KERAJAAN Persekutuan yang diterajui Perikatan Nasional disyor melanjutkan masa operasi premis farmasi sehingga jam 10:00 malam, berbanding 8:00 malam yang telahpun diputuskan bagi pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) kini.
Demikian respons seorang pemilik farmasi swasta yang enggan identitinya diketahui umum, semasa sesi tinjauan umum Buletin Mutiara di beberapa kawasan komersial sekitar Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada tengah hari tadi di sini.
Menurutnya, ramai pelanggan merungut dengan prosedur operasi standard (SOP) PKP 2.0 yang membenarkan farmasi dibuka sehingga jam 8:00 malam sahaja.
“Orang awam melihat sektor perlu bukan sahaja seperti kedai makan dan restoran, malah farmasi yang dikendalikan oleh sektor swasta.
“Pekerja saya pernah ditanya, apa bezanya kedai makan dan restoran yang dibenarkan bukan sehingga jam 10:00 malam dengan farmasi yang dibenarkan beroperasi sehingga 8:00 malam,” katanya kepada wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS pada 25 Januari 2021.
Menurutnya lagi, para pengusaha farmasi dan umum bukannya berniat untuk mempertikaikan hasrat Putrajaya melaksanakan SOP PKP 2.0, namun tidak ada salahnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapatkan maklum balas pelbagai pihak.
“Sebelum ini, pelbagai pihak memberikan maklum balas bahawa kedai makanan dan restoran wajar ditutup jam 10:00 malam, atas berbagai-bagai pertimbangan.
“Jadi, walaupun niat Kerajaan Persekutuan adalah bagus iaitu demi memutuskan semua rantaian virus (COVID-19), tidak salah diperbaiki lagi garis panduan (SOP) untuk sektor farmasi,” jelasnya lagi.
Nada yang sama turut diluahkan oleh salah seorang pengunjung farmasi berkenaan.
“Saya bekerja dalam sektor perkhidmatan, habis kerja jam 5:00 petang, kalau nak datang ke farmasi ini (dekat Jalan Nangka kerana berhampiran kawasan perumahan saya, memang tidak sempat sampai jam 8:00 malam.
“Semua tahu, pihak berkuasa membuat sekatan jalan raya (SJR) di pintu keluar bahagian Pulau, kalau saya boleh sampai rumah jam 9:30 malam pun, boleh dikira bernasib baik,” ujarnya.
Difahamkan, sebelum pelaksanaan PKP 2.0, kesemua premis dalam kategori sektor perlu, seperti farmasi dibenarkan beroperasi bermula jam 9:00 pagi hingga 9:30 malam.
Timbul cadangan untuk membenarkan operasi farmasi swasta sehingga 10:00 malam, supaya diselaraskan dengan lanjutan masa kebenaran baharu untuk restoran dan premis makanan pada baru-baru ini.
Di samping itu, seorang lagi pekerja farmasi yang ditemui kemudian memberitahu sejak sebelum pelaksanaan PKP 2.0 lagi, hasil jualan kasar harian merosot antara 30 hingga 15 peratus.
“Daripada segi stok, dalam tempoh PKP 2.0 pun, senantiasa mencukupi sama seperti sebelum pelaksana PKP (iaitu sebelum Mac 2020).
“Tetapi, hasil jualan merosot, kira-kira 15 peratus, pernah lebih 30 peratus.
“Akibatnya, jadual kerja kami (para pekerja) dalam seminggu bertambah sebab (pemilik) ada sasaran jualan untuk membiayai kos-kos operasi termasuk membayar gaji pekerja.
“Kalau Kerajaan (Persekutuan mempertimbang aspek ini, mereka akan melihat kenapa begitu penting dua jam terakhir (iaitu antara 8:00 malam hingga 10:00 malam) untuk kami mengejar sasaran (jualan harian),” respons beliau yang juga ahli farmasi bertauliah.
Tambah beliau, tempoh melanjutkan masa beroperasi bukan sahaja dicadangkan oleh ejen peniaga yang ada kepentingan dalam sektor farmasi, juga orang awam.
Pun begitu, seorang lagi pemilik farmasi swasta lain memberikan maklum balas sebaliknya kepada Buletin Mutiara.
“Sama ada farmasi dibenarkan beroperasi sehingga jam 8:00 malam atau 10:00 malam, bagi sahaja hasil jualan di farmasi ini semakin merosot sejak sebelum pelaksanaan PKP (pada 18 Mac 2020).
“Bagaimana perniagaan farmasi-farmasi lama tidak merosot teruk, kalau di sepanjang jalan utama ini (iaitu) Jalan Nangka ini sahaja boleh ada sampai lima farmasi…persaingan telah menjejaskan perniagaan saya lebih 30 peratus sejak sebelum PKP 2.0 lagi,” jelasnya.
Di samping itu, pihak kami turut membuat tinjauan umum di beberapa farmasi swasta tertentu sekitar Bandar Perda dekat KADUN Seberang Jaya dan pekan lama Bukit Mertajam, namun mendapat layanan dingin daripada para pengusaha dan pekerja terbabit.