KEPUTUSAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan undi bagi golongan belia berusia 18 tahun telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Bukan hanya golongan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia, malah ada dalam kalangan individu berjawatan Menteri turut berkongsi rasa yang berbaur.
Tidak kurang yang menganggap keputusan SPR menggunakan alasan darurat untuk tidak melaksanakan Undi 18 sebagai membelakangi hak asasi rakyat Malaysia terutama mereka yang mencapai usia 18 tahun dan ke atas.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI pada 30 dan 31 Mac 2021 melalui status di laman Facebook mendapati rata-rata responden bersetuju dengan pelaksanaan Undi 18 dan pendapat bahawa mereka yang berusia 18 tahun mampu berfikir secara matang menjadi alasan utama.
Bagi AFDHAL ADNEY, seorang pelajar di institusi pengajian tinggi awam, menzahirkan kekecewaan apabila SPR memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18.
Mereka yang mencapai usia 18 tahun seharusnya diberikan kebenaran untuk memilih kerana sudah mampu berfikir secara matang.
“Sama seperti kebenaran mendapatkan lesen memandu pada usia 17 tahun dan lesen motosikal pada usia 16 tahun, yang mana pada usia tersebut seseorang itu lebih bertanggungjawab dan matang,” kata pemuda berusia 19 tahun itu.
Nada sama turut disuarakan oleh pengundi muda, SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN yang berpandangan bahawa usia 18 tahun sudah dikira sebagai matang dalam membuat sesuatu keputusan.
“Sekiranya pada usia 18 tahun mereka boleh mendapatkan lesen memandu, berkahwin bahkan ada juga individu yang menyertai parti politik, mengapa tidak boleh mengundi? Janganlah menganggap usia 18 tahun itu masih mentah dan tidak ‘masak’ dengan politik.
Usia 18 tahun pada zaman ini jauh berbeza berbanding usia 18 tahun berpuluh-puluh tahun lalu, yang mana kini semua maklumat hanya di hujung jari.
“Saya berharap sangat agar tempoh darurat (yang digunakan sebagai alasan penangguhan) ditamatkan dalam masa terdekat dan Parlimen boleh bersidang semula demi membawa suara anak-anak muda yang berhak mengundi selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan pada Julai 2019 lalu,” jelas gadis yang berusia 25 tahun dan bertugas sebagai Pegawai Seranta di Pulau Pinang.
Begitu juga Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), JASON RAJ yang menggesa supaya mewartakan segera pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menangguhkannya lagi.
Individu yang berumur 18 tahun sebenarnya sudah matang dan boleh berfikir serta mengambil keputusan secara relevan.
“Pada peringkat universiti, sains politik merupakan salah satu subjek yang memberi pendedahan secara teori mengenai hak asasi dalam menyuarakan pandangan.
“Malah, di sekolah, subjek seperti sejarah dan subjek yang berasaskan politik juga diajar bagi memberi pemahaman kepada pelajar khasnya peringkat menengah untuk memahami Perlembagaan negara kita,” katanya.
Seorang lagi responden yang merupakan seorang peguam, NORLIZA MOHD. ALI , 34, turut bersetuju sekiranya SPR membenarkan pelaksanaan Undi 18.
Berdasarkan undang-undang di Malaysia, mereka yang berusia 18 tahun ke atas dianggap sebagai dewasa manakala mereka yang berusia 18 tahun ke bawah adalah kategori minor atau kanak-kanak seperti yang termaktub dalam Akta Umur Dewasa 1971.
“Tambahan pula, dengan sistem pendidikan kini yang berubah dengan peredaran zaman teknologi canggih, saya percaya pemikiran mereka yang berumur 18 tahun kini adalah sama dengan mereka yang berusia 25 tahun zaman dahulu.
“Jadi, adalah wajar mereka diberikan hak untuk memilih,” responsnya.
Pendapat sama turut dikongsi oleh Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), DATUK FINN CHOONG KHUAT SENG.
Menurutnya, masa depan negara bergantung sepenuhnya kepada generasi muda kini, maka pendapat serta pandangan mereka wajar diberi perhatian.
Sebagai contoh projek infrastruktur Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dijangka mengambil masa selama 40 untuk pelaksanaan penuh, jika ditanya kepada saya, saya sendiri tidak pasti sama ada saya masih dapat menikmatinya nanti atau tidak.
“Tetapi, jika ditanya anak-anak saya, mereka mungkin akan menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan kita masa ini.
“(Dan) atas dasar itu, adalah wajar untuk kita menyokong pelaksanaan Undi 18, dengar suara anak-anak muda kini demi masa depan anak-anak kita yang lebih cerah dan terjamin,” katanya.
Turut berkongsi pandangan ialah JUDITH KAVITHRA, 21, seorang pelajar kolej; OOI BOON SHENG (Ahli Majlis MBSP); G. SIVANATHAAN (jurutera di salah sebuah kilang terkemuka di Pulau Pinang) dan SAKINAH DAHALAN (Pembantu Pegawai Penyelaras KADUN Penaga) yang mana semuanya yakin bahawa kini masanya hak dan suara anak-anak muda didengari bukan sahaja dengan memberi peluang kepada golongan muda memimpin tetapi juga memilih.
Pelaksanaan Undi 18 melibatkan tiga perkara iaitu umur layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun; umur layak menjadi calon diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran warganegara yang layak sebagai pemilih adalah secara automatik.
Pada 16 Julai 2019, secara majoriti Ahli Parlimen menyokong pindaan Perenggan (b) Perkara 47, Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur warganegara layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat kepada 18 tahun termasuk pindaan Perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 untuk menurunkan umur seorang warganegara layak mengundi kepada 18 tahun.
Walau bagaimanapun, pada 25 Mac lalu, SPR membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun hadapan.