Tinjauan : Kedai cermin mata di Bukit Mertajam mula beroperasi, buka ‘separuh pintu’ sahaja

Admin
CHEE Chee Yong memberitahu ada sebab beliau membuka separuh sahaja pintu premis Klassik Pakar Cermin Mata di Pekan Bukit Mertajam menjelang tengah hari tadi.

MENJELANG 12 tengah hari tadi, kedai ikonik Klassik Pakar Cermin Mata di tengah-tengah pekan lama Bukit Mertajam mula membuka ‘separuh sahaja’ daun pintu, sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang baru membenarkan pembukaan kedai cermin mata.

CHEE Chee Yong

Menurut pemilik premis komersial tersebut, CHEE CHEE YONG, 68, beliau sengaja membuka satu daun pintu sahaja untuk melihat reaksi awal pelanggan.

Kurang setengah jam kemudian, kelihatan seorang wanita warga emas berbangsa Melayu muncul di depan pintu untuk pemeriksaan rutin mata.

Pelanggan sulung itu diminta membuat saringan suhu badan terlebih dahulu.

Oleh kerana pelanggan berkenaan tidak mempunyai aplikasi pintar untuk membuat imbasan kod QR, Chee Yong meminta beliau merekodkan secara bertulis dalam buku log khas di pintu masuk.

CHEE Chee Yong membuat sendiri pemeriksaan suhu badan pelanggan sulung beliau di sini.

Menyedari kehadiran wartawan ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD memantau dari jauh mengenai tahap pematuhan SOP PKP 2.0, pada mulanya Chee Yong menzahirkan rasa tidak selesa untuk memberi maklum balas.

Selepas dipujuk, Chee Yong memberitahu bahawa ekonomi negara sebenarnya disedari mencabar sejak tahun 2018 lagi.

Cuma, menurutnya, pandemik COVID-19 yang melanda negara ini sejak bulan Disember 2019 mempercepatkan lagi keadaan ekonomi yang kian mencabar ke ‘lantai’ yang lebih teruk.

Untuk sektor perlu seperti perniagaan cermin mata, beliau berkata perniagaannya merosot dengan ketara sejak pelaksanaan PKP kali yang pertama, bermula 18 Mac 2020.

“Bermula 2018 lagi perniagaan telah merudum.

“Tetapi, saya tidak ada banyak pilihan, apabila diumumkan kedai cermin mata dibenarkan buka, semalam (17 Januari 2020), saya buka separuh pintu dahulu untuk melihat ada pelanggan atau tidak.

“Walaupun ekonomi dan sektor perniagaan sekarang kurang bagus, semua pihak akan terus tabah dan memberi kerjasama untuk mematuhi SOP (PKP 2.0) di premis masing-masing.

“Selagi negara tidak benar-benar bebas (daripada pandemik COVID-19), semua pihak termasuk (sektor perniagaan) yang terjejas tidak boleh cepat pulih,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anggota barisan utama yang begitu bertungkus-lumus dalam memastikan tahap pematuhan SOP PKP di pekan lama Bukit Mertajam terus diamalkan oleh semua pihak.

MENURUTNYA, kedai Klassik Pakar Cermin Mata Bukit Mertajam dibuka sejak 25 tahun lepas, sehingga kini masih bertahan mengharungi ekonomi dan arus perniagaan serba mencabar di sini.

Seorang lagi responden adalah WAHIDA MAIDEEN, 36, iaitu pengandali warung niaga BM Cendol Best, di tengah-tengah pekan lama Bukit Mertajam juga.

Sejak PKP 2.0 dikuatkuasakan pada 16 Januari 2021, beliau memberitahu hasil jualan kasar tiap-tiap hari merosot lebih ‘separuh’ berbanding hari-hari sebelumnya.

WAHIDA Maideen (kiri) sedang menyediakan bungkusan ‘cendol istimewa’ untuk pelanggannya di sini.

“PKP 2.0, walaupun kedai makan boleh dibuka tetapi pengunjung tidak dibenarkan duduk makan di sini, dan hanya boleh beli makanan secara bungkus sahaja.

“Saya menyedari tujuan SOP (PKP 2.0) ini dilaksanakan adalah untuk mengawal wabak (COVID-19).

“Merasai kepentingan itu, saya juga akan memastikan tiap-tiap pelanggan yang membeli cendol pulut secara bungkusan di sini akan membuat imbasan kod QR.

“Kalau boleh ketika semua pihak sedang getir mengharungi PKP 2.0 ini, tidak ada mana-mana individu dikompaun (maksimum RM1,000) disebabkan tidak mengikut SOP,” jelasnya lagi.

Beliau turut memuji para pelanggan yang hadir, kerana masing-masing saling mengingati mengenali peri penting memakai pelitup muka dengan slogan #KitaJagaKita.

Masuk hari keenam PKP 2.0 ini, sejak jam 7:00 pagi tadi lagi Buletin Mutiara membuat tinjauan di sekitar pekan lama Bukit Mertajam.

Hanya Klassik Pakar Cermin Mata dekan Jalan Pasar sahaja dibuka, sementara sehingga jam 11:00 pagi tadi mendapati bahawa dua premis perniagaan optik lain di Jalan Arumugam Pillai dan Jalan Bunga Raya di sini masih ditutup.

Di samping itu, Buletin Mutiara turut membuat tinjauan umum di pasar awam dekat pekan lama Bukit Mertajam.

Seawal jam 8:00 pagi, 10 anggota Direktorat Penguatkuasaan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah membuat kawalan trafik di dua pintu masuk utama ke pasar awam.

DENGAN pemantauan Direktorat Penguatkuasaan MBSP, para pengunjung diminta merekodkan maklumat diri secara bertulis atau membuat imbasan kod QR sebelum dibenarkan masuk ke pasar awak Bukit Mertajam di sini.

Di sini, para pengunjung, lengkap memakai pelitup mulut kelihatan beratur dalam penjarakan fizikal kira-kira 1 meter (m), menunggu giliran untuk membuat saringan suhu badan serta membuat imbasan kod QR terlebih dahulu.

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan masuk ke pasar awam, demi memastikan amalan penjarakan fizikal terus dikuatkuasakan.

Menurut pegawai bertugas, rata-rata pengunjung menunjukkan komitmen yang tinggi dengan mematuhi segala SOP PKP 2.0 yang dikuatkuasakan.

GAMBAR beberapa pengunjung dalam penjarakan fizikal sedang meninjau barang keperluan untuk dibeli di pasar awam Bukit Mertajam pada awal pagi tadi.
JAGDEEP Singh Deo (tiga dari kiri) dalam sidang media di IPD Timur Laut, semalam.

Padanlah, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo dalam kenyataan media semalam (17 Januari 2021) antara lain memuji tahap pematuhan SOP PKP 2.0 oleh penduduk Seberang Perai termasuklah para penjaga dan pemilik premis komersial.

Menurutnya, hasil pemantauan Direktorat Penguatkuasan MBSP semasa ke atas kira-kira 782,000 premis sekitar bahagian Seberang Perai pada Sabtu lepas, mendapati tahap pematuhan SOP PKP 2.0 oleh penduduk lokal adalah pada tahap begitu tinggi, iaitu 99.38 peratus.

Selain itu, tinjauan umum berkaitan turut mendapati beberapa tadika serta pusat asuhan kanak-kanak kendalian pihak bukan kerajaan sekitar kawasan Parlimen Bukit Mertajam mula beroperasi dengan SOP PKP 2.0 yang begitu ketat; dan ada juga premis tadika yang masih belum dibuka.

PKP 2.0 yang dilaksanakan sejak 13 hingga 26 Januari ini, antara lain demi melandaikan kembali keluk penularan wabak COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD