SEBERANG Perai Arena (SP Arena) merupakan satu-satunya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dipilih oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
PPV SPT mula dibuka pada 12 hingga 16 April 2021, mulai 8:00 pagi hingga 5:00 petang pada hari bekerja, untuk tempoh simulasi yang melibatkan operasi pemberian vaksin bagi Fasa 2A kepada para anggota barisan hadapan (frontliners).
Berdasarkan luas lantai dewan SP Arena, dianggarkan berkapasiti maksimum kira-kira 800 orang atau kira-kira 72 orang per jam sehari.
Bermula pada 19 April lepas, operasi pemberian vaksin barulah melibatkan orang awam yang memohon janji temu menerusi aplikasi pintar MySejahtera.
Mereka, adalah golongan warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas serta golongan rentan berpenyakit kronik.
Tinjauan umum yang dilakukan oleh wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB pada hari ketika operasi di sini mendapati operasi pemberian vaksin di sini begitu teratur serta mematahui prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kementerian berkaitan.
Di Stesen 1 iaitu di luar dewan utama SP Arena ini, saringan suhu dilakukan dan imbas kod QR MySejahtera. Dibantu oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), sukarelawan KKM dan doktor terlatih, para pengunjung diminta untuk menunjukkan notifikasi janji temu yang sah menerusi MySejahtera, sebelum dibenarkan ke empat stesen seterusnya di dalam dewan besar berkenaan.
Buletin Mutiara cuba membuat tinjauan di dalam dewan SP Arena, namun dimaklumkan bahawa wartawan hanya dibenarkan membuat tinjauan umum di PPV Daerah Timur Laut sahaja iaitu dekat Kompleks Masyarakat Penyayang, George Town.
Lanjutan itu, hanya beberapa gambar dirakamkan dari luar pintu kaca dewan utama, selain mendapatkan maklum balas beberapa individu yang dijadualkan menerima vaksin di sini.
Melihat kegigihan wartawan Buletin Mutiara membuat tinjauan umum dan rambang, akhirnya Ketua PPV SPT dan seorang penyelarasnya bersetuju untuk memberi maklum balas lanjut mengenai baki operasi empat stesen di dalam dewan utama SP Arena.
Menurut sumber, Stesen 2, para penerima vaksin akan diminta mendaftarkan diri secara dalam talian sekali lagi.
Sementara di Stesen 3, mereka akan diberi taklimat khas mengenai kesan-kesan sampingan sekiranya bersetuju menerima vaksin.
“Di Stesen 3 ini juga, mereka akan mendapatkan taklimat mengenai vaksin yang akan mereka terima.
“Penerima tidak akan tahu jenis vaksin yang akan mereka terima sebab ia bergantung pada bekalan vaksin yang kita (PPV SPT) dapat (tiap-tiap hari).
“Di Stesen 3 ini juga, mereka akan berunding dengan doktor terlatih secara bersemuka mengenai penyakit-penyakit yang mereka ada, sebelum menurunkan tandatangan perakuan bersetuju untuk menerima jenis vaksin yang dibekalkan,” ujar sumber sambil memberitahu bahawa para penerima tidak dibenarkan memilih jenis vaksin di PPV.
Bergerak ke Stesen 4, sumber menjelaskan, barulah proses suntikan vaksin dibuat yang mana ada lapan bilik, dengan satu-satu bilik disediakan enam kerusi, untuk suntikan vaksin yang beroperasi secara serentak.
“Di Stesen 5 dan terakhir adalah untuk tujuan pemantauan dan langkah-langkah kecemasan yang mana proses observasi seseorang penerima vaksin adalah dalam tempoh antara 13 minit hingga 20 minit, bergantung pada individu terutama mereka yang mungkin ada rekod alahan.
“Sekiranya mereka okay (di Stesen 5), barulah mereka akan diberi tarikh janji temu sebagai penerima dos selanjutnya,” katanya sambil memberitahu bahawa usaha penambahbaikan operasi PPV senantiasa dilakukan dari semasa ke semasa.
Difahamkan, PPV SPT melibatkan 15 orang sukarelawan dan 44 orang petugas kesihatan yang terlatih merangkumi operasi di kelima-lima stesen di sini.
“Purata masa untuk seseorang penerima vaksin akan ambil untuk melalui kelima-lima stesen ini sekitar 20 minit sahaja sungguhpun piagam pelanggan kita menetapkan tempoh 30 minit.
“Sepanjang tempoh dua hari ini (19 dan 20 April 2021) ini, tidak ada lagi rekod kesan samping melibatkan para penerima vaksin di sini,” maklumnya lagi kepada Buletin Mutiara.
Selain itu, sumber turut memberitahu bahawa seramai 300 orang dijadualkan menerima vaksin di PPV SPT pada hari ini.
“Semalam (20 April 2021) seramai 354 dalam senarai penerima vaksin, tetapi yang hadir 336 orang sahaja.
“Pada hari pertama, semua dalam senarai penerima vaksin datang…paling tua berusia 92 tahun, (sementara) pada hari ketiga iaitu hari ini rata-rata dalam lingkungan usia 72 tahun,” jelasnya lagi.
Menurut sumber lagi, mereka yang dikenal pasti tidak hadir mengikut waktu janji temu akan dihubungi untuk tindakan susulan.
“Lazimnya mereka yang tak datang ke sini (PPV SPT) ikut masa yang ditetapkan memang ada janji temu di hospital untuk menerima vaksin di sana, mereka rata-rata adalah pesakit kronik.
“(Individu) yang datang, kita memang akan menghubungi mereka (menerusi telefon) dan ini maklum balas yang diterima.
“Bagi saya, sambutan adalah baik kerana lebih 90 peratus hadir ke sini mengikut masa janji temu yang ditetapkan menerusi MySejahtera,” jelasnya.