PINANG TUNGGAL – Masuk hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Buletin Mutiara pada pagi ini membuat tinjauan umum dan secara rawak mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berwajib di stesen-stesen minyak di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Sebanyak 13 stesen minyak ditinjau di sepanjang Jalan Chain Ferry, Bagan Ajam, Jalan Raja Uda, jalan lama ke Kepala Batas, Bertam, Kampung Setol hingga ke jalan utama ke Paya Keladi di sini.
Umumnya, rata-rata stesen minyak menyediakan plak kod QR serta mesin saringan suhu badan di pintu masuk kedai serba aneka masing-masing.
Malah, ada beberapa stesen minyak menyediakan pekerja kontrak khusus untuk memastikan semua pelanggan mematuhi SOP PKPB sebelum masuk ke kedai serba aneka mereka.
Menurut seorang pekerja am dekat Jalan Chain Ferry, majikannya turut meminta dihadkan pelanggan kepada dua orang sahaja dalam kedai serba aneka mereka pada satu-satu masa.
“Kalau boleh kita harap Pulau Pinang akan cepat bebas daripada pandemik COVID-19, kembali ke (status negeri) ‘zon hijau’,” katanya kepada Buletin Mutiara pada 11 November 2020.
Menurut seorang lagi pekerja am di sebuah stesen minyak lain, beliau paling bimbang sekiranya pandemik COVID-19 ini kembali merebak seperti pada gelombang pertama dahulu.
“Kalau wabak kembali meluas, itu yang kami bimbang…PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) atau PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) andai dilaksanakan semula, tentu akan menjejaskan jualan terutama di kedai serba aneka ini, seperti dulu,” jelasnya.
Menurutnya lagi, usaha meningkatkan pelaksanaan SOP PKPB di stesen minyak ini mungkin kerana para pengusaha stesen minyak sendiri turut berusaha untuk membantu kerajaan mengelak pelaksaaan PKP atau PKPD.
Pun begitu, sebuah stesen minyak di Bagan Ajam didapati tidak menyediakan mesin penyaring suhu badan dekat pintu masuk kedai serba aneka mereka.
Menyedari kehadiran wartawan Buletin Mutiara, wakil pengusaha lot komersial tersebut cepat-cepat memasang mesin penyaring suhu badan di luar lot komersial mereka.
“Sebenarnya mesin penyaring suhu badan memang ada dipasang di dalam kedai…dekat kaunter pembayaran.
“Kita juga turut mengehadkan pengunjung yang masuk ke kedai ini dalam satu-satu masa sebagaimana ikut SOP (PKPB),” ujarnya kepada Buletin Mutiara.
Di samping itu, seorang pengusaha stesen minyak di jalan utama berhampiran Kampung Setol turut memberi penjelasan mengenai sebab tidak memasang mesin penyaring suhu badan di pintu masuk ke kedai serba aneka beliau.
“Apa boleh buat, kedai minyak ini kecil sahaja, saya tiada pekerja, hanya saya seorang sahaja di kaunter pembayaran.
“Tetapi, untuk lawan COVID-19, saya tetap memeriksa sendiri suhu badan setiap pelanggan yang masuk ke kedai minyak ini,” katanya sambil menunjukkan buku log daftar maklumat diri bagi pelanggan yang tidak membuat imbasan kod QR di pintu masuk ke kedai serba aneka tersebut.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB