Tinjauan: Pesta Ponggal tetap disambut ikut SOP di Seberang Perai

Admin

MASUK hari kedua pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), skuad Buletin Mutiara meneruskan tinjauan bagi melihat sendiri suasana sambutan Pesta Ponggal dalam kalangan masyarakat India di sekitar Seberang Perai Utara (SPU).

Seawal jam 8.00 pagi lagi, sudah kelihatan beberapa individu membuat persiapan di pintu masuk Kuil Sri Maha Mariamman dekat Lebuh Pasar, Butterworth.

Kelihatan hanya lima orang sahaja di halaman depan kuil tersebut, seakan menunggu giliran untuk masuk menerusi pintu berpagar, ke dewan utama acara.

M. Satees (kiri) bersama-sama S. Sanjilatheeban semasa acara menuangkan susu nak periuk tanah sempena sambutan Ponggal yang diraikan secara tertutup dan sederhana di Kuil Sri Maha Mariamman, Butterworth di sini pada awal pagi tadi.

Menurut Pengerusi kuil tersebut, S. Sanjilatheeban, 53, perayaan Ponggal biasanya dilaksanakan selama empat hari berturut-turut.

Namun, menurutnya lagi, tahun ini hanya diraikan selama sehari sahaja dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP 2.0 yang tinggi dan ketat.

“Pada tahun ini (2021), perayaan Ponggal disambut secara sederhana, dengan mengambil kira arahan Kerajaan (PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat).

S. Sanjilatheeban

“Justeru, pada pagi ini, kita telah mengambil langkah berwaspada dengan mengikut SOP PKP (iaitu) membenarkan hanya ahli jawatankuasa kuil menyertai acara perayaan Ponggal secara ringkas.

“Di samping itu, kita juga memberi peluang kepada pengunjung untuk memasuki kuil, terhad lima orang sahaja pada satu-satu masa, untuk menuang beras dalam periuk tanah yang berisi susu,” jelasnya lagi di sini pada 14 Januari 2021.

Kira-kira jam 9 pagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees hadir bagi meraikan perayaan Ponggal secara tertutup bersama-sama ahli jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman.

M. Satees

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berharap masyarakat India yang mengambil kesempatan meraikan pesta Ponggal supaya terus memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan serta perhatikan gejala di sekeliling.

“Ponggal adalah perayaan masyarakat berketurunan Tamil di negara India, kalau berdasarkan sejarah, sejak kira-kira 5,000 tahun dulu.

“Selalunya perayaan kebudayaan ini dikaitkan dengan sambutan tahun baharu masyarakat Tamil yang berbilang agama.

“(Dan), pada pagi ini kita berada di kuil ini kerana masyarakat beragama Hindu meraikan Ponggal,” jelasnya.

Secara kebudayaan, difahamkan, Ponggal diraikan oleh masyarakat India sebagai simbol kesyukuran kepada Tuhan, alam semula jadi, tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang telah membawa limpahan rezeki kepada kehidupan manusia.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & G. REVATIC
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR