Tingkatkan prestasi bantu majukan negeri dan negara, seru PM kepada penjawat awam

Admin

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada anggota penjawat awam untuk terus bekerja dengan lebih cekap bagi meningkatkan lagi prestasi demi kemajuan negeri dan negara.

“Saya merayu kepada penjawat awam untuk terus bekerja dengan lebih cekap kerana Malaysia tidak boleh bertahan dengan prestasi yang ada sekarang.

“Jadi, sementara kita melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara hebat, perkhidmatan awam mesti dipertingkatkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Penjawat awam tekun mendengar amanat Perdana Menteri.

 

Selain Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuti Bakar antara yang turut hadir.

Pada masa sama, Anwar turut menyeru sektor awam untuk melakukan perbelanjaan berhemah terutamanya dalam tempoh masa mencabar dengan memberikan tumpuan kepada perkara yang mendesak.

“Kita mengharapkan Malaysia menjadi negara lebih maju dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Namun, kita juga akui bahawa gaji penjawat awam khususnya golongan bawahan tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup pada masa kini.

Ketua Menteri menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

“Tetapi yakinlah, gaji dan upah penjawat awam akan dikaji semula sebaik sahaja kewangan negara bertambah baik,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru semua pihak untuk terus mempertahankan Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi memperkuatkan lagi kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Kita harus pertahankan Kerajaan Negeri yang boleh faham dan boleh bekerjasama serta bekerja sebagai satu pasukan.

“Perkuatkan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) untuk kita bantu perkuatkan lagi kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” serunya.

Sementara itu, Kon Yeow semasa berucap menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mendukung gagasan Malaysia Madani yang dicetuskan Anwar.

“Sememangnya, kita di Pulau Pinang bertuah kerana berada dalam kepimpinan dan landasan yang sama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya berkeyakinan penuh bahawa dengan jalinan kerjasama yang lebih utuh ini, kita mampu mencipta lebih banyak kejayaan yang membanggakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak terlibat dengan jenayah rasuah.

“Sebagaimana ketegasan dan keseriusan oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri berkaitan isu rasuah, suka untuk saya ingatkan kepada semua yang ada di sini untuk mentafsirkan mesej ini dengan jelas sepanjang melaksanakan tugasan harian.

“Budaya dan nilai integriti perlu sentiasa disemai dalam diri masing-masing supaya tidak ada siapa pun dalam kalangan kita yang tergelincir ke dalam kancah rasuah ini,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI