PERMOHONAN bantuan kewangan secara ‘one-off’ menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 dibuka mulai 25 Januari hingga 26 Februari 2021.
Penjaja dan perniaga berlesen/bertagging; penggerai kompleks makanan dan shoplot; peniaga pasar tani; pengusaha kantin sekolah; pemilik kedai gunting rambut dan salun; salun kecantikan dan spa; serta pengusaha pusat refleksiologi dan bekam; yang terjejas boleh memohon bantuan tunai RM500 secara ‘one-off’ tersebut.
Begitu juga dengan penarik beca, layak menerima RM200 secara ‘one-off’.
Itu, tidak termasuk pengumuman Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow untuk menyalurkan RM30,000 kepada kepada wakil rakyat bagi membantu golongan yang terjejas di kawasan masing-masing.
Di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 ini, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap ia terus meringankan beban rakyat terkesan akibat penularan wabak COVID-19, lebih-lebih lagi dengan penguatkuasaan kali kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) sejak 13 Januari lepas.
Pagi ini, Buletin Mutiara meneruskan tinjauan untuk mendapatkan maklum balas penjaja kecil dan peniaga di sekitar Seberang Perai.
FAIZ TALIB, 33, yang ditemui memberitahu beliau sudah 18 tahun berniaga nasi lemak di KADUN Bagan Dalam, iaitu sebelum Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendirikan semula Pasar Awam Sri Bandar beberapa tahun lepas.
Menurutnya, selama tempoh itu, perniagaannya menghadapi saat yang begitu mencabar sejak pelaksanaan PKP kali pertama tahun lepas dan PKP 2.0 kini.
“Namun, saya terpanggil untuk memuji kaedah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bukan daripada segi jumlah bantuan RM500 yang diberikan ‘secara one-off’, sebaliknya daripada aspek kaedah serta syarat permohonan yang mudah dan mesra rakyat.
“Dahulu, saya telah dapat RM500 secara ‘one-off’ di bawah Pakej Bantuan Ekonomi Rakyat 1.0, dan 25 Januari ini saya akan membuat sekali lagi permohonan secara dalam talian,” jelasnya kepada wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB di sini pada 22 Januari 2021.
Difahamkan, di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0, Kerajaan Negeri telahpun memperuntukan RM75 juta, diikuti RM76 juta untuk Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0.
Menurut Faiz, syarat-syarat permohonan yang digariskan oleh Kerajaan Negeri dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga adalah mudah dan munasabah.
“Permohonan secara dalam talian, rakyat yang terkesan daripada segi ekonomi tidak perlu bersemuka secara fizikal hanya untuk mendapatkan bantuan RM500, inilah saya sangat puji,” jelasnya.
Di samping itu, beliau turut mencadangkan Kerajaan Negeri memanfaatkan data maklumat penerima Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0 dan 2.0 sebelum ini, untuk menyalurkan sekali lagi RM500 ‘one-off’ kepada golongan yang layak.
“Pandemik COVID-19 ini pun kita tidak tahu bila akan habis, silap-silap PKP 2.0 yang diselaraskan sehingga 4 Februari depan akan dilanjutkan.
“Jadi, Kerajaan Negeri sudah boleh membaca bahawa golongan yang terjejas semasa pelaksanaan PKP 1.0 (pada tahun 2020) kemungkinan besar akan terus terjejas semasa PKP 2.0 sekarang kerana peniaga kecil sangat bergantung pada hasil pendapatan harian.
“Justeru, kalau sebelum ini pernah dapat RM500 ‘one-off’ pun, mereka perlu membuat permohonan sekali lagi bermula 25 Januari 2021 untuk mendapatkan RM500 ‘one-off’.
“Apalah salah kiranya Kerajaan Negeri dan PBT (pihak berkuasa tempatan) memanfaatkan data penerima sebelum ini kerana mungkin akan ada golongan yang terjejas hanya menunggu hantaran RM500 ‘one-off’ (tanpa membuat permohonan baharu di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0),” jelasnya lagi.
Dalam kenyataan berasingan pada pagi tadi, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud antara lain menyatakan permohonan bantuan kewangan RM500 ‘one-off’ bagi bahagian pentadbiran Seberang Perai boleh dibuat melalui portal Portal Bantuan Tunai Penjaja 3.0, mbps.gov.my.
“Portal Bantuan Tunai Penjaja 3.0 adalah bertujuan untuk mengumpul maklumat perniagaan, individu dan akaun bank penjaja yang berdaftar dan layak bagi memudahkan penyaluran bantuan.
“Bagi penjaja yang mempunyai lesen tahun 2020 semuanya layak menerima manfaat ini kerana mereka perlu memperbaharui lesen bagi tahun tersebut.
“Manakala bagi lesen baru yang memohon sebelum 21 Januari 2021 juga layak untuk menerima bantuan ini dan tutorial pendaftaran akan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi MBSP mulai 25 Januari ini,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo di Komtar.
Sementara itu, responden kedua, LIM CHIEN FOOK, 42, memberitahu bahawa sejak empat tahun lepas beliau menjalankan aktiviti penjajaan apom balik di sini.
“Dahulu, saya sudah terima RM500 (secara one-off) daripada Kerajaan Negeri, 25 Januari nanti isteri saya akan membuat sekali lagi permohonan (secara dalam talian).
“RM500 bantuan kewangan ini, walaupun tidak banyak, sangat membantu saya, isteri serta empat orang anak (berusia antara 10 hingga 19 tahun).
“Walaupun Kerajaan Negeri ada pelbagai kekangan daripada sudut kewangan, kalau boleh dipertimbangkan cadangan pemberian (jumlah) bantuan kewangan mengambil kira bilangan isi rumah golongan terjejas juga,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow dan PBT yang diterajui Rozali.
Bagi FONG LYE YONG, 35, yang mengusahakan perniagaan di lot Restoran Kok Lean dekat Jalan Heng Choon Thian, RM500 insentif kewangan secara ‘one-off’ begitu ditunggu-tunggu semasa PKP 2.0.
“Apabila PKP 2.0 dilaksanakan, maka, tidak dibenarkan lagi (aktiviti makan) di restoran ini, (sekaligus) menjejaskan pendapatan harian kami.
“Walaupun pendapatan harian terjejas, sewa premis mesti dibayar juga, bil utiliti juga mesti dibayar, gaji pekerja juga mesti dibayar, maka, sebab itu Pakej (Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0) ini sangat ditunggu-tunggu.
“Kalau boleh juga, saya nak minta Kerajaan Negeri memperbanyak lagi insentif bantuan kewangan untuk golongan peniaga, termasuk tambah lagi insentif bantuan kewangan daripada kadar sedia ada iaitu RM500 (one-off),” jelasnya.
Selain itu, beliau turut memuji beberapa pegawai dari Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees yang begitu agresif sebagai ejen pemudah cara dalam memastikan golongan terjejas tidak tercicir daripada mendapat bantuan kewangan Kerajaan Negeri.
Seorang lagi responden, B. SHARMILA, 38, memberitahu bahawa larangan pengunjung makan di pasar awam memang menjejaskan perniagaan gerai apom dan capati yang diusahakan oleh emaknya, G. Letchumi, 68.
“Hasil perniagaan tiap-tiap hari menyusut lebih 50 peratus apabila pengunjung tak boleh makan di sini, hanya boleh bungkus makanan dan bawa balik.
“Saya juga menunggu permohonan (Pekej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0) dibuka (pada 25 Januari 2021) nanti, tahun sudah pun ada membuat permohonan dan emak saya berjaya dapat RM500 bantuan ‘one-off’ daripada Kerajaan Negeri sebelum ini,” katanya lagi.
Dalam perkara berkaitan, beliau turut membangkitkan isu rungutan pengunjung yang tidak membawa bekas makan pelbagai guna semasa membeli makanan di pasar awam ini.
“Ada pelanggan menyalahkan penjaja kerana tidak menyediakan beg plastik sekali guna…saya fikir pihak berkuasa tempatan perlu semarak lagi kempen nilai ‘bawa bekas makan’ sendiri sekarang,” sarannya lagi.
Walaupun rata-rata responden mengakui kaedah serta syarat permohonan Pakej Bantuaj Rakyat Pulau Pinang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah begitu mudah untuk dipenuhi, namun diakui masih ada golongan terkesan yang tercicir.
RAUSUL BEE SINDA MATHAR 64, dan suami, ABU BAKAR MOHAMAD, 70, yang menjaja di Pasar Awam Sri Bandar mengaku bahawa mereka tidak berpeluang mendapat RM500 insentif bantuan tunai secara ‘one-off’, sejak Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0 dilaksanakan pada tahun lepas.
“Saya dan suami tahu ada bantuan Kerajaan Negeri, tetapi kami bukanlah tahu bagaimana untuk memohon (secara dalam talian).
“Tetapi, apabila saya mendapat tahu daripada kawan-kawan peniaga di pasar awam ini bahawa Kerajaan Negeri ada sedia bantuan kewangan sekali lagi, saya akan cuba cari jalan untuk membuat permohonan,” jelasnya.
Mendengar maklum balas pasangan warga emas berkenaan, pegawai kepada Satees meminta mereka terus ke Pusat Khidmat ADUN Bagan Dalam dekat Jalan Heng Choon Tian untuk membuat permohonan secara ‘off-line’.
“Mak Cik Bee boleh terus datang ke Pusat Khidmat ADUN Bagan Dalam sebelum 26 Februari (2021), ada pegawai YB akan bantu buat permohonan bantuan kewangan (RM500 ‘one-off) di bawah pakej bantuan kewangan khas Kerajaan Negeri ini,” ujar pegawai ADUN berkenaan yang mahu dikenali sebagai ‘Encik Kanesh’.