Tinjauan: Persiapan raya Mohd. Jasni lebih bermakna seusai ZPP siapkan rumah terbengkalai

Admin
MOHD. Jasni Hussein (kanan) memberikan maklum balas kepada Amran Hazali (dua dari kiri) dan Mohd. Hussairi Abd. Manap (kiri sekali) berhubung kerja-kerja menyudahkan projek rumah terbengkalai beliau di Kampung Permatang Indah, Tasek Gelugor di sini pada 10 April 2023.

DEK kerana pendapatan tak tetap, hasrat seorang bapa kepada enam orang anak (berusia antara 25 hingga 13 tahun) untuk membina rumah yang selesa di atas tanah milik orang tuanya dekat Kampung Permatang Indah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor tidak dapat dilakukan dan terbengkalai kira-kira empat tahun.

 

MOHD. Jasni Hussein

Selama tempoh itu, MOHD JASNI HUSSEIN, 48, berkata beliau bersama-sama isteri, Rosmajuliza Mahmud, 51, serta lima anaknya tumpang berteduh di rumah anak sulung mereka dekat daerah Seberang Perai Utara (SPU) juga. 

 

Pada pagi tadi (10 April 2023), wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, ALISSALA THIAN berpeluang menemu ramah Mohd. Jasni berhubung persiapan keluarga bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang kian kunjung tiba.

 

“Selama 25 tahun saya sewa rumah kampung di sini dengan kadar RM180 sebulan, terapi apabila kadar sewa dinaikkan (dari semasa ke semasa) sehingga RM600 (sebulan); sudah di luar kemampuan saya sebenarnya.

 

“(Dan) dengan tanah sekangkang kera bersebelahan rumah mak, saya cuba bina sendiri rumah, sebab saya tukang rumah dalam kampung.

 

“Seingat saya, sempat penaik tiang rumah dan ‘ikat’ bata separuh sahaja, saya terpaksa tangguh dahulu hasrat membina rumah ini kerana tidak cukup modal.

 

“Terbengkalai lebih empat tahun juga rasanya rumah ini.

 

“Selama empat tahun itu, saya sekeluarga menumpang di rumah anak sulung saya, sempit sedikit sebab tinggal ramai dalam (unit kediaman jenis) PPR (Projek Perumahan Rakyat),” jelasnya.

GAMBAR keadaan fizikal rumah sebelum dan selepas siap dibina.

Bercerita lanjut, Mohd. Jasni memberitahu bahawa beliau bercadang untuk membina sendiri rumah landai dua bilik dan satu bilik air dengan keluasan 24 kaki X 36 kaki.

 

Namun, menurutnya, pendapatan yang tidak tetap, ditambah dengan peningkatan kos sara hidup keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah, memaksa beliau menangguhkan terlebih dahulu hasrat membina rumah tersebut. 

 

“Kerja tukang rumah dalam kampung memang tidak ada pendapatan tetap, tambah-tambah apabila bukan warganegara (dalam kalangan) Bangladesh mula mengambil upah dengan lebih murah dalam kawasan kampung, pendapatan saya semakin terjejas.

 

“Tinggal di Kampung Permatang Indah ini, belanja bulanan sekitar RM500 hingga RM600 sahaja sudah cukup untuk kami sekeluarga.

 

“Tetapi, pendapatan kalau nak ‘boleh’ RM1,000 dalam tiga bulan pun payah; kalau tidak bertukang dalam kampung, saya turun ke Sungai Air Itam untuk menyambung rezeki sekeluarga.

 

“Alhamdulillah cerita saya sekeluarga tidak ada rumah dan rumah ini telah terbengkalai kira-kira empat tahun mendapat perhatian beberapa pihak; dan merekalah menasihatkan saya untuk memohon bantuan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP),” ceritanya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada agensi negeri tersebut kerana telah membiayai kira-kira RM61,000 bagi menyudahkan projek rumah tersebut. 

Kata Mohd. Jasni lagi, projek pembinaan rumah terbengkalai tersebut telah siap sepenuhnya dan menunggu proses ‘masuk’ bekalan air dan tenaga elektrik sahaja.

 

“Kalau boleh, saya sekeluarga memang nak beraya (Aidilfitri) di rumah baharu ini.

 

“Persiapan raya, kami sekeluarga ala kadar sahaja seperti tahun-tahun sebelum ini, cuma insyaAllah raya pada kali ini mungkin suasana berbeza kerana di rumah baharu,” ujarnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Penolong Pengurus Bahagian Perumahan Asnaf ZPP, Mohd. Hussairi Abd. Manap kerana banyak membantu di sebalik projek pembaikan rumah asnaf tersebut.

 

AMRAN Hazali (empat dari kiri) menyempurnakan acara penyerahan replika kunci projek pembaikan rumah asnaf kepada Mohd. Jasni Hussein (tiga dari kiri) di Kampung Permatang Indah, Tasek Gelugor di sini pada 10 April 2023.

Menjelang tengah hari tadi, Buletin Mutiara berpeluang membuat liputan media Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah Asnaf Dan Kit Bantuan Makanan yang disempurnakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali kepada Mohd. Jasni di sini.

 

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN, PPK) Permatang Berangan, Che Omar Abdullah; Penghulu KADUN Permatang Berangan, Sobri Abu Bakar; dan Shamsuddin Mohd. Yusoff (Pegawai dari Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman) turut sertai majlis ringkas tersebut. 

 

AMRAN Hazali

Amran yang ditemui kemudian memberitahu Buletin Mutiara bahawa ZPP bagi tahun 2023 menyasarkan 80 unit rumah berkaitan kelompok asnaf untuk dibaiki, dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM1.7 juta daripada sumber zakat. 

 

Manakala bagi projek bina baru rumah asnaf pula, beliau berkata ZPP menyasarkan sebanyak 35 unit kediaman pada tahun ini, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.5 juta daripada sumber zakat juga. 

 

“Sehingga kini, dalam tahun 2023, ZPP telah bina baru lima buah rumah asnaf, dan telah melakukan kerja-kerja pembaikan rumah sedia ada (berkaitan kelompok) asnaf sebanyak 24 buah rumah.

 

“Kos untuk pembaikan rumah sedia ada untuk memenuhi keperluan asnaf ini dalam pelbagai kos; ada yang dalam kos RM20,000; macam rumah Encik Mohd. Jasni Hussein ini melibatkan kos maksimum iaitu RM61,000.

 

“Rumah (Mohd. Jasni) terbengkalai kira-kira empat tahun, ZPP bantu menyiapkan projek ini mengikut pelan asal rumah dengan kos maksimum yang ditetapkan (iaitu RM61,000).

 

“ZPP boleh melaksanakan program bina baru rumah asnaf dan projek baik pulih rumah asnaf kerana duit zakat yang dikeluarkan oleh para pemberi zakat kita selama ini. 

 

“Saya berharap dengan inisiatif ZPP menyiapkan rumah terbengkalai Encik Mohd. Jasni Hussein dapat meningkatkan kualiti keluarga berkenaan, mudah buat amal ibadat serta persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” jelasnya lagi. 

 

Dalam perkembangan berkaitan, Amran turut memberitahu bahawa Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi ZPP pada 17 April 2023 nanti akan melancarkan model baharu rumah asnaf di bawah Skim Inapan Kasih.

“Projek bina baru rumah ini dan kerja-kerja pembaikan rumah yang dilakukan ZPP ini adalah untuk menyelesaikan masalah tempat berteduh (rumah) dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.

 

“Sebabnya, ada dalam kalangan asnaf ini ada tanah tetapi tidak berupaya membina rumah disebabkan kemiskinan mereka, dan ZPP cuba mengambil tanggungjawab dalam ‘ruang’ ini. 

 

“Demi mengelak golongan asnaf ini menjual tanah atas sebab kemiskinan mereka, kita peringkat ZPP bantu membina rumah baru untuk menyokong kehidupan mereka,” katanya lagi. 

Tidak sekadar itu sahaja, Amran memberitahu bahawa ZPP turut akan mengagihkan Bantuan Sagu Hati Hari Raya Aidilfitri kepada asnaf fakir dan asnaf miskin sebagai persiapan raya.

“Asnaf fakir sejak tahun lepas (2022) terima RM700 satu keluarga berbanding tahun sebelum ini sebanyak RM500, manakala asnaf miskin akan terima RM600 (berbanding sebelum ini RM400 satu keluarga).

“Lebih 4,000 penerima akan menerima sagu hati ini mengikut kategori masing-masing (asnaf miskin ada lebih 3,000 orang atau asnaf fakir ada lebih 1,000 orang). 

“Asnaf fakir ini kedudukannya lebih kritikal berbaring asnaf miskin; asnaf fakir adalah pendapatan mereka adalah kurang daripada separuh keperluan mereka; dan asnaf miskin pula adalah pendapatan mereka (dalam koridor) lebih separuh daripada keperluan sebenar mereka.

“Sagu hati ini akan dapat sebelum Hari Raya (Aidilfitri), supaya para penerima ini dapat menikmati sagu hati dari sumber duit zakat ini untuk membuat persiapan keluarga menyambut hari raya,” jelasnya lagi.