Tinjauan: Terpaksa naikkan harga makanan demi jaga citarasa pengunjung bazar Ramadan

144aafd8 1170 4124 a18b 87f03b0bd3f7 MENJELANG 4.30 petang tadi lagi sudah kelihatan papan tanda tertera ‘Murtabak Dah Habis’ dipaparkan bagi mencegah pengunjung Bazar Ramadan Jalan Tenggiri, Seberang Jaya dari beratur panjang bagi membeli martabak di gerai viral Murtabak Abang Sado di sini.

SEBERANG JAYA – Bazar Ramadan di sini tetap meriah dek pengunjung yang berpusu-pusu seawal 3.00 petang tadi, sungguhpun diselimuti cuaca begitu panas.

Kelihatan bukan sahaja umat Islam berasak-asak memburu juadah berbuka puasa, malah kesempatan yang ada turut direbut oleh pengunjung yang bukan berbangsa Melayu; mungkin untuk mengubah selera makan masing-masing di rumah menjelang malam nanti.

img 8257
GERBANG utama Bazar Ramadan Jalan Tenggiri merupakan salah satu dari empat pintu akses ke kawasan perniagaan sementara tersebut di sini.

Melihat pada pakaian seragam yang dipakai, rata-rata pengunjung adalah dari sektor awam atau sektor swasta mungkin mengambil kesempatan singgah ke Bazar Ramadan Jalan Tenggiri di sini terlebih dahulu bagi membeli juadah berbuka puasa, sebelum pulang ke rumah.

Kata seorang pengunjung, kekangan masa untuk masak di rumah memaksa beliau setiap hari singgah membeli makanan berbuka puasa, sungguhpun mengakui harga barang rata-rata naik begitu ketara.

“Bazar Ramadan 2024 ini, saya dah tak boleh membeli-belah seperti tahun-tahun sebelum ini lagi, sebab nak memenuhi kemahuan masa berbuka puasa.

“Kalau mahu sangat, hari ini saya membeli makanan A untuk berbuka puasa, mungkin esok saya membeli makanan B pula, kalau ada rezeki lebih saya akan membeli makanan C lusa di sini sebab Bazar Ramadan Jalan Tenggiri memang ada banyak makanan pilihan yang enak.

“Tidak dapat tidak harga barangan asasi dalam pasaran yang tak stabil dan kian naik sudah tentu akan meninggalkan kesan berantai pada harga jualan di bazar, jadi saya empati dengan keadaan yang terpaksa dihadapi oleh peniaga-peniaga sendiri,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS semasa ditemui di bazar tersebut pada 18 Mac 2024.

Dalam tinjauan lapangan menjelang masuk waktu Asar tadi, seorang penjawat awam turut memberikan maklum balas yang hampir sama, iaitu rata-rata harga makanan memang naik secara ketara.

“Harga makanan dari jenis kuih-muih, nasi berlauk sampailah pada makanan viral, semua dah naik harga begitu ketara di sini di bazar (Ramadan) tahun ini (2024).

“Kalau harga bawang merah dari India naik kira-kira 30 peratus dari RM6 kepada RM8 sekilogram pada bulan lepas, takkan kos berantai ini nak diserap sepenuhnya oleh peniaga sendiri, melainkan mesti dipindahkan pada harga jualan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna iaitu pengunjung bazar (Ramadan).

“Begitu juga dengan bahan mentah yang lain, walaupun harga ayam pedaging masih tidak melepasi harga siling RM11.40 (sekilogram) dan dikatakan terkawal, kenaikan harga kira-kira 30 sen sekilogram sedikit sebanyak akan meninggalkan kesan berantai juga.

“Contohnya di pasar raya mega tertentu, harga ayam pedaging kalau boleh dibeli pada harga RM6.79 sekilogram pun, kalau naik menjadi RM8 sekilogram pun – walaupun harga stabil – kenaikan kos bahan mentah itu memang terpaksa diserap sepenuhnya oleh peniaga ataupun dipindahkan sebahagiannya dalam harga jualan di bazar,” ujarnya sambil memberitahu bahawa sekalian pengunjung bazar seeloknya berbelanja secara hemah.

Seorang lagi responden, merupakan penduduk setempat di Jalan Tenggiri dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya berkata, paling penting bagi pengunjung bazar Ramadan adalah memenuhi selera berbuka puasa berbanding isu kenaikan harga barang itu sendiri.

“Yang datang ke bazar ini sebab memang tiada masa untuk memasak juadah berbuka puasa, di samping memang untuk memenuhi selera berbuka puasa walaupun sedar isu kenaikan harga barang dan sebagainya.

“Jadi, kuasa membeli rakyat di bazar Ramadan memang ‘lain sedikit’ berbanding kebiasaan di luar bulan puasa ini.

“Saya yakin penjual di bazar Ramadan sendiri sedar perkara ini, jadi pilihan yang ada sama ada terpaksa menaikkan harga barang sebab nak mengekalkan citarasa pelanggan, ataupun sebaliknya,” katanya sambil menganggap kuasa membeli rakyat di Bazar Ramadan Jalan Tenggiri 2024 tak banyak berbeza dengan musim lepas.

560b8eba 3ab1 47e9 813f 75e07291e269
ROSLI Ishak

ROSLI ISHAK, 55, yang ditemui kemudian berkata beliau berniaga Murtabak Abang Sado sejak 23 tahun lepas.

Di Bazar Ramadan Jalan Tenggiri dekat KADUN Seberang Jaya sahaja, Rosli bersama-sama isteri, SITI AIDA HARUN, 54, telah berniaga sejak lima tahun lepas, iaitu sejak tapak operasi perniagaan bazar Ramadan berpindah dari tapak belakang stesen minyak Shell Jalan Tenggiri.

“Murtabak Abang Sado ini boleh dikatakan antara gerai jualan viral yang terdapat di Bazar Ramadan Jalan Tenggiri ini.

“Mula dibuka menjelang 3.00 petang, kebiasaannya tutup menjelang jam 5.00 petang, alhamdulillah produk jualan kami masih ‘laku keras’ walaupun ekonomi agak mencabar dalam beberapa tahun belakangan ini,” katanya lagi.

Seperti kebanyakan peniaga lain di bazar tersebut, Rosli berkata beliau sendiri terpaksa menaikkan harga martabak disebabkan kenaikan harga ‘barang basah’ berkaitan terutama ayam pedaging, daging segar dan bawang merah.

“Tahun lepas (2023), harga martabak ayam dan martabak daging yang dijual di bazar ini masing-masing RM5 sebiji, tetapi pada tahun ini (2024) terpaksa dinaikkan 50 sen menjadi RM5.50 sebab kenaikan harga daging, ayam dan paling ketara naik adalah harga bawang merah.

“Walaupun ada kenaikan harga sedikit, tetapi sambutan masih ada, mungkin sebab saya dan isteri merasakan paling penting adalah menjaga citarasa pelanggan berbanding kurangkan bahan-bahan tertentu dalam masakan sebab nak elak kenaikan harga jualan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, purata jualan harian sepanjang tujuh hari di bazar Ramadan adalah sama seperti tahun lepas, iaitu lebih 300 biji.

“Sebagai peniaga kecil, tidak banyak pilihan yang ada melainkan terpaksa menaikkan sedikit harga jualan Murtabak Abang Sado ini sebab nak jaga citarasa pelanggan atau terpaksa perkecilkan saiz martabak dan bahan-bahan martabak atas sebab nak kekalkan harga macam tahun lepas (iaitu RM5 sebiji),” tegasnya lagi.

3f5a831e a710 4cf2 8f91 c9806db38753
ROSLI Ishak sendiri yang memasak martabak di gerai jualan dekat Bazar Ramadan Jalan Tenggiri, Seberang Jaya.

Rata-rata pelanggan tradisi, kata Rosli, datang dari pejabat agensi-agensi kerajaan di sini juga, selain pekerja kilang, yang mana ada beberapa pelanggan sekali tempah awal setiap hari adalah sampai 50 hingga 60 biji.

“Macam hari ini, pukul 4.30 petang, saya terpaksa menyekat awal pelanggan yang mahu membeli secara datang terus, dari beratur panjang, sebab martabak dah habis awal,” ulasnya.

Di samping itu, Rosli berkata bahawa beliau pada tahun ini turut membuka satu lagi gerai jualan di Bazar Ramadan Bertam Putera dekat kawasan Parlimen Kepala Batas, selain di sini.

“Memang ada kenaikan harga jualan kira-kira 10 peratus disebabkan kenaikan harga ‘barang basah’, tapi Murtabak Abang Sado cuba mengekalkan kandungan masakannya serta membuka gerai baharu di Bazar Ramadan Bertam Putera sebab nak memenuhi citarasa pelanggan,” jelasnya lagi.

Bercerita lanjut, Rosli berkata beliau sekeluarga akan memperluas operasi pengeluaran ‘Murtabak Abang Sado’ secara barang makan sejuk beku (frozen food) seusai Bazar Ramadan Jalan Tenggiri melabuhkan tirai operasi menjelang 1 Syawal nanti.

“Dalam dua tahun belakangan ini, sebenarnya kita telahpun mengeluarkan Murtabak Abang Sado sejuk beku secara kecil-kecilan, di samping giat mengadakan bengkel pemasaran dan masakan martabak ini dengan kerjasama FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).

“Baru dua minggu lepas, dengan bantuan FAMA, Murtabak Abang Sado telah mendapat pensijilan halal berwajib untuk mengeluarkan martabak sejuk beku (yang mana) insyaAllah akan kita perluaskan operasi dari segi pengeluaran dan pemasaran selepas habis berniaga di Bazar Ramadan Jalan Tenggiri ini,” jelasnya.

Sebarang tempahan awal Murtabak Abang Sado, boleh dibuat menerusi nombor telefon isteri, 019-597 7502.

Selain peniaga Murtabak Abang Sado, Buletin Mutiara juga berpeluang mendapatkan maklum balas berkaitan di gerai King Roti John ‘Daging – Ayam – Cheese Tarik’ dekat Bazar Ramadan Jalan Tenggiri.

Makanan viral tersebut adalah milik bersama sepasang suami isteri, AMIRUL NIZAR ROZAL, 30 dan NORSYAHIRAH ASHRI, 30.

cb35bf49 d3fe 4da8 9839 8f659639bfe8
SYAHRIL Anwar Ashri

Waktu Buletin Mutiara singgah di gerai tersebut, kelihatan SYAHRIL ANWAR ASHRI, 27, sedang sibuk mengendalikan pelanggannya secara dalam talian di platform media sosial TikTok.

Menjelang jam 5.00 petang, agak panjang juga pengunjung Bazar Ramadan Jalan Tenggiri beratur di depan gerai tersebut.

Syahril Anwar turut mengaku bahawa terpaksa menaikkan harga barang jualan mereka di bazar, dek kenaikkan harga barang-barang masakan baru-baru ini.

“King Roti John ini, empayar (perniagaan) kami di BKE Station Penanti, BKE Corner Batu Maung dan BKE Bertam, ada tiga kedai makan memang dibuka di luar bulan Ramadan sebelum ini.

“Istimewanya sempena bulan Ramadan pada kali ini, kami bukan sahaja menjual King Roti John di Bazar Ramadan Jalan Tenggiri, malah di Bazar Ramadan Bayan Lepas dan Bazar Ramadan Parit Busuk (dekat Penanti).

“Dari segi kuasa membeli rakyat, sambutan alhamdulillah, dalam lima tahun berniaga di sini (Bazar Ramadan Jalan Tenggiri sahaja), setiap hari kami boleh menjual antara 900 hingga 1,000 biji.

“King Roti John ‘biasa’ dengan saiz makanan yang berbaloi dijual pada harga RM9 sebiji, tahun lepas dijual RM8 sebiji dengan kenaikan RM1 sahaja; manakala King Roti John ‘cheese tarik’ kini dijual pada harga RM15 (berbanding tahun lepas hanya RM13).

“Dari maklum balas pengunjung yang datang terus ke gerai kami di bazar ini, juga komentar di Google dan TikTok, alhamdulillah rata-rata positif.

“Kami terpaksa menaikan harga (jualan) pun sebab terpaksa membeli barang mentah dengan harga yang agak tinggi juga pada tahun ini.

“Kalau nak mengekalkan harga (jualan) macam tahun lepas, boleh, tetapi tak dapat citarasa King Roti John yang sama seperti sebelum ini.

“Nak mengekalkan citarasa King Roti John selama lima tahun ini, kami memang terpaksa menggunakan bahan berkualiti yang sama, walaupun terpaksa menghadapi kenaikan harga barang masak… contohnya penggunaan Anchor Mozzarella – antara jenama paling berkualiti – bagi mengekalkan King Roti John ‘cheese tarik’ dengan kualiti sama dan bermutu,” jelasnya lagi.

48f9d951 863d 40eb 9e2d b364141e7fc0
GAMBAR penyediaan King Roti John ‘cheese tarik’ yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.

Ketika diminta mengulas mengenai sohor kini pengunjung sempena pengoperasi Bazar Ramadan Jalan Tenggiri pada tahun ini, dalam nada seloroh Syahril Anwar berkata “sambutan menggila” berbanding waktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lepas.

“Sambutan memang ‘menggila’ bukan sahaja di sini, malah tiga gerai niaga lain sempena Ramadan pada kali ini.

“Peniaga, memang tak ada kuasa macam sebuah kerajaan dalam mengawal dan menstabilkan harga barang asasi rakyat, jadi yang boleh kami lakukan adalah mengekalkan mutu dan kandungan King Roti John supaya selari dengan citarasa pelanggan-pelanggan kami, walaupun terpaksa menaikkan sedikit harga (jualan) di bazar Ramadan ini,” jelasnya sambil memberitahu bahawa tempahan awal boleh dibuat dengan menghubungi nombor telefon 019-282 4332.

Ada 130 tapak niaga termasuk lebih 10 makanan viral selain Murtabak Abang Sado dan King Roti John, berbaloi buat pengunjung andai kali pertama datang ke sini kelak.