Tinjauan : Kesungguhan guru sekolah dipuji, pelajar perlukan komputer riba dan internet demi jayakan PdPR

GAMBAR tiga kanak-kanak sedang berjalan di perkarangan hadapan taman perumahan pangsa Ampang Jajar, Permatang Pauh, antara yang sempat dirakamkan semasa sesi tinjauan pada awal pagi tadi di sini.

ESOK, sesi persekolahan secara bersemuka bermula dengan hanya melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Sementara, pelajar-pelajar lain akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sahaja.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu lepas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan menjelaskan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula pada 20 Januari 2021 terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan COVID-19.

Ekoran itu, masuk hari ke-7 pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), Buletin Mutiara cuba mendapatkan maklum balas khalayak berhubung persiapan anak-anak mereka dalam menempuhi ‘normal baharu’ PdPR ini.

RODZIAH Hashim berkata rata-rata pelajar daripada keluarga B40 memang memerlukan komputer riba atau telefon pintar dan internet untuk menempuhi kaedah PdPR yang dilaksanakan oleh KPM.

RODZIAH HASHIM, 49, yang ditemui kemudian memberitahu bahawa sejak pertengahan tahun lepas lagi, ketiga-tiga anaknya menempuhi kaedah PdPR dengan serba mencabar.

“Saya sudah 14 tahun tinggal di Flat Ampang Jajar, kerja sambilan di kilang bawang, ada kerja, maka adalah duit.

“Tahun ini (2021), saya ada anak yang akan masuk Darjah 2, Darjah 4 dan Darjah 5.

“Di rumah, internet mana ada, ada telefon pun untuk buat panggilan sahaja.

“Semasa tahun lepas (2020), pembelajaran anak-anak sangat bergantung pada aplikasi WhatsApp, itupun untuk buat latihan dan hantar kembali kepada guru menerusi WhatsApp tersebut,” jelasnya kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di perkarangan rumah pangsa Ampang Jajar, Permatang Pauh ketika ditemui pada 19 Januari 2021.

DAYANG Suhana Bakar

Seorang lagi responden, DAYANG SUHANA BAKAR, 42, pula memberita bahawa beliau turut menghadapi cabaran untuk membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah yang dikirimkan menerusi WhatsApp.

“Anak saya, ada Tingkat 1 dan Tingkatan 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Samagagah (Permatang Pauh), seorang lagi Tingkatan 4 di Kolej Vokasional dekat Teluk Air Tawar.

“Sebagai ibu, memang kita boleh memantau anak-anak membuat kerja sekolah menerusi WhatsApp di telefon kita, tetapi, bukan semua soal pembelajaran melalui ‘WhatsApp Group’ yang cikgu mereka berikan, kita tahu kalau nak membantu.

“Apabila anak-anak belajar dari rumah, baru kita tahu betapa besarnya pengorbanan guru-guru mendidik mereka setiap hari (semasa sesi persekolahan secara bersemuka) sebelum ini,” katanya.

Di samping itu, beliau turut memuji komitmen guru-guru sekolah yang senantiasa membuat semakan susulan pada anak-anak murid yang tidak menghantar kerja sekolah yang diberikan menerusi WhatsApp.

“Macam saya sendiri, pernah sampai seorang guru menghubungi, bertanya sama ada salah seorang anak saya boleh memahami bahan pengajaran yang dibekalkan menerusi WhatsApp atau tidak.

“Saya puji pengorbanan Cikgu yang begitu mengambil berat mengenai tahap ‘pembelajaran dari rumah’ anak murid mereka,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut mengakui bahawa bukan semua ibu bapa mempunyai kemampuan menyediakan komputer riba atau telefon pintar, untuk anak-anak belajar dari rumah.

“Selepas PKP 1.0 (pada tahun 2020), hampir semua anak-anak belajar secara dalam talian dengan dorongan ibu bapa di rumah.

“Komputer ada seunit, tetapi nak dikongsi tiga orang anak, adalah sesuatu yang mencabar juga untuk mengharungi sesi persekolahan secara dalam talian pada tahun ini,” jelasnya lagi.

NORHASLINA Jamil

Bagi suri rumah sepenuh masa, NORHASLINA JAMIL, 39, sesi pembelajaran dari rumah dengan ‘masalah internet’ serta persekitaran Flat Ampang Jajar yang tidak begitu selesa seakan-akan menjejaskan proses pendidikan formal kedua-dua anaknya.

“Anak saya yang sulung di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Merbok, Kedah, sejak Tingkatan 1 tinggal di asrama. Tetapi, sejak PKP pada tahun lepas (2020), dia belajar dari rumah.

“Sekarang, dia di Tingkatan 4, saya bimbang pembelajarannya terjejas kerana faktor tak ada kelengkapan belajar seperti komputer riba dan internet.

“Kalau ditanya kepada saya, baik anak yang Tingkatan 4 atau seorang lagi, yang baru masuk Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Samagagah, memang memerlukan peralatan sokongan seperti internet dan komputer riba untuk belajar dari rumah,” jelasnya lagi.

RAZALI Abdul Kadir

Nada sama turut diluah oleh RAZALI ABDUL KADIR, 55, yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Tahun lepas, pelajaran anak saya di Darjah 1 dekat Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh terjejas juga, sebab PKP (1.0).

“Naik Darjah 2, daripada segi 3M (menulis, membaca dan mengira), nampak tak berapa boleh.

“(Dan) dengan PKP ini, cikgu sekolah, saya tengok begitu mengambil berat pelajar, termasuk anak saya dalam aspek 3M.

“Walaupun boleh belajarlah menerusi WhatsApp, belajar dari rumah, tetapi saya ingat dengan masalah internet, telefon pun bukan (telefon) pintar, memang menjadi cabaran untuk anak-anak belajar dari rumah.

“Jadi, kalau boleh saya mencadangkan kerajaan kena mencari jalan untuk menyediakan komputer riba atau telefon pintar yang direka bentuk khusus untuk belajar sahaja, supaya memberi sokongan kepada anak-anak daripada golongan B40 (isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah) ini,” ujarnya sambil memuji kesungguhan guru sekolah kerajaan dalam menjayakan sesi pembelajaran dari rumah buat anaknya.

Tengah hari tadi, Buletin Mutiara hampir putus asa untuk mendapatkan respons lanjut mengenai gambaran PdPR yang akan dilaksanakan mulai esok.

Beberapa guru sekolah kerajaan yang dihubungi, masing-masing enggan mengulas lanjut atas pelbagai alasan.

Pun begitu, seorang guru sekolah kerajaan yang enggan identitinya diketahui umum memberitahu bahawa sempena PdPR ini, KPM ada membekalkan buku teks digital yang dikenali sebagai ‘Pandai’ serta boleh dimuat turun menerusi aplikasi Google Drive.

“Ada sekolah memang akan dibuka esok (20 Januari 2021) dengan menggunakan kaedah PdPR, dan saya difahamkan ada juga sekolah akan dibuka selepas PKP 2.0 (selepas 26 Januari 2021), jika tak dilanjutkan lagi.

“Walaupun ada pelbagai kekangan dan kesulitan, sebagaimana dibangkitkan oleh ibu bapa dan waris pelajar, seperti tiada laptop atau tiada telefon pintar, juga masalah internet.

“Namun, sebagai guru Malaysia, dalam keadaan apa sekalipun, termasuk normal baharu, kita ada tanggungjawab sama seperti ibu bapa di rumah (iaitu) bersama-sama mendidik anak-anak dengan menggunakan kaedah PdPR ini.

“Daripada segi pedagogi pendidikan, guru-guru memanglah lebih terlatih, tetapi ibu bapa di rumah perlu mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk membantu anak-anak belajar dalam talian,” jelasnya.

Selain itu, beliau yang juga waris kepada seorang anak yang masih bersekolah rendah turut mengakui pengalaman mengajar anak sendiri di rumah adalah lebih mencabar daripada mengajar murid-murid di kelas secara bersemuka.

“Apabila ibu bapa merungut tiada laptop dan telefon pintar, internet ‘terputus-putus’, saya sendiri boleh empati.

“Apabila saya mengajar anak sendiri di rumah, lebih mencabar berbanding mengajar anak-anak orang lain di sekolah,” katanya lagi.

SELAMAT BELAJAR DARI RUMAH!