EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dalam kenyataan media pada semalam memaklumkan projek kereta kabel ke Bukit Bendera melalui Taman Botani akan bermula hujung Mei atau awal Jun 2024.
Penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan Jurufoto, DARWINA MOHD. DAUD sempat mendapatkan respon beberapa individu mengenai projek yang dilihat akan memberi nilai tambah kepada lokasi pelancongan tanah tinggi Pulau Pinang itu.
Bagi Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang, CLEMENT LIANG menyokong pengangkutan tambahan sebagai pilihan ke Bukit Bendera namum perlu memperhalusi beberapa perkara.
“Secara amnya, saya memenag menyokong mempelbagaikan mod pengangkutan ke puncak Bukit Bendera sebagai tarikan baharu, cuma projek ini perlu diperhalusi dengan mendalam untuk mengelakkan kesesakan di kawasan terlibat sebagai stesen yang dilihat agak sempit,” ujar beliau ketika dihubungi Buletin Mutiara semalam.
Sementara itu seorang pekerja hotel dari Kedah, SHUKRI ABDULLAH juga menyokong projek kereta kabel tersebut yang mungkin mennjadi ikon pelancongan terbaru di negeri ini.
“Kalau sudah nak mula bagus, saya pun tidak sabar untuk cuba kereta kabel baharu sambil bawa keluarga bersiar-siar menikmati pemandangan Bukit Bendera yang cantik ini,” jelas Shukri yang menghabiskan cuti Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang.
Isterinya, NOR AIN ABDULLAH turut senada menzahirkan pendapat menyokong projek kereta kabel tersebut yang akan memberi impak baik bukan sahaja kepada pelancongan di Pulau Pinang bahkan kepada Malaysia.
Bagi kakitangan badan berkanun, AHMAD AIZAT KHALID, pembinaam kereta kabel berkaitan adalah satu lagi batu loncatan kepada industri pelancongan negeri.
“Ia memberi pilihan kepada pengunjung dan pelancong sama ada mahu menggunakan funikular di sebelah Air Itam atau kereta kabel baharu.
“Mengenai kritikan terhadap kesesakan lalu lintas, perkara tersebut adalah situasi biasa apabila sesuatu tempat maju dengan aktiviti pelancongan.
“Kalau tidak ada orang di kawasan pelancongan maka itu bukanlah tempat melancong namanya,” seloroh beliau atas kapasiti peribadi beliau.
Sementara itu Presiden Association of Tourism Attractions Penang (ATAP), DATO’’ CH’NG HUCK THENG berkata tarikan kereta kabel sebagai produk pelanncongan baharu akan menjanjikan pemandangan yang lebih memukau.
“Apa yang lebih penting, perhatian mesti diberikan terhadap keselamatan dan tempat meletakkan kenderaan disediakan secukupnya dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“(Dan) secara kesluruhannya projek ini sangat baik dalam memacu kemajuan industri pelancongan Pulau Pinang,” katanya.