MENJELANG 10 malam tadi, Buletin Mutiara membuat tinjauan umum di beberapa tempat rekreasi awam dan persendirian sekitar Seberang Perai Tengah sama ada mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau sebaliknya.
Hasil tinjauan mendapatkan kesemua 4 gelanggang futsal di Sunway Sport Centre dekat Seberang Jaya langsung tidak dibuka.
Bagaimanapun, ketujuh-tujuh gelanggang badminton di kompleks sukan bukan kerajaan tersebut dibuka dari jam 8:00 pagi hingga 10 malam sahaja.
Menurut penyelia di kompleks sukan tersebut, kesemua pengunjung diwajibkan memakai pelitup separuh muka serta membuat saringan suhu badan terlebih dahulu sebelum masuk ke dewan tertutup gelanggang badminton di sini.
“Gelanggang futsal langsung tak dibuka sebagaimana berdasarkan garis panduan SOP PKPB, untuk elak risiko saling bersentuhan.
“Di sini juga (gelanggang badminton), kita akan memastikan pelitup muka dipakai serta penjarakan fizikal diamalkan,” katanya kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB pada 9 November 2020.
Pada pintu itu, terdapat alat pemeriksaan suhu badan dan plak imbas kod QR serta saling poster garis panduan SOP PKPB.
Tinjauan berikutnya adalah di gelanggang badminton persendirian dekat Kampung Belah Dua, Permatang Pauh.
Di sini juga kelihatan anak tempatan bermain badminton lengkap memakai pelitup mulut.
Selepas itu, Buletin Mutiara terus ke Bandar Perda dekat Seberang Jaya dan mendapati gelanggang futsal bersebelahan masjid di sini langsung tidak dibuka sebagaimana menurut SOP PKPB.
Sementara itu, kira-kira jam 10 malam, kelihatan seorang Direktorat Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mula mengerahkan beberapa pengunjung supaya beredar dari kawasan rekreasi Upcycle Park yang bersebelahan dengan Menara Bandaraya iaitu kompleks pentadbiran bagi pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Tinjauan selanjutnya dilakukan oleh jurugambar AHMAD ADIL MUHAMAD pada awal pagi tadi, mendapati tiada langsung aktiviti fiskal dilakukan di Upcycle Park MBSP seperti lewat 10 malam semalam.
Kelihatan hanya beberapa ‘tentera oren’ MBSP sahaja sedang sibuk memangkas rumput serta mencantikkan landskap di taman rekreasi awam tersebut.
Sementara di Kompleks Sukan MBSP dekat Jalan Betik pula, kelihatan terdapat pegawai berwajib berkawal di pintu masuk utama.
Sebelum masuk ke sini, kesemua pengunjung kelihatan dipastikan terlebih dahulu memakai pelitup separuh muka, melakukan saringan suhu badan dan membuat imbasan kod QR juga.
Tinjauan juga mendapati bahawa tiada pengunjung di beberapa pusat renang awam di sekitar Seberang Perai.
Menurut garis panduan SOP yang dikeluarkan, aktiviti riadah di pusat rekreasi seperti berjalan, jogging, berbasikal, senam robik kendiri, mendaki bukit, memancing dan lain-lain di dalam kawasan PKPB adalah dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 10 orang.
Menurut garis panduan sama juga, operator pusat rekreasi terbuka atau tertutup juga disyaratkan untuk memastikan semua pengunjung dalam amalan penjarakan fizikal satu meter (m) antara satu sama lain.