Tingkatkan sasaran pendaftaran sebagai penerima vaksin

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap pertubuhan-pertubuhan Muslim di negeri ini dapat menggunakan rangkaian pengaruh masing-masing bagi meningkatkan sasaran pendaftaran sebagai penerima vaksin COVID-19 di Pulau Pinang.

Menurut beliau, walaupun Pulau Pinang antara negeri yang mencatatkan pendaftaran rakyatnya sebagai penerima vaksin tertinggi, namun ianya masih jauh daripada sasaran 1.3 juta orang.

“Justeru, saya ambil kesempatan ini menyeru pimpinan-pimpinan pertubuhan (Muslim), melalui rangkaian pertubuhan dapat ‘habaq’ (memberitahu) kepada kawan-kawan, ahli keluarga yang layak untuk dapatkan vaksin, daftarlah untuk dapat tarikh pemberian vaksin.

“Soal agama, memang ada pimpinan agama akan perjelaskan, saya percaya, Menteri Agama, Mufti Negeri pun sudah beri kenyataan mengenai hal tersebut,” serunya pada Majlis Tahlil & Berbuka Puasa Anjuran Young Muslim Sports Club (YMSC) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed; Presiden YMSC, Munower Sadiq M.K.E. Kader Sultan dan Presiden Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader.

Serentak itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangka Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada YMSC yang bergerak aktif dalam aktiviti sosial, pendidikan, sukan, kebajikan serta lain-lain sejak penubuhannya pada 2002 yang mana turut menjadi tulang belakang ke arah merealisasikan Visi Penang2030.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN

Video : ALISSALA THIAN