Tinjauan : Tukar enjin moden sahaja, tak perlu feri ganti katamaran

KEADAAN kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang pada waktu puncak kadangkala mendorong YUSFIZAL MAT YUSOFF, 38, menunggang motosikal dengan menggunakan feri Pulau Pinang untuk menyeberang dari tanah besar Seberang Perai masuk ke bahagian Pulau.

Katanya, perjalanan lebih selamat terutama pada musim hujan atau tengkujuh.

Jadi, beliau memberitahu Buletin Mutiara bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk menggantikan feri dengan bot katamaran.

YUSFIZAL Mat Yusoff

“(Mereka) yang menggunakan feri bukan sahaja pejalan kaki, malah penunggang motosikal dan kenderaan ringan juga atas sebab keselamatan jalan raya.

“Andai digantikan dengan bot katamaran, maka pejalan kali sahaja boleh menikmati perkhidmatan itu.

“Seperkara lagi, feri ini adalah simbol dan identiti Pulau Pinang, macam mana kita tak boleh ratakan Bukit Bendera kerana ia adalah identiti negeri, begitu jugalah feri (kerana ia) adalah satu-satunya identiti negeri yang ada di Malaysia ini,” jelasnya kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB di Penang Sentral pada 9 Disember 2020.

Maka, beliau yang juga guru sekolah memberitahu bahawa beliau terkejut apabila baru-baru ini timbul kembali ura-ura untuk menggantikan feri Pulau Pinang dengan bot katamaran.

JOSEPHINE Kumarathevan

Respons yang hampir sama turut diluahkan oleh JOSEPHINE KUMARATHEVAN, 48, seorang usahawan.

Menurutnya, feri membawa nostalgia tersendiri kepada semua pihak yang berkunjung ke Pulau Pinang.

“Feri memang ada nostalgia.

“Kalau tiada lagi feri, jambatan yang telah sedia sesak akan bertambah sesak kerana penunggang motosikal dan pemandu kenderaan ringan yang selama ini menggunakan feri, tidak ada alternatif, melainkan terpaksa menggunakan Jambatan Pulau Pinang juga.

“Maka, perjalanan bagi mereka yang berniaga atau bekerja di Lebuh Gereja dan George Town akan menjadi bertambah jauh,” responsnya.

Difahamkan, sejak tahun 2016 lagi, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) sebagai firma pengendali operasi feri Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk menggunakan bot katamaran.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pada 9 Mei 2018 lepas, bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sekali lagi memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan menyatakan hasrat untuk menggantikan feri dengan bot katamaran.

Namun, selepas itu, Kerajaan Persekutuan hanya melaksanakan penstrukturan semula operasi feri Pulau Pinang di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Prasarana, dan dijenamakan semula sebagai Ferry Penang.

Menurut satu sumber, baru-baru ini GLC tersebut berhasrat untuk memulangkan semula operasi feri kepada PPSB, dengan cadangan penambahbaikan daripada pihak Kerajaan Persekutuan seperti cadangan penggantian bor katamaran.

“Hasil kutipan tambang sebenarnya langsung tak cukup untuk menanggung kos minyak dan penyelenggaraan feri tiap-tiap hari,” jelas sumber tersebut.

Lebih dari itu, PPSB turut disyor untuk menjual kesemua feri kecuali dua unit sahaja untuk tujuan koleksi bersejarah, bagi menampung sebahagian kelengkapan modal jika cadangan penggubalan bot katamaran dilaksanakan sepenuhnya di negeri ini.

ANAS Abd. Jalil

Bagi Penganalisis Ekonomi di Amanah Capital Group, ANAS ABD. JALIL, 40, pula, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menambahkan bilangan feri dengan penggunaan enjin moden, jika mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan di feri sedia ada.

“Feri sedia ada berusia 47 tahun, pakai enjin lama, yang sudah tentu menggunakan begitu banyak minyak sekaligus merosakkan alam.

“Walhal, Malaysia adalah negara yang memang ada kepakaran dalam membuat kapal, jadi bukan susah untuk kerja-kerja menukar enjin pada badan feri sedia ada dengan enjin baharu dan moden supaya lebih menjimatkan minyak serta mesra alam.

“Langkah kerajaan menambah bilangan feri dengan membina di Malaysia ini juga, sekaligus akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini,” ujarnya.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa cadangan Kerajaan Persekutuan untuk menggantikan feri dengan bot katamaran adalah tidak jelas.

“Kena tengok terlebih dahulu, katamaran jenis apa.

“Di Eropah, memang ada katamaran yang begitu besar untuk mengangkut kenderaan, tetapi harganya terlalu mahal (menurut perkiraan Kerajaan Persekutuan hari ini).

“(Susulan itu,) Kerajaan Persekutuan akhirnya mungkin akan mencadangkan untuk menggunakan jenis katamaran untuk mengangkut penumpang sahaja.

“Kalau katamaran jenis mengangkut penumpang sahaja, memang saiznya tidak besar tetapi cukup laju, namun apa pula tujuan katamaran ini kerana bukan untuk meluncur di laut lepas.

“Kalau tujuan nak pakai bot katamaran yang laju untuk mengurangkan bilangan katamaran, itu lagi tak masuk akal dan aneh.

“Sepatutnya, untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, adalah dengan menambah bilangan feri (dengan enjin baharu moden yang mesra alam), tidak perlu tukar pada bot katamaran pun,” sarannya.

Tambah beliau lagi, Pulau Pinang juga memerlukan pelabuhan yang baharu jika mahu menggunakan bot katamaran.

“Nak tukar bot katamaran konon-konon untuk menjimatkan minyak dan duit ringgit, tetapi dengan penggunakan katamaran, memerlukan kos pembinaan yang begitu besar juga untuk membina pelabuhan yang baharu,” katanya lagi.

Isu penggantian feri Pulau Pinang kembali meledak dalam media arus perdana apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini memaklumkan bahawa hanya 200,000 kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri sedia ada di negeri ini dalam tempoh setahun.

Walhal, dalam tempoh setahun juga, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam memberitahu bahawa daripada 1.5 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri, seramai 1.2 juta adalah orang awam.

KETUA Menteri yang juga Ahli Parlimen Tanjong di Dewan Rakyat.

Penjelasan Ka Siong itu sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanjong, YAB Tuan Chow Kon Yeow di Dewan Rakyat berhubung ura-ura penggantian perkhidmatan feri yang bakal dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2022.

Mewakili rakyat Pulau Pinang, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut meminta Kementerian Pengangkutan supaya menilai semula penggantian feri di negeri ini.

“Jadi, saya berharap Menteri (Pengangkutan) akan menilai kembali dan membenarkan feri sedia ada dibangunkan semula,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah, Ekonomi dan Komunikasi Pulau Pinang.