Tinjauan : Intai peluang positif di sebalik pengecualian cukai jualan kenderaan

SUNGAI PINANG – Enggan melihat kesan negatif kejatuhan sektor penjualan kenderaan, Pengurus Jualan bagi Maxim Lifestyle Gallery Sdn. Bhd. (Peugeot), Ong Wei Shen, mengajak orang ramai merebut peluang membeli kereta tanpa cukai jualan pada tahun ini.

 

 

Jelasnya, perkara tersebut dilihat untuk sukar diulangi dalam tahun-tahun mendatang.

 

“Dari segi jualan dan servis, kita akui ia memang jatuh teruk sejak tahun lepas (2020) dan diburukkan lagi tahun ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh, Jun lepas.

 

 

“Namun, perkara positif yang kami lihat adalah pengcualian cukai jualan bagi pembelian kereta yang menjimatkan.

 

 

“Perkara kedua adalah stok (yang mana) di Pulau Pinang kita mempunyai jumlah kenderaan mencukupi, selepas urusan jual beli selesai, terus dapat kereta, tidak perlu tunggu terlalu lama,” jelas Wei Shen dalam satu temubual bersama Buletin Mutiara hari ini dekat Galeri Jualan Peugeot di Sungai Pinang baru-baru ini.

 

Difahamkan pengecualian cukai jualan adalah terpakai sehingga penghujung Disember 2021 melibatkan kereta-kereta pemasangan tempatan dan luar negara.

 

Demi merancakkan lagi jualan, Peugeot kini mempertaruhkan jualan kenderaan jenis sport utility vehicle (SUV), 3008 Allure Plus dan 5008 Allure Plus.

 

Mengulas lanjut, Pengurus Prima Pearl Auto Sdn. Bhd. (Toyota), Ivan Chong, medium media sosial digunakan sebagai kaedah jualan kenderaan syarikatnya.

 

 

Sejak dikenakan PKP Penuh Jun lepas, seperti diketahui umum, sebarang bilik pameran kereta adalah tidak dibenarkan beroperasi.

 

 

“Untuk itu, kami menggunakan media sosial sebagai salah satu cabang mempromosikan jualan kereta.

 

 

“Realitinya kaedah tersebut juga berdepan cabaran seperti jurujual ada yang sudah berumur 50 tahun dan ke atas.

 

 

“Tambahan pula, cara pembelian kereta bukan melihat dalam talian semata-mata, pelanggan mahu sentuh, rasa sendiri baru putuskan sama ada hendak beli atau tidak,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

 

Menurutnya lagi, sektor jualan kereta adalah berantai dan berkaitan satu sama lain.

 

 

“Kadang kala prosedur operasi standard (SOP) antara negeri juga berlainan, kereta kita dapatkan dari Kuala Lumpur (KL), kalau Pulau Pinang benarkan operasi tetapi tidak sama macam di KL, tiada gunanya.

 

 

“Urusan jual beli juga melibatkan kerja-kerja pengkeranian untuk uruskan dokumen, syarat mereka perlu divaksin, kalau belum divaksin, maka ia akan lengahkan lagi proses jualan,” katanya lagi.

 

 

Sementara itu, bagi firma pengeluar kereta tempatan, Proton melalui syarikat Platinum Lifestyle Corporation Sdn. Bhd. tidak terkecuali menerima tempias yang hebat.

 

Walaubagaimanapun, menurut Pengurus Jualan, Dennis Ooi Shi Chen, pihaknya optimis jualan kenderaan akan kembali rancak pada suku terakhir tahun ini.

 

 

“Penjualan kereta sehingga kini susut 50 hingga 60 peratus, untuk bulan Jun 2021, kosong.

 

 

“Saya juga bersetuju dengan Ivan, sektor ini adalah berantai serta berkait satu sama lain.

 

 

“Proton mempunyai kilang di Tanjung Malim, Perak, tetapi masih ada alat ganti tertentu di Shah Alam, Selangor dan ketika Lembah Klang dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) memang ia beri kesan terhadap pengeluaran kenderaan dan jualan,” jelasnya yang mengoperasikan pusat jualan di Bagan.

 

 

Beliau melihat model-model Proton sedia ada mampu bersaing pada suku terakhir tahun ini dengan pengenalan ‘facelift‘ baharu yang lebih memukau.

 

 

Model seperti Iriz, Exora, Persona dan Saga terus menjadi pertaruhan Proton dalam menjana jualan syarikat permotoran pertama negara.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN