ESOK, 31 Ogos 2023, akan berlangsungnya acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri di perkarangan Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan.
Acara dijadualkan bermula pada 7.45 pagi dan dijangka selesai pada 11.00 pagi.
Pada awal pagi tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berkesempatan membuat tinjauan raptai akhir bagi acara persembahan di sini.
Seawal jam 7.00 pagi lagi kelihatan kakitangan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat susun atur kerusi di bawah khemah utama dan khemah sisi.
Sementara di pentas persembahan yang berlatarbelakangkan Jalur Gemilang mega pula, kelihatan kumpulan koir lagu patriotik sedang raptai nyanyian beberapa lagu.
Mereka, Seni Persembahan Santun Gemilang yang terdiri dari murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya.
Turut mengisi pentas persembahan semasa sesi raptai tadi adalah kumpulan gabungan elemen muzik tradisional tiga kaum Malaysia, dan Boria Jalur Gemilang.
Paling menarik adalah istiadat perarakan Jalur Gemilang oleh sekumpulan anggota tentera, diikuti nyanyian Lagu Negaraku dan acara melafaz ikrar berwajib.
Di sini, kelihatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Roshidi Azmi sedang sibuk memantau perjalanan raptai acara persembahan.
Sementara itu, dalam kenyataan bertulis Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang memberitahu bahawa Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak, dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor akan menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri dengan tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.
Menurutnya lagi, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow dan isteri; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta kenamaan negeri ain turut hadir pada majlis sambutan tersebut.
“Kelainan pada tahun ini antaranya terdapat persembahan khas demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) dari Anggota Divisyen Ke-2 Infantri Malaysia.
“(Mereka) yang terdiri daripada 116 kali anggota lain-lain pangkat dan merupakan gabungan elemen taekwando dan juga ‘Gempur Wira’,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 30 Ogos 2023.
Selain itu, beliau berkata khemah pameran yang terdiri daripada 17 Agensi Keselamatan turut disediakan untuk menarik perhatian semua lapisan masyarakat, dengan jangkaan 7,000 pengunjung esok.
Buletin Mutiara difahamkan, pada tahun ini sebanyak 92 penyertaan kontinjen kawad kaki daripada pelbagai jabatan, agensi negeri dan persekutuan, badan berkanun negeri dan persekutuan, serta anak syarikat menjadikan jumlah seramai 5,529 orang.
Penyertaan bagi kontinjen kenderaan pula adalah sebanyak 25 penyertaan menjadikan penglibatan sebanyak 948 orang dengan 720 buah kenderaan manakala keseluruhan jawatan kuasa yang terlibat seramai 2,500 orang.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan kontinjen dan urusetia yang terlibat pada tahun ini adalah berjumlah 8,977 orang.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-66 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG!