Tinjauan Umum: Pengunjung Pasar Apollo amal jarak sosial

Admin

BAGAN JERMAL – Sejumlah anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diturunkan ke Pasar Apollo dekat Jalan Raja Uda demi memastikan amalan jarakan sosial (social distancing) dipatuhi oleh para pengunjung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tinjauan umum sekitar 9 pagi tadi menyaksikan beberapa anggota polis dan inspektor kesihatan turut kelihatan bertugas di sini.

Ahli Majlis MBSP, Tan Chee Teong memberitahu bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak hari pertama pelaksanaan PKP lagi memang melakukan kerja-kerja pemantauan di semua pasar-pasar awam, termasuk di Pasar Apollo.

“Seperti pagi ini, kalau kita perhatikan, semua gerai penjaja yang menjual barang-barang bukan keperluan harian, seperti gerai baju, alat kelengkapan rumah, mainan dan sebagainya ditutup.

“Kita (penguatkuasa MBPP) cuba memastikan jarak antara pengunjung kira-kira 1 meter (m) dipatuhi, walaupun kalau kita tengok ruang antara satu tapak jaja di pasar lama ini begitu sempit.

“Secara umum, orang awam di pasar ini rata-rata mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan… tahap kesedaran rakyat terhadap bahaya COVID-19 begitu tinggi, hampir semua memakai pelitup muka (face mask), amal jarak sosial dan meminimumkan bergerak di luar rumah,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 24 Mac 2020.

Difahamkan, penguatkuasa MBSP menghadkan hanya 40 orang sahaja pengunjung berada di dalam Pasar Apollo pada satu-satu masa.

Sebelum itu, tinjauan umum turut dibuat secara umum di lima pasar awam sekitar Seberang Jaya, Sungai Dua, Penanti, Sama Gagah, Taman Selamat and Kampung Baru.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS