Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mulai 14 Ogos, semua pihak diseru beri kerjasama

20240808 094052

GEORGE TOWN – Orang ramai di kawasan yang telah terpilih diharap dapat memberikan kerjasama penuh dalam pelaksanaan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) bermula 14 Ogos sehingga 25 September 2024.

 

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, sebanyak lima blok perhitungan (BP) telah terpilih iaitu dua di daerah Timur Laut; daerah Barat Daya (2) dan Seberang Perai Tengah (1).

 

“Bagi setiap BP, sebanyak 40 buah rumah akan dipilih secara rawak membabitkan 200 rumah kediaman bagi negeri Pulau Pinang.

 

Kawasan yang terlibat adalah Jalan Angsana, Medan Angsana; Green Garden, Jalan Paya Terubong; Kampung Sungai Rusa; Jalan Bayan Lepas, Jalan Bukit Belah, Changkat Bukit Belah dan Taman Impian serta Taman Seri Impian di Seberang Perai Tengah.

 

“Bagi negeri Pulau Pinang pengumpulan data yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bermula pada 14 Ogos sehingga 25 September ini.

 

“Justeru, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sahaja menyokong malah menyeru penyertaan daripada penduduk yang terpilih dalam tinjauan ini,” ujarnya pada sidang media di Komtar pagi ini.

 

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Tibi/Kusta), Dr. Umarazina Abdul Kadir mewakili Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam); Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pemakanan) merangkap Pegawai Perhubungan Negeri NHMS 2024, Zuhaida Harun dan Ketua Penolong Pengarah (Pemakanan), Wan Nurrussabah Abdul Karim.

20240808 103601

Mengulas lanjut, Zi Sen memaklumkan bahawa buat pertama kalinya NHMS akan memfokuskan terhadap skop pemakanan secara komprehensif.

 

“NHMS 2024 bertujuan mengumpul data status pemakanan penduduk Malaysia amnya, selain melihat tabiat pemakanan, nutrien, pola pengambilan makanan, status aktiviti fizikal dan malnutrisi dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

 

Responden bagi bancian ini mensasarkan penduduk yang berumur 5 tahun ada ke atas yang mana Pasukan Pengumpul Data daripada Institut Kesihatan Umum (IKU), KKM akan menemu ramah secara bersemuka dalam tempoh lebih kurang 1 hingga 2 jam.

 

“Selain itu, beberapa aktiviti akan dijalankan kepada isi rumah dewasa secara rawak seperti pengukuran berat dan tinggi; pemeriksaan tekanan darah, pengambilan sampel air kencing, darah dan sampel garam isi rumah.

 

“Maklumat peribadi yang diperoleh dalam bancian ini akan disimpan dan dikendalikan secara sulit serta digunakan untuk tujuan bancian kesihatan tanpa mendedahkan identiti responden,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Fazilah memberitahu bahawa data atau dapatan bancian ini amat penting dalam membantu membangunkan program-program baharu.

 

“Malah, data-data ini akan digunakan bagi menilai semula keutamaan, menggubal dasar kesihatan baharu dan merangka inisiatif serta program kesihatan bersesuaian untuk rakyat,” katanya.

 

Sementara itu, Umarazina ketika menjawab pertanyaan pemberita memaklumkan bahawa semua pegawai penyelidik boleh dikenal pasti melalui pemakaian ves berwarna coklat terang yang mempunyai logo KKM dan IKU.

 

“Dalam satu pasukan akan ada antara empat hingga lima orang termasuk pemandu kenderaan rasmi yang mempunyai pelekat kenderaan kajian NHMS 2024.

 

“Mereka juga akan memakai tanda nama khas sebagai pengenalan diri yang mengandungi nama, nombor MyKad dan tandatangan Pengarah IKU di belakang kad termasuk surat pemakluman pelaksanaan bancian kesihatan ini,” responnya.

 

Sebagai makluman, NHMS merupakan aktiviti bancian kesihatan tahunan yang dilaksanakan bertujuan untuk mengumpul maklumat kesihatan dan menentukan prevelen penyakit serta faktor risiko berkaitan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web IKU (www.iku.gov.my/nhms) atau melalui platform media sosial @nhms.iku atau menghubungi talian hotline NHMS, 03-3362 8787 (Isnin – Jumaat, 8 pagi – 5 petang) atau emel ke [email protected] atau hubungi Cawangan Pemakanan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, 04-262 5533 atau klinik kesihatan berdekatan.

 

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI