TKM 1 puji prestasi pasukan polis bantuan PBAHB

Admin
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman membuat pemeriksaan perbarisan pasukan polis bantuan PBHSB dalam acara berkaitan di rizab parkir Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini pada 3 November 2022.

SUNGAI DUA – Sejak pasukan polis bantuan Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) ditubuhkan pada tahun 2013 hingga kini, seramai 173 anggota bertanggungjawab dalam melindungi pemasangan bekalan air di seluruh negeri.

Selama tempoh itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata beliau bangga kerana tidak ada isu keselamatan yang serius berlaku dalam pemasangan bekalan air negeri.

“Kehidupan harian dan perniagaan di Pulau Pinang bergantung pada perkhidmatan bekalan air yang selamat.

“Sejak sembilan tahun dahulu, saya dapati tiada isu keselamatan yang serius berlaku dalam pemasangan bekalan air Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti dalam Majlis Perbarisan Pemakaian Pangkat dan Logo Polis Bantuan di rizab tapak parkir Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dekat Merbau Kudung di sini pada 3 November 2022.

Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal turut merakamkan penghargaan kepada 39 konstabel yang telah menamatkan kursus asas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) termasuk kenaikan pangkat seorang sarjan mejar, kenaikan pangkat koperal kepada sarjan dan kenaikan pangkat tiga konstabel kepada koperal.

Bagi beliau, tugas sekalian anggota pasukan polis bantuan PBAHB dalam menjaga aset-aset air negeri di muka sauk Lahar Tiang, Terusan Sungai Dua sepanjang 14 kilometer (km), empangan-empangan negeri, sembilan LRA, sembilan rumah pam utama, 58 kolam air terawat dan sebagainya wajar dipuji oleh semua pihak.

“Ketika menjaga premis-premis ini, mereka juga perlu mesra pelanggan kerana PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) adalah syarikat perkhidmatan awam yang penting.

“Saya harap mereka akan terus menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab demi kebaikan Pulau Pinang dan rakyatnya,” jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PBAHB.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa yang berucap sebelum pada itu berkata agensi negeri tersebut membuat pelaburan besar dalam aspek bekalan air untuk melindungi kepentingan 1.77 juta penduduk dan semua perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang.

Selepas itu, Jaseni dan beberapa tetamu lain mengiringi Ahmad Zakiyuddin ke majlis pelancaran fasa 1 Pusat Kawalan Kamera Litar Terutup (CCTV) Seberang Perai di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS