PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih perlu dipatuhi oleh semua.
Namun terdapat segelintir individu yang sengaja mula mengabaikan pematuhan SOP termasuk tidak menghiraukan sama ada suhu badan disaring atau tidak, mahupun rekod kontak diambil atau tidak.
Pagi ini, team Buletin Mutiara sempat mengadakan tinjauan di Medan Selera Pasar Bayan Baru bagi melihat sendiri sejauhmana pematuhan SOP dipatuhi.
Pengerusi Persatuan Penjaja, Ang Poh Huat ketika ditemui berkata, beliau amat berpuas hati apabila rata-rata pengunjung dan peniaga yang ada di medan selera ini patuh akan SOP. Malah, beliau mendakwa bahawa kadar pematuhan mencapai 99 peratus.
“Saya beritahu kepada anggota RELA, kalau tidak pakai pelitup muka, jangan bagi masuk.
“Meja-meja di sini semuanya kami tanda supaya patuhi penjarakan fizikal.
“Cuma sekarang ini rata-rata perniagaan sedikit merosot, kerana bangunan berdekatan ada kes (jangkitan COVID-19) jadi orang ramai takut (makan di premis makanan).
“Syarikat multinasional berhampiran pula ada yang masih bekerja dari rumah, jadi itu adalah kekangan kepada peniaga di sini. Walau bagaimanapun saya masih puas hati dengan orang ramai di sini yang patuh SOP,” ujarnya yang turut mengambil langkah mengawal aliran masuk dan keluar di sini.
Bagi peniaga Nasi Campur Ketapang, Muhammad Faizee Suhaimi, walaupun pematuhan SOP tinggi namun masih ada segelintir pengunjung yang gemar berkumpul beramai-ramai pada satu-satu masa.
“Tapi saya masih berpuas hati kerana hanya segelintir sahaja yang tidak endah ataupun tidak sedar pelanggaran SOP,” katanya.
Sementara itu bagi anggota RELA, Mohd. Aliff Abdul Rahim berkata, bilangan mereka yang tidak mematuhi SOP di premis makanan ini agak kecil.
“Medan selara ini sering menjadi tumpuan warga kerja dari Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan agak sesak pada masa-masa tertentu, namun segalanya masih dalam kawalan.
“Kalau tidak pakai pelitup muka pula memang saya tidak bagi masuk. Kadang-kadang ada juga yang melawan, kalau melawan saya perlu tegas dan laporkan kepada orang atasan,” jelasnya yang menjaga pintu masuk utama di sini.
Bagi pemilik kedai kopi Poh Hock yang hanya mahu dikenali sebagai Stanley, berkata pematuhan SOP yang ketara dapat dilihat adalah jumlah orang pada setiap meja.
“Kadang-kala terlalu ramai, empat, lima orang satu meja…sedangkan setiap meja ada hadnya, tidak seperti dulu (sebelum COVID-19).
“Seperkara lagi saya lihat sekarang sudah ada yang berani merokok di sini, walaupun terdapat papan tanda larangan merokok,” maklumnya.
Respons daripada peniaga makanan India, S. Shri Aghilan pula adalah mengenai keadaan lokasi medan selera yang berbeza berbanding keadaan restoran.
“Pelanggan di sini rata-rata patuh, cuma bila beratur ambil makanan memang kurang penjarakan fizikal.
“Di medan selera nak tegur memang susah sikit termasuk nak kawal, kalau di restoran mungkin lebih mudah,” katanya yang turut mengalami kerugian besar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu dan menaruh harapan agar rakyat mematuhi SOP ditetapkan dan tidak mahu PKP dikenakan semula.