Tinjauan: SJR Bergerak polis agresif di ‘lorong tikus’ sekitar SPU

Admin
SAAT cemas sebuah kereta sedang dihambat dek kereta peronda PDRM di ‘laluan tikus’ dekat jalan batas tebatan banjir di Kampung Pulau Perai (Pulau Pinang) ke Kampung Terat Batu (Kedah) antara yang sempat dirakamkan jurugambar Darwina Mohd. Daud di sini pada tengah hari tadi.

SEJAK 12 tengah malam tadi, siri ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan selama tempoh 14 hari membabitkan tiga daerah dan tiga mukim iaitu Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan; Mukim 12, Barat daya, Bandar Butterworth serta Mukim 14, Seberang Perai Utara.

Seramai 712 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditempatkan di 42 pos Sekatan Jalan Raya (SJR) strategik, dengan dibantu oleh sejumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

(Dari kiri) AR. Yew Tung Seang, Ketua Menteri, Sahabudin Abdul Manan dan Sr. Rozali Mohamud selepas selesai sidang media berkaitan penjelasan SOP Am PKP 3.0 di Komtar pada tengah hari ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semalam antara lain memaklumban bahawa PDRM akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan negeri serta beberapa lokasi ‘laluan tikus’ bagi menyekat pergerakan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran menjelang Aidilfitri.

Jam 9.00 pagi tadi, wartawan Buletin Mutiara ZAINULRAQAR YAACOB dan jurugambar DARWINA MOHD. DAUD ada membuat tinjauan umum di sekitar Bandar Butterworth dan Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Di SJR Ara Kuda.

Seramai empat anggota polis dan dua orang tentera berkawal ketat di SJR Ara Kuda.

Setiap kenderaan dari pekan lama Lunas, Kedah yang menghala masuk ke sempadan negeri ini akan diminta mengemukakan surat kebenaran polis bagi tujuan rentas negeri.

Di SJR Pinang Tunggal.

Begitu juga kawalan ketat di SJR Pinang Tunggal, yang melibatkan enam anggota polis dan dua tentera.

Tinjauan di kedua-dua pos SJR itu membawa kami menjejaki tiga ‘laluan tikus’ sekitar SPU yang sebenarnya telahpun dikenal pasti oleh skuad SJR Bergerak, iaitu di;

• Jalan Tepi Sungai (Jalan Tebatan Banjir) Kampung Ekor Kucing dekat Pinang Tunggal, Pulau Pinang yang bersempadan dengan Kampung Ekor Kucing dan Kampung Terat Batu dalam Daerah Kulim, Kedah.

• Lorong Mini Tar/tanah merah (berhampiran Kedai Cat Chop Song Huat) Kampung Selamat, Tasek Gelugor, SPU yang bersempadan dengan Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kedah.

• Laluan dari sempadan antara Ara Kuda, Tasek Gelugor, SPU dan Jalan Tun Sardon (dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Penanti yang bersempadan dengan Lunas, Kedah.

Berbekalkan dengan informasi ‘mata-mata’, dan pengalaman jurugambar kami yang kebetulan ‘orang setempat’, membawa tinjauan Buletin Mutiara mengambil risiko merentasi ‘laluan tikus’ dekat Jalan Ekor Kucing dan Kampung Terat Batu.

‘LALUAN tikus’ dari Kampung Pantai Perai ke simpang tiga jalan di Kampung Terat Batu memang tiada SJR tetapi…

Sebagaimana maklum balas orang kampung di sini, memang langsung tiada pos SJR atau ‘halangan konkrit’ di ‘lorong tikus’ di jalan bertanah merah dekat Kampung Pantai Perai.

JAMBATAN kayu dekat Masjid Kampung Pantai Perai yang menjadi ‘laluan tikus’ sekalian penunggang motosikal merentas sempadan negeri Pulau Pinang – Kedah di sini.

Berhampiran Masjid Al-Barakah di sini, sebuah jambatan kayu dan sebuah jambatan konkrit merupakan antara ‘laluan tikus’ yang menghubungkan Kampung Padang Serai, Kulim dan Kampung Terat Batu masuk kesempadan negeri Pulau Pinang menerusi Kampung Pantai Perai, Pinang Tunggal.

Bagi kenderaan jenis kereta atau pacuan empat roda pula, mereka menggunakan ‘laluan tikus’ dari Tanjung Belit, Padang Serai dan sekitar Sidam Kanan dengan menggunakan jalan batas tebatan banjir di Kampung Pulau Perai juga.

Kira-kira hampir sejam kami membuat tinjauan umum, walaupun di sini tiada langsung ‘halangan konkrit’ dan pos SJR, kelihatan dua kereta wira memacu laju menghalang ke luar sempadan negeri Pulau Pinang menerusi ‘laluan tikus’ Kampung Terat Batu.

Saat cemas tersebut sempat dirakamkan oleh jurugambar yang kebetulan dalam posisi siapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Selepas insiden itu, salah seorang anggota polis dalam skuad bergerak SJR memberitahu kami bahawa kawalan pergerakan trafik dalam Ops Covid-19 sempena PKP 3.0 adalah lebih agresif di semua ‘laluan tikus’, berbanding dua siri PKP sebelum ini.

SAHABUDIN Abdul Manan

Anggota polis berkenaan turut memberitahu perkara yang sama sebagaimana dinyatakan oleh Sahabudin kepada pemberita di Komtar, semalam.

“Untuk Hari Raya Aidilfitri ini, kita akan memperketatkan operasi pemeriksaaan di SJR terutama yang masuk ke sempadan negeri Pulau Pinang, dan selepas ‘raya’ kita akan mengetatkan (pemeriksaan) yang keluar dari Pulau Pinang.

“Justeru, kalau mereka ‘terlepas’ semasa masuk (ke sempadan) Pulau Pinang, kemungkinan mereka tidak akan terlepas semasa keluar (dari sempadan negeri ini),” tegasnya sambil memberitahu polis telahpun mengenal pasti lima ‘lorong tikus’ untuk rentas ke negeri ini.

Pecah sunyi berlagukan unggas,
Tenangnya hati tidak terkira,
Kagum melihat agresifnya petugas,
Berkorban jiwa demi negara.

Itik berkejaran bersama angsa,
Hingga terjatuh ke dalam perigi,
Patuhi SOP kembalilah ke Maha Esa,
Moga COVID-19 berlalulah pergi.

Menjahit renda tepian muara,
Tegur Mak Kiah bersapa ramah,
Mengganas COVID-19 lumpuhkan negara,
Akur perintah duduklah di rumah.

Setakat ini dahulu tinjauan hari pertama pelaksanaan PKP 3.0 di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.