanya Inisiatif Strategik C4 dapat dicapai.

“Inisiatif strategik (C4) – iaitu Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.

“Ia, merupakan asas kepada pembaharuan institusi yang penting untuk menangani cabaran penjawat awam bagi menambah baik tadbir urus, merangsang pertumbuhan ekonomi, memupuk kesaksamaan sosial, dan seterusnya mengukuhkan institusi kerajaan bagi mewujudkan negara yang lebih makmur, adil serta berdaya tahan,” ujarnya.

570d3d62 ec07 467e 8528 f3e04bd624af
JASON H’ng Mooi Lye

Berucap sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye pula memberitahu bahawa pihaknya berharap semua Ahli Majlis yang dilantik bagi tempoh sehingga 31 Disember 2025, diminta untuk menghantar laporan tahunan kepada Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran untuk rujukan lanjut pejabat Exco jua.

“Ahli Majlis perlu meneliti dan melihat isu, cadangan atau buah fikiran baharu yang bersifat low cost, high impact, rapid execution dan value for money selari dengan gagasan Malaysia Madani dan Gender Responsive Budgeting.

“Fokus Utama dan KPI (petunjuk prestasi utama) Ahli Majlis perlu tertumpu kepada isu dan permasalahan masyarakat seiring dengan proses urbanisasi yang berlaku di Pulau Pinang,” ulasnya yang juga ADUN Jawi.

37fc5ec9 f584 449d b1f6 2ddc4d0d6b64
A. Rajendran

Sementara itu, Rajendran memberitahu pentadbirannya sedar bahawa bahagian pulau ketika ini menghadapi isu kesesakan trafik dan kekangan tanah untuk tujuan pembangunan, serta mempunyai komitmen untuk kekal mewujudkan kelestarian bandar raya.

“Beberapa tindakan berikut sedang dijalankan (iaitu) bekerjasama dengan Rapid Penang (syarikat bas awam) dalam menambah baik perkhidmatan bas awam sedia ada dan memperluas perkhidmatan bas percuma ke lokasi lain yang mengalami kesesakan; kedua, menambah baik kemudahan pengangkutan awam.

“Ketiga, menaik taraf kemudahan untuk pejalan kaki bagi memudahkan orang ramai berjalan kaki untuk jarak yang lebih jauh (selamat dan selesa).

“Keempat, menetapkan had masa untuk meletak kenderaan pada dua jam di kawasan-kawasan yang sesak serta menghadapi masalah kekurangan tempat letak kereta; dan kelima, menghadkan masa memunggah di jalan-jalan yang mengalami masalah kesesakan (jalan raya) serius serta penguatkuasaan trafik sepenuh masa,” jelasnya lagi sambil mengharapkan buah fikir daripada barisan Ahli Majlis berkenaan bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; dan barisan Exco Kerajaan Negeri lain turut menyaksikan majlis angkat sumpah terimaan jawatan Ahli Majlis MBPP tersebut.

5f154aff b557 4ff4 a71e 691407c9ed11
T. Visvenathan

Salah seorang dari empat muka baru Ahli Majlis MBPP, T. Visvenathan yang ditemui kemudian menyifatkan lima perkara yang dinyatakan oleh pentadbiran Rajendran bagi mengekalkan kelestarian bandar raya adalah wajar untuk direalisasikan secara bersama.

“Isu tidak cukup parkir awam, memang perlu hadkan tempoh masa parkir kenderaan selama dua jam maksimum sebab kadar parkir di negeri ini masih murah, dan tidak boleh lagi semua orang parkir sampai sembilan hingga 10 jam lagi.

“Bagi saya, kelima-lima perkara yang disebutkan oleh Datuk Bandar MBPP adalah penting, jadi akan kita uruskan kelima-lima perkara ini dengan pasukan sedia ada serta akan cuba beri penyampaian perkhidmatan terbaik untuk rakyat Pulau Pinang,” ujarnya.

Visvenathan berkata, bagi tempoh pelantikan selama setahun, beliau berazam mencari solusi berkaitan tiga perkara iaitu agenda pembangunan belia setempat; menangani kesesakan trafik pada waktu puncak dan meningkatkan daya huni serta tahap kemampanan bandar raya supaya kian selamat, bersih, hijau dan pintar.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN