Tinjauan: Peniaga makanan tak yakin Kerajaan Pusat mampu bela nasib mereka

Admin
SEORANG penunggang FoodPanda sedang mengambil bungkusan makanan di kaunter Adik Abang Cafe di sini.

BERKUATKUASA hari ini, premis makanan dibenarkan beroperasi seawal jam 6 pagi dan mesti ditutup pada 10 malam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa waktu operasi premis makanan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebelum ini, yang bermula 8 pagi hingga 8 malam dirombak setelah Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) mengambil kira maklum balas serta rayuan pelbagai pihak terutama para pengusaha perniagaan makanan sendiri.

Susulan itu, Buletin Mutiara pada awal pagi tadi cuba membuat tinjauan umum berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh menteri berkaitan semalam.

Secara umum, beberapa pengusaha premis makanan di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah menzahirkan perasaan putus asa terhadap kemampuan Kerajaan Persekutuan dalam membawa keluar negara daripada belenggu pandemik, seterusnya memulihkan kembali teras ekonomi rakyat bawahan (marhaen) yang terjejas teruk dek COVID-19 sejak awal tahun lepas lagi.

AZFANIZAM Hashim

AZFANIZAM HASHIM, 45, memberitahu bahawa perniagaan makanan Adik Abang Cafe di Taman Pauh Jaya dekat Parlimen Permatang Pauh beroperasi selama 24 jam sehari dengan 173 menu menarik, sebelum PKP 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Namun, setelah melalui pelbagai fasa PKP, akhirnya beliau mengakui bahawa menteri berkaitan seolah-olah tidak mempunyai kesungguhan untuk membela nasib para peniaga makanan yang derita dalam tempoh yang begitu panjang.

“Kalau betul nak bawa negara keluar daripada pandemik, buat ‘full lockdown’ betul-betul selama dua minggu termasuk tutup sektor kilang, tetapi yang semua kita sedar hanya kedai makan diarahkan mengikut SOP itu dan ini, sementara kilang dibenarkan buka hatta menyumbang kepada peningkatan kes harian positif COVID-19.

“Di samping itu, Kerajaan Pusat mengambil masa yang begitu lama untuk memberi respons pada penderitaan rakyat semasa pandemik, tidak cepat menyalurkan bantuan kewangan berkaitan, permudahkan moratorium automatik dan kelulusan i-Lestari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang dituntut oleh pelbagai pihak.

Walhal, semua ‘pelampung bantuan’ tersebut relevan untuk menjamin semua orang kekal duduk di rumah, sementara menunggu Kerajaan Persekutuan mempercepatkan matlamat 80 peratus imuniti kelompok dicapai.

“Apabila rakyat kian derita sampai kita terbaca ada yang memulih untuk gantung diri atau terjun kondominum disebabkan masalah lambakan hutang, tiada apa lagi perlu diharapkan walaupun Kerajaan baru melancarkan PEMULIH (Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi).

“Bagi saya pengumuman masa operasi yang baru bagi premis makanan tiada apa-apa melainkan kerajaan nak tunjuk mereka dengar rintihan pelbagai pihak,” responsnya dalam nada sedih kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB.

SHAMSUL Munir Safini

Nada yang hampir sama turut dikongsikan oleh SHAMSUL MUNIR SAFINI, 37, pemilik Lomaq Coffee dekat Persiaran Tuna dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya.

Shamsul Munir berkata, beliau sendiri berharap pengumuman masa operasi premis makanan yang diumumkan oleh Menteri berkenaan “akan menguatkan kembali semangat” para pengusaha kedai makanan yang sebelum ini mungkin kian berasa putus asas.

“Dengan memanjangkan tempoh operasi dari jam 8 malam pada 10.00 malam, peniaga makanan tidak perlu terlalu ‘kalut untuk tutup kedai’ pada waktu puncak semasa orang pulang dari pejabat semata-mata untuk elak risiko dikompaun.

“Begitu juga penyelarasan waktu operasi perniagaan makanan pada sebelah siang dibenarkan buka jam 6.00 pagi, akan memudahkan semua pihak yang berurusan di pasar awam.

“Selain itu, waktu operasi sepatutnya boleh dilanjutkan lagi, memandangkan tidak dibenarkan ‘dine-in’ atau makan di dalam restoran; dan hanya boleh bungkus makanan,” jelasnya sambil mengharapkan Kerajaan Persekutuan mempercepat dan memudahkan pelaksanaan PEMULIH demi membantu rakyat bawahan yang terjejas.

MOHD. Farid Ismail

MOHD. FARID ISMAIL, 38, yang mengusahakan kedai makanan selera Barat (Western Food) memberitahu bahawa rombakan waktu operasi premis makanan yang diumumkan menteri berkenaan mungkin akan membawa ‘sedikit impak’ sahaja kepada peniaga.

“Apabila ramai hilang pekerjaan atau pendapatan yang disebabkan pandemik, golongan M40 ramai dikelompokkan dalam B40 (isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah), rakyat bawahan yang tak pegang banyak duit, bagaimana untuk mereka berbelanja hemat.

“Golongan T20 dan M40, kalau ada simpanan pun ada masih ada pendapatan pun, mereka sendiri akhirnya akan mengikat perbelanjaan kerana takut tak boleh terus hidup dengan pandemik berpanjangan.

“Akhirnya, bagi saya sendiri yang membuka kedai ‘western food’, kita tahu kalau boleh buka kedai sampai jam 10 malam pun (berbanding 8 malam sebelum ini), tidak akan memberi impak kerana rakyat semakin tak ada duit untuk belanja apabila ekonomi terganggu dan kerajaan lambat bertindak untuk menyerap impak berantai ekoran pelaksanaan fasa-fasa PKP,” jelasnya sambil menzahirkan rasa putus asa dengan kemampuan Kerajaan Persekutuan hari ini dalam menguruskan pandemik.

TABAH mengharungi pandemik demi membela nasib keluarga dan para pekerja, kata pengasas dan pengusaha Warong Kitchen.

Pun begitu, beliau memberitahu bahawa waktu operasi premis makanan wajar dilanjutkan sehingga 12 atau 2 pagi dengan SOP yang sedia ada seperti larangan ‘dine-in’.

“Kilang dibenarkan buka tak kira siang atau malam sampai wujud begitu banyak ‘kluster kilang’, Kerajaan Persekutuan boleh pula laksana ‘full lockdown’ dengan memberi pengecualian kepada kilang-kilang, sedangkan kedai makan yang begitu jaga SOP tak boleh beroperasi seperti sektor kilang.

“Yang kedua, kalau kerajaan setakat umum bantuan kewangan berkadaran RM500 untuk tunjuk mereka cakna dengan pengusaha premis makanan, bantuan kepada orang perseorangan kira OK lah.

“Namun, macam saya sewa lot kedai ini RM1,600 sebulan, sewa perkakasan memasak lebih RM300, itu belum masuk bil utiliti dan upah pekerja, saya ‘gagah’ buka kedai ikut SOP kalau boleh ‘lepas’ bayar gaji pokok para pekerja pun, saya dah lega.

“Kerajaan bukan boleh berputih mata melambatkan pengumuman serta pemberian bantuan kewangan kepada rakyat yang terjejas, tetapi saya tak sanggup melambatkan bayaran gaji walaupun sangat derita apabila PKP berpanjangan dan rakyat tak ada kuasa membeli yang bagus,” jelasnya lagi.

Membuka Warong Kitchen di Pusat Perniagaan Perdana Jaya dekat Bandar perda, Mohd Farid berkata beberapa lot kedai makan di sini masih ada yang tidak beroperasi walaupun waktu perniagaan diperpanjangkan 6 pagi hingga 10 malam mungkin disebabkan mereka berasa tak berbaloi untuk membuka pintu kedai makan.

“Lihat masih ada kedia makan bukan separuh pintu atau tak buka langsung, saya boleh faham sekiranya mereka juga hilang kepercayaan atau putus asa pada kemampuan Kerajaan Persekutuan dalam menguruskan pandemik,” jelasnya lagi dalam nada sedih.

MOHD Hafidz Adnan

Seorang lagi responden, pengussaha LokalHouz, MOHD HAFIDZ ADNAN semasa dihubungi kemudian mengambil sikap enggan mengulas langsung mengenai waktu operasi perniagaan makanan yang baru diumumkan oleh Menteri berkenaan.

Setelah dipujuk, dalam nada sederhana beliau berkata, “lockdown, perintah itu tak boleh sampai bertahun, enam bulan pun sudah cukup lama untuk peniaga kelas pertengahan dan bawahan ‘mati lemas’.”

Menurutnya lagi, lockdown juga bukan mampu menghentikan terus penularan COVID-19, cuma melambatkan rantaian jangkitan sahaja.

“Lepas satu fasa ‘full lockdown’ beralih ke fasa ‘full lockdown’ lain bagi tempoh panjang, tetapi pada masa yang sama tahap efisien program imuniti perlahan untuk capai 80 peratus imuniti kelompok, padan semua pihak putus harapan dengan apa yang Kerajaan Persekutuan hari ini cuba buat,” jelasnya lagi.