Tinjauan : Pasar awam kembali sesak, persiapan sambut Ramadan sederhana tapi meriah

KEBIASAANNYA menjelang bulan Ramadan, ramai dalam kalangan kita yang sibuk membuat persiapan dengan membeli barangan keperluan harian di pasar-pasar awam atau mengunjungi ke gedung beli-belah.

 

Namun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, segala aktiviti berkaitan ekonomi dan sosial seakan-akan terhenti. Tahun 2022 berbeza, sambutan Ramadan kali ini dilihat kembali meriah apabila negara kini dalam fasa peralihan ke endemik.

 

Tinjauan wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI di pasar awam sekitar Tanjung Tokong dan Bayan Baru pada 1 dan 2 April lalu mendapati orang ramai bersesak mendapatkan barangan keperluan harian seperti ayam, daging, sayur-sayuran dan hasil laut seawal jam 8 pagi.

 

Rata-rata peniaga dan pengguna yang ditemui menzahirkan kesyukuran dan menyifatkan persiapan Ramadan tahun ini sederhana tetapi penuh bermakna dengan kelonggaran yang diberikan.

 

Mana tidaknya, jumlah pengunjung yang luar biasa ramai berbanding hari-hari sebelumnya telah membuka pintu rezeki dan memberi kelegaan buat peniaga. 

 

Salah seorang peniaga barangan dapur yang hanya mahu dipanggil sebagai ‘Mamu’ berusia lewat 70-an memberitahu bahawa dia dan anaknya tidak menang tangan apabila menerima tempahan barangan dapur seperti bawang, minyak sapi dan rempah-ratus daripada pelanggannya.

 

“Mungkin kerana tahun ini bazar dibuka maka ramai yang ambil kesempatan mencari duit lebih.

 

“Bagi Mamu, nak pastikan barangan semua cukup (untuk memenuhi permintaan pelanggan) sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya yang telah berniaga di Pasar Awam Bayan Baru lebih 20 tahun.

 

Buletin Mutiara juga sempat bertemu dengan sekumpulan suri rumah yang sedang merehatkan kaki setelah ‘berperang’ mendapatkan barangan keperluan di pasar pagi Tanjong Tokong.

 

“Kali ini persiapan nak sambut Ramadan memang best sikit sebab sudah boleh mula berniaga di bazar.

 

“Mami beli ni pun barang-barang nak buat kuih nak pi letak kat bazar sepanjang Ramadan tahun,” kata responden yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Mami Som’.

 

Difahamkan, Mami Som hanya berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan pada hari-hari biasa mengikut tempahan.

 

Selain tinjauan di pasar awam, Buletin Mutiara sempat menghubungi beberapa kenalan yang turut sibuk dengan perniagaan masing-masing menjelang bulan puasa tahun ini.

 

Bagi NURUL SUHADA CHE OM, 38, pemilik kedai jahitan tudung secara pukul dan runcit, Dinasuha Jahitan Tudung yang terletak di Lunas berkata bahawa seperti tahun-tahun sebelum ini, dia akan memastikan jadual kerja diatur dengan sebaiknya.

 

“Kerja-kerja (jahitan tudung) disusun mengikut slot pelanggan yang membuat tempahan.

NURUL Suhada Che Om.

 

“(Dan) kebiasaannya saya membeli siap kain-kain yang akan digunakan untuk tempahan sepanjang Ramadan ini,” ujarnya yang berharap dapat menyiapkan semua tempahan diterima mengikut jadual. 

 

Ditanya mengenai perniagaannya semasa pandemik, tidak dinafikan ibu kepada empat cahaya mata ini turut terkena tempias.

 

“Ikutkan dua tahun sebelum ini, tempahan tudung agak berkurangan kerana terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19.

 

“Alhamdulillah, untuk tahun ini tempahan agak memberangsangkan apabila kebanyakan peniaga (peniaga tudung) telah memulakan semula perniagaan yang terkesan sebelum ini,” responsnya yang menitipkan doa agar semua para pelanggannya berpuas hati dengan hasil jahitannya dan perniagaan tudung mereka kembali laris.

DERETAN tudung hasil tangan Nurul Suhada Che Om.

 

Walaupun, tempahan tudung yang diterimanya ‘meriah’ tahun ini, dia tidak lagi menerima tempahan untuk slot bulan Ramadan ini kerana khuatir tidak cukup masa untuk disiapkan.

 

“Kena tunggu slot kosong selepas raya pula,” katanya yang juga menerima tempahan menjahit tudung untuk kanak-kanak yang ditempah khas (custom-made).

 

(Untuk tempahan tudung boleh kunjungi Dinasuha Jahitan Tudung berdekatan Sudut Selera Sejahtera, Lunas).

 

Bagi pemilik Umairah Kitchen, UMI SURIATI MOHD. YUSOF, 39, sempena Ramadan tahun ini, dia bersyukur kerana masih menerima tempahan kuih-muih sama ada secara dalam talian ataupun secara luar talian.

 

 

UMI Suriati Mohd. Yusof.

“Selain itu, saya juga ada letakkan kuih-muih di kedai-kedai vendor di kawasan sekitar Sungai Dua, Bukit Jambul dan Bukit Gedung.

 

“(Dan) menerima tempahan di sekitar kawasan pulau dari Teluk Kumbar sehingga ke George Town,” katanya yang menerima sambutan menggalakkan melalui jualan ‘Burger Malaysia’ dan tauhu begedil.

 

Antara kedai-kedai vendor berkaitan adalah Kedai Kak Mek (di belakang Restoran KFC Sungai Dua); Kedai Kak Aishah (simpang Flat Hamna Sungai Dua); kedai air balang bersebelahan perhentian bas Bukit Jambul; Kedai Maz (Blok 18 Bukit Gedung) dan Street Cakes dekat Taman Tunas Damai.

 

Menurut Umi Suriati, dari segi harga jualan, ada kuih-muih yang terpaksa dinaikkan harga rentetan kenaikan harga barang-barang keperluan seperti tepung gandum, cili padi, sayur, ayam dan kicap.

 

“Minyak masak paket juga susah dapat…jadi ada kuih-muih yang harganya kekal, ada yang terpaksa dinaikkan kerana kos bahan mentah mahal.

‘BEGE’ Malaysia paling laris menerima tempahan.

 

“Tambahan pula, ada harga bahan mentah yang tidak tetap, sat (sekejap) naik sat turun belum ambil kira isu kekurangan (shortage) bahan mentah,” jelasnya yang masih mengekalkan kualiti jualannya demi kepuasan pelanggan.

 

Selain ‘Burger Malaysia’ yang dijual pada harga RM3.50 untuk lima ketul, Umi Suriati juga menjual tauhu begedil pada harga RM6.00 untuk lima ketul dan bebola daging berkeju bersama-sama mi pedas (RM7.00).

 

“Ada juga pelanggan minta untuk buat combo macam ‘Burger Malaysia’ dan sandwic atau ‘Burger Mini Ayam Crispy’,” katanya yang memang teringin untuk berniaga di bazar Ramadan namun dek modal yang besar maka ‘ditangguhkan’ hasrat tersebut.

 

(Untuk membuat tempahan, boleh layari Instagram @umairahkitchenpng atau Facebook suriatyumiez).

 

Sementara itu, MAHATHIR MUSTAPHA, 39, turut mengakui terdapat peningkatan harga barangan mentah.

 

“Rentetan harga barangan mentah meningkat, saya terpaksa kurangkan jenis tempahan yang ada dan terpaksa berdepan dengan tempahan yang berkurang dari biasa.

MAHATHIR Mustapha menunjukkan salah satu kek moden hasil tangannya.

 

“Disebabkan kenaikan harga barangan mentah juga, saya tak boleh jual dengan harga lama, terpaksa pinda ke harga baru,” kata pemilik Mr.Stud Muffin.

 

Mahathir yang merupakan pembuat kek sambilan turut berkongsi persiapan Ramadan dengan Buletin Mutiara.

 

 

“Persiapan tahun ini biasa sahaja, tak ada sangat membeli, sekadar guna apa yang ada di rumah sahaja.

               

“Lagipun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, lebih baik berjimat cermat melakukan perbelanjaan,” kongsinya yang mengambil kesempatan menzahirkan harapan agar musibah COVID-19 beransur ‘lenyap’ dan keadaan ekonomi dunia kembali stabil.

 

Selain mengambil tempahan membuat kek bertema mengikut perayaan, sambutan atau trend semasa Mahathir juga gemar menghias kek dan mengambil gambar hasil tangannya.

 

(Untuk tempahan, boleh layari Facebook Mahathir Mustapha atau Instagram @mr.stud.muffin).