BAGAN DALAM – Prosedur operasi standard (SOP) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bahagian Seberang Perai mewajibkan pengunjung menyaring suhu badan dan mendaftar butiran diri setiap kali sebelum memasuki premis tertutup dan sebagainya demi memutuskan rantaian perebakan COVID-19 secara menyeluruh.
Tinjauan Buletin Mutiara pada awal pagi tadi mendapati terdapat plak pengimbas Kod QR disediakan kepada pengunjung di pintu masuk utama ke kawasan rekreasi di Taman Tunku Seberang Jaya.
Namun, beberapa pengunjung memberitahu bahawa tiada saringan suhu badan sebelum masuk mungkin kerana di sini adalah kawasan rekreasi terbuka.

“Kita sambut baik SOP PKPP, kecuali beberapa perkara mungkin boleh diperbaiki lagi,” respons seorang pesara firma swasta di sini pada 4 November 2020 kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS.

Difahamkan, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dalam sidang media baru-baru ini memberitahu bahawa pihaknya akan melaksanakan kerja-kerja nyah kuman di kawasan rekreasi awam dalam skala dua kali seminggu.
“Memang kita (MBSP) tidak melakukan pemantauan di pintu masuk tiap-tiap kawasan rekreasi, maka, diharapkan semua pengunjung pastikan membawa pensanitasi tangan masing-masing,” jelasnya di pejabatnya dekat Menara Bandaraya MBSP.

Tinjauan di Robina Eco Park MBSP dekat Teluk Air Tawar turut mendapati pada laluan masuk utama disediakan plak imbasan Kod QR.

Seorang pengunjung, Sufian Saad, 34, yang ditemui di sini memberitahu bahawa beliau sendiri mendaftar maklumat diri melalui aplikasi pintar MySejahtera.
“Sangat mudah sebenarnya…saya yakin rata-rata pengunjung di sini tidak rasa terbeban pun dengan normal baharu yang digariskan oleh Kementerian (Kesihatan Malaysia, KKM) dan MBSP,” ulasnya yang juga juruteknik sebuah kilang.

Namun, tinjauan selanjutnya mendapati keadaan lengang di Pusat Renang MBSP dekat Kampung Benggali , Butterworth, seolah-oleh premis awam tersebut tidak dibuka untuk pengunjung.

Pengurus pusat renang awam tersebut, Heg Kheng Giap, 51, memberitahu bahawa kolam renang tersebut telah dibuka seperti biasa; 8 pagi hingga 11 pagi dari hari Selasa hingga Jumaat; 8 pagi hingga 11 malam pada Sabtu, Ahad dan hari cuti umum. Hari Isnin sahaja tidak dibuka.
“Kolam renang ini dibuka seperti biasa, dengan caj masuk RM2 untuk kanak-kanak dan RM3 untuk dewasa.
“Ikut SOP (PKPP), pada satu-satu masa dibenarkan 20 orang pengunjung masuk ke dalam kolam dengan amal penjarakan fizikal dan beberapa peraturan lain.
“Namun, seperti pada pagi ini, walaupun dibuka, dapat dilihat langsung tiada pengunjung, mungkin kerana orang awam masih anggap kolam renang awam masih belum dibenarkan beroperasi,” jelasnya.

Seorang penduduk lokal, Muhammad Hafidz Adnan, 30-an pula memberitahu bahawa memang perlu promosi lebih agresif untuk menggamit pengunjung ke kolam renang awam tersebut.
“Walaupun ada tertera papan tanda Kolam Renang MBSP, kedudukannya yang sangat berhampiran dengan rumah pangsa menyebabkan orang awam keliru, mungkin ini bukan kolam kawasan perumahan bertingkat persendirian.
“Lagi satu, masalah parkir yang senantiasa tak cukup kerana terpaksa berkongsi dengan pengunjung Perpustakaan Digital Butterworth, serta jalan akses masuk ke Kolam Renang MBSP yang agak ‘tersorok’.
“Tahap pematuhan rakyat Seberang Perai pada SOP PKPP adalah begitu tinggi, mungkin pihak berwajib perlu promosi lagi pembukaan semula kawasan-kawasan renang dengan SOP yang begitu bagus ini,” ujarnya sambil memuji langkah pembudayaan Normal Baharu yang disemarakkan oleh pihak kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 lalu.