Tinjauan : Penang Sentral masih lengang tapi tiket sempena raya banyak terjual

Admin
TINJAUAN umum di aras 2 Penang Sentral, Butterworth tadi.

MUNGKIN di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan sahaja menyaksikan penduduk kota raya mulai bersesak-sesak untuk membeli tiket pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan di terminal pengangkutan awam bersepadu Penang Sentral dekat Butterworth sehingga tengah hari tadi mendapati suasana sebaliknya.

Di kerusi menunggu dekat Aras 2, hanya kelihatan dua orang bukan warganegara sedang menunggu masa untuk turun ke ruang pelepasan di aras bawah.

Oleh kerana tiada langsung pelanggan berurusan di kaunter Sistem Tiket Bus Berpusat di sini, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB memberanikan diri untuk mendapatkan maklum balas daripada salah seorang juru jual tiket bas.

Menurut responden, walaupun tidak ramai berurusan di kaunter pada waktu ini, masuk hari ke-10 Ramadan menyaksikan banyak tiket bas untuk perjalanan sebelah siang habis dijual.

“Tiket bas yang ada pun, banyak sebelah malam…sebelah siang masih tinggal ‘sedikit’.

“Mungkin kerana ramai telah membeli tiket secara dalam talian,” ringkas sahaja responsnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 12 April 2022.

Namun, berdasarkan pengalaman lepas, responden percaya ramai akan membeli tiket bas pada saat akhir.

“Apabila sistem tiket bas secara berpusat, maka, dah tak ada lagi ‘ulat tiket’ di dalam kompleks ‘Penang Sentral’.

“Harga tiket semasa ‘musim raya’ pun adalah sama (kadar) dengan sebelum musim raya, kecuali beberapa bas ekspres ke Selatan (Semenanjung Malaysia) ada sedikit naik harga tiket mereka.

“Oleh kerana di sini semua penjualan tiket di kaunter sahaja, mungkin ramai pihak tidak kisah membeli tiket pada saat akhir,” jelasnya lagi secara sederhana.

Sementara itu, jurugambar Buletin Mutiara, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR yang sedang merakamkan gambar menarik sekitar Aras 2 Penang Sentral, dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan atasan terlebih dahulu.

Nasihat itu diterima penuh mesra.

Seketika kemudian, kami berjaya mendapat responden daripada seorang lagi kakitangan yang bekerja di Penang Sentral.

“Setelah hampir dua tahun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), apabila sektor (ekonomi) kembali dibuka pada 1 April (2022), Penang Sentral kembali menerima pengunjung…walaupun tidak ramai seperti dahulu.

“Mungkin juga kerana ramai terbiasa membuat transaksi secara dalam talian sepanjang tempoh PKP sebelum ini, maka mereka rasa lebih mudah untuk membeli tiket secara dalam talian juga.

“Tetapi, saya percaya, mungkin minggu kedua Ramadan ini, Penang Sentral juga akan menerima lambakan pengunjung dan pengembara yang nak beli tiket pulang beraya ke kampung halaman masing-masing, di Kaunter Tiket Bas Berpusat,” katanya.

Sebelum pada itu, Buletin Mutiara turut membuat tinjauan umum di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang berintegrasi dengan Penang Sentral di sini.

Sekitar jam 10:00 pagi, hanya kelihatan tiga orang pengembara sedang menunggu ketibaan gerabak pada tengah hari ini.

Salah seorang responden yang enggan identitinya diketahui khalayak turut mengaku bahawa beliau selalu membeli tiket keretapi secara dalam talian.

“Saya sendiri tidak pernah membeli tiket di kaunter dekat tingkat dua (KTM Stesen Butterworth),” seloroh beliau.