Tinjauan : Buang jauh sikap pentingkan diri, peniaga kesal hasil jualan merosot

Admin
GAMBAR seorang anggota Unit Pengurusan Krisis MBSP sedang memasang kawat besi di kompleks Pasar Awam Bagan Ajam di sini menjelang tengah hari tadi.

BAGAN AJAM – Pasar Awam Bagan Ajam dekat Jalan Terbilang yang ditutup pada 13 hingga 15 Mei 2021 selepas didapati ada jangkitan kes positif COVID-19 serta untuk tujuan kerja-kerja sanitasi, kembali beroperasi seperti biasa bermula Ahad lepas.

Masuk hari ketiga pasar awam itu kembali dibuka, menjelang tengah hari tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB ada membuat tinjauan umum di sini.

Suasana masih lengang tanpa kehadiran pengunjung seperti hari kebiasaan.

Hanya kelihatan, beberapa petugas Unit Pengurusan Krisis di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang memasang kawat besi pada bahagian belakang bangunan pasar awam.

Menurut salah seorang anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) yang enggan identitinya diketahui umum memberitahu, tujuan pemasangan kawat besi tersebut supaya para pengunjung hanya menggunakan laluan keluar dan masuk yang disediakan di sini.

“Lazimnya peniaga akan ikut prosedur operasi standard (SOP) kerana pendapatan mereka akan terjejas sekiranya ada kes positif COVID-19 yang membawa pada langkah penutupan operasi di pasar-pasar awam.

“Mungkin yang sambil lewa dan ambil mudah untuk akses masuk dan keluar ke pasar awam tanpa membuat saringan suhu badan dan imbas kod QR MySejahtera adalah segelintir pengunjung.

“Jadi, tujuan pemasangan kawat besi di beberapa bahagian di sini supaya memaksa semua pihak menyesuaikan diri dengan SOP PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang dikuatkuasakan,” jelasnya secara ringkas kepada pemberita.

Sementara itu, sekitar jam 1 petang tadi, laman rasmi Facebook MBSP mengumumkan bahawa penutupan kawasan gerai makanan dan gerai bahagian khinzir di Pasar Awam Bagan Ajam dilanjutkan selama 10 hari, mulai 18 Mei hingga 27 Mei 2021 memandangkan masih terdapat kes positif COVID-19.

Menurut sumber, kesemua ‘laluan tikus’ turut ditutup dengan kawat besi sebagai langkah pencegahan wabak.

Tinjauan Buletin Mutiara mendapati kurang daripada 20 gerai jaja dibuka sehingga tengah hari tadi, sementara berpuluh meja niaga lain masih ditutup seperti sebelum Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei 2021.

MUSTAFA Md. Yusof

Salah seorang peniaga, MUSTAFA MD YUSOF, 66, berkata hasil jualan kasar beliau sehingga tengah hari tadi hanya RM11.

“Orang (pengunjung) tak ramai seperti selalu, mungkin masih takut nak datang ke sini setelah ada kes (jangkitan COVID-19) di sini.

“Selalunya hasil jualan kasar saya sekitar RM60 hingga RM70 sehari, kalau musim perayaan cecah RM100 sehari.

“Semalam saya modal beli 12 biji kelapa pun kira-kira RM21 atau harga sebiji RM1.80 dan saya jual balik kepada pelanggan dalam RM3 sebiji.

“Tetapi, pengunjung tak ada, sebiji pun tak laku pada hari ini, dari awal pagi hingga tengah hari, saya dapat (hasil jualan kasar) RM11 sahaja, nak pusing modal pun tak cukup,” katanya dalam nada sedih.

ONG Keng Long

Nada sama turut dikongsi oleh seorang lagi penjaja, ONG KENG LONG, 67, yang berniaga pelbagai ‘barang-barang basah’ termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan di Pasar Awam Bagan Ajam sejak 40 tahun lepas.

“Dah buka selama tiga hari (sejak Ahad lepas) tetapi pelanggan saya merosot lebih 60 peratus tiap-tiap hari.

“Sebelum pasar awam ini ditutup akibat ada jangkitan COVID-19, hasil jualan kasar saya tiap-tiap hari antara RM600 hingga RM800.

“Sehingga tengah hari tadi, hasil jualan kasar saya tak sampai RM200 kerana orang awam masih takut untuk berkunjung ke sini kerana ada kes jangkitan (COVID-19) di sini.

“Boleh lihat sayur-sayuran masih banyak di atas meja, tak terjual, semua (barang-barang basah) ini bukan boleh tahan lama dan akan rosak.

“Jadi, memang teruk perniagaan saya dalam tiga hari ini, modal pun tak boleh ‘pusing balik’,” ujarnya sambil memohon pihak berwajib melaksanakan program insentif bantuan kepada para penjaja yang terjejas di sini.

Seorang lagi penjaja yang enggan identitinya diketahui umum menyalahkan pelanggan berkaitan kerana enggan mematuhi SOP PKP sebagaimana disarankan oleh pihak kerajaan.

“Kita (para penjaja) senantiasa akan patuh pada semua SOP kerana nak jaga lesen niaga kita, tak mahu aktiviti perniagaan tutup disebabkan ada kes COVID-19.

“Tetapi, sesetengah pelanggan, maksud saya bukan semua pelanggan masih berdegil, tak mahu ikut SOP, tak saring suhu badan sebelum masuk ke sini.

“Apabila ada kes jangkitan COVID-19, pasar awam di sini terpaksa ditutup untuk kerja-kerja sanitasi, yang terjejas pendapatan adalah kami (para penjaja), sementara mereka masih ada pilihan untuk ke pasar-pasar awam yang lain.

“Sikap pentingkan diri mesti dibuang ‘jauh-jauh’ dan saya kongsi pendapat ini bukan untuk tuding jari kepada mana-mana pihak, cuma sekadar berkongsi pendapat mengenai akibat yang terpaksa para penjaja tanggung sekarang apabila ada kes jangkitan (COVID-19) direkodkan di sini baru-baru ini,” responsnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara kerana membuat tinjauan umum di Pasar Awam Bagan Ajam.

SR. Rozali Mohamud

Pada 13 Mei lepas, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud dilaporkan mengumumkan langkah penutupan operasi penjajaan di Pasar Awam Bagan Ajam dekat Jalan Terbilang.

Dalam satu kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dipetik sehari sebelum itu, terdapat satu kluster baharu dilaporkan di Pulau Pinang iaitu kluster Jalan Terbilang, melibatkan peniaga-peniaga dan pekerja-perkerja sebuah pasar yang terletak di Jalan Terbilang, Taman Terbilang di Seberang Perai Utara (SPU).

Menurut sumber sama, kluster tersebut melibatkan kes indeks seorang lelaki warga Myanmar berumur 49 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 5 Mei hasil saringan individu bergejala.