Tinjauan: Reka bentuk baharu Pasar Awam Bukit Mertajam mesti ikut cita rasa peniaga, pengunjung

6fc5ef36 cef1 4635 bc32 16cc16309784 GAMBAR dari hadapan kompleks dua tingkat Pasar Awam Bukit Mertajam yang dikatakan sebagai mercu tanda pembangunan awal sejak era 1970-an di Bandar Bukit Mertajam pembangunan awal di Bandar Bukit Mertajam dari segi fasad dan fungsi pembangunan tersebut di sini.

DIBINA pada 1970-an, Pasar Awam Bukit Mertajam boleh dikatakan sebagai salah satu mercu tanda yang menjadi kebanggaan sekalian penduduk di sekitar pekan lama tersebut.

Pada 4 Januari lepas, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan kelulusan RM24 juta peruntukan dalam Roling Plan 3, 2023, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membangunkan semula pasar awam tersebut.

Manakala Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad pula berkata pentadbirannya dengan kerjasama Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) menganjurkan Pertandingan Rekabentuk Senibina Pasar Awam Bukit Mertajam.

Pada awal pagi ini (17 Januari 2024), wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI berpeluang untuk mendapatkan maklum balas serta harapan daripada para peniaga dan pengunjung pasar ini.

142c1ced 2665 45ef 83cd e0b0f208265e
BAHAGIAN berbumbung terbuka di belakang kompleks Pasar Awam Bukit Mertajam yang menjadi tempat aktiviti perniagaan ikan segar dan hasil laut yang lain kian lengang menjelang tengah hari tadi.

Seperti diketahui umum, suasana pada sebelah awal pagi agak sesak terutama di bahagian yang menjual ikan, udang, ketam dan sayur-sayuran.

Beberapa lori pemborong yang parkir di bahu jalan untuk memunggah barang-barang niaga menambahkan lagi kesesakan trafik di Jalan Pasar di sini.

Bahagian pasar awam yang agak kurang sesak tadi barangkali tempat menjual daging lembu sahaja.

img 7275
MOHAMAD Azhar Ahmad

Mula berniaga daging pada tahun 1983, Mohamad Azhar Ahmad, 63, berkata pihaknya berharap dalam reka bentuk pasar raya baharu ini nanti, paling penting ada kemudahan memunggah barang-barang niaga.

“Oleh kerana pasar awam ini dibina pada tahun 1970-an, reka bentuk seni bina pasar ini mungkin mengambil kira keperluan aktiviti perniagaan pada waktu itu, maka kemudahan memunggah barang yang lebih baik memang tidak ada.

“Akibatnya, kita dapat melihat bagaimana keadaan trafik sesak di Jalan Pasar ini, lori pemborong di parkir bertindih dengan kereta atau motosikal pengunjung.

“Itu, belum kira lagi parkir terhad, yang mana rata-rata pengunjung tempatan biasanya akan menunggang motosikal untuk membeli-belah di sini,” jelasnya sambil menyambut baik syor pembangunan semula Pasar Awam Bukit Mertajam.

img 7276
RAHMAH Hassan

Seorang lagi penjual daging segar, Rahmah Hassan, 58, berkata paling penting reka bentuk baharu Pasar Awam Bukit Mertajam adalah menepati realiti serta cita rasa peniaga dan pengunjung.

“Bagi sesetengah pihak, mereka mungkin berpendapat bahawa struktur sedia ada pasar awam ini wajar dipelihara dan dipulihara kerana ada nilai warisan ketara.

“Kalau ditanya kepada sesetengah peniaga yang hari-hari berniaga di sini, mereka mungkin menggelar pasar ini sebagai ‘Mini Hanoi’ atau ‘Mini Dakha’ kerana kebanjiran warga asing sebagai pekerja buruh dan sebagainya.

“Kalau ada cadangan membina pasar awam bertingkat pun selepas ini, saya harap lot kedai disediakan sesuai dengan jumlah pengunjung lokal, jangan jadikan pasar awam ini nanti sebagai tempat untuk melambakkan penjaja-penaja dari kawasan lain pula.

“Contohnya, pihak berkuasa nak menyusun penempatan penjaja, maka dibina astaka dengan jumlah lot niaga begitu banyak serta tidak berpadanan dengan kapasiti pengunjung, akhirnya banyak lot niaga kosong atau jadi setor,” jelasnya lagi sambil mengalu-alukan pihak berwajib mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penjaja lokal berhubung cadangan reka bentuk pasar awam di sini.

Pada 1970-an, pasar awam ini dibina di atas tapak berkeluasan 57,440 kaki persegi.

Kira-kira 291 peniaga berlesen ditempatkan di Pasar Awam Bukit Mertajam, tidak termasuk 99 aktiviti perniagaan sokongan lain sekitar kawasan di sini.

Pada 4 Februari 2014, sebahagian struktur pasar raya di tingkat satu Pasar Awam Bukit Mertajam telah hangus terbakar, lalu mendorong Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhasrat membangunkan semula kawasan komersial itu demi kelangsungan ramai peniaga di bahagian bawah kompleks tersebut.

Susulan itu, MBSP menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan City of Yokohama, Jepan International Coorperation Agency (JICA) dan Yokohama City University serta Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjayakan projek kolaborasi kajian reka bentuk bandar Bukit Mertajam dalam tempoh tiga tahun bermula 2016.

Hasil perbincangan bersama serta kajian awalan menemukan bahawa Pasar Awam Bukit Mertajam sebagai simbol pembangunan awal di Bandar Bukit Mertajam dari segi fungsi pembangunan tersebut.

Mengulas lanjut, Rahmah berkata pihaknya berharap meja penjaja daging segar yang ketika ini ada 11 sahaja, dikekalkan dalam reka bentuk baharu pasar awam ini kelak.

“Kalau permintaan pengunjung begitu menggalakkan, semua meja penjual daging di sini mesti dibuka setiap hari.

“Macam hari ini pun, ada beberapa meja penjaja daging segar tidak dibuka, kalau bilangannya tidak dikekalkan pada 11 meja sahaja, ditambah sampai tidak ikut realiti sambutan pengunjung, paling bimbang pasar awam yang dibangunkan semula kelak hanya gah dari aspek seni bina sahaja,” jelasnya.

Rahmah merupakan satu-satunya wanita yang berniaga daging segar di sini, sejak pertengahan 1980-an lagi.

img 7277
ISMAIL Saad

Senada dengan Rahmah, Ismail Saad, 52, yang menjalankan aktiviti perniagaan kira-kira lebih dua dekad di sini pula berpendapat bahawa pihak berwajib perlu juga menyediakan kemudahan lain di sini berdasarkan keperluan peniaga dan pengunjung di sini.

“Kalau pengunjung datang ke sini seawal 6 pagi atau 6.30 pagi bagi membeli barang-barang basah, kita sudah boleh membayangkan bahawa penjaja mula memunggah barang seawal jam 4 pagi atau 5 pagi, maka sudah tentu memerlukan tempat solat Subuh (surau) yang lebih selesa di sini.

“Kedua, di rumah-rumah penyembelihan yang dibenarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar memulakan operasi pada 8 pagi hingga 5 petang, jadi daging yang nak dijual pada awal pagi ini mesti diambil sehari sebelum itu dari pusat sembelihan.

“Sekarang, ruang terhad serta tiada kemudahan soket elektrik, (justeru) diharapkan dalam reka bentuk baharu pasar awam ini ada sekurang-kurangnya dua soket elektrik, ruang khas untuk letak peti sejuk beku.

“Perlu ada kemudahan bilik sejuk beku, kemudahan soket elektrik pula mesti boleh menampung operasi memotong daging dan tulang dengan menggunakan mesin,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau mencadangkan ruang meja penjaja berkeluasan 6X3 kaki diperbesar menjadi 10X5 kaki, dengan struktur ruang pengudaraan dan pencahayaan yang lebih baik di samping ada kemudahan kipas angin.

img 7283
HENG Kim Peng

Berniaga ‘barang-barang kering’ sejak 50 tahun lepas di sini, bagi Heng Kim Peng, 72, pula, projek pembinaan semula Pasar Awam Bukit Mertajam paling penting adalah mesra pengunjung.

“Jalan Pasar yang menjadi jalan utama ke sini mesti dinaik taraf juga kena ada sistem parkir yang lebih bagus serta tidak menambahkan kos pengunjung.

“Pasar sementara yang akan dibina dekat tapak lama mahkamah juga perlu memudahkan akses pengunjung, sementara menunggu projek pembinaan semula pasar awam baharu siap di sini,” jelasnya lagi.

img 7285
NGE Soo Hwa

Responden terakhir, Nge Soo Hwa, 60-an pula memberitahu Buletin Mutiara bahawa paling penting bagi sekalian penjaja sedia ada di Pasar Awam Bukit Mertajam selama ini adalah hasil jualan mereka kian meningkat serta tidak terjejas apabila dipindahkan ke tapak jaja sementara nanti.

“Sama ada bangunan asal (Pasar Awam Bukit Mertajam) adalah ikonik bagi bandar ini atau tidak, ia tidaklah sepenting mesti ramai pengunjung datang serta meningkatkan hasil jualan penjaja.

“Lagi pun, dengan kebanjiran warga asing sebagai peniaga, pekerja dan pengunjung di sini, mungkin pasar awam di sini dilihat sebagai ‘Mini Hanoi’ atau ‘Mini Dakha’… perkara ini perlukan perhatian pihak berkuasa berkaitan.

“Paling membimbangkan, apabila operasi perniagaan dipindahkan ke tapak jaja sementara dekat ‘flyover’ Bukit Mertajam nanti, menjejaskan hasil jualan kasar.

“Kalau tapak pasar sementara itu tidak dibersihkan sebaik mungkin, mempunyai jumlah tapak parkir yang mencukupi, pendapatan saya di sana mungkin terjejas sementara nak siap (projek pembangunan semula) Pasar Awam Bukit Mertajam yang baharu dalam satu atau dua tahun nanti,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara kerana cuba mendapatkan maklum balas langsung daripada para pemegang taruh di sini.

Sebelum tarikh saingan idea reka bentuk Pasar Awam ditutup pada 16 Disember tahun lepas, pihak penganjur pertandingan menerima 75 penyertaan dengan syor masing-masing, yang mana 10 pihak telah disenarai pendek dan akan diumumkan sebagai pemenang kelak.

Pemenang tempat pertama hingga ketiga akan diberi peluang untuk mengemukakan cadangan kewangan dan teknikal untuk menjadi perunding bagi pelaksanaan projek pembangunan semula Pasar Awam Bukit Mertajam.