TKM I perjelas tempoh masa dana tawaquf mesti dibelanjakan

Admin
mohamad abdul hamid MOHAMAD Abdul Hamid semasa membuat sesi penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau PInang Ke-15 di sini pada 28 November 2024.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta anak syarikatnya, Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah membuat perancangan untuk menganjurkan program atau membelanjakan dana tawaquf di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata lapan daripada 12 program yang dirancang telahpun siap dilaksanakan.

Salah satu program yang telah siap dilaksanakan, menurutnya lagi, adalah berkaitan bangunan ssrama di Mesir dengan peruntukan sebanyak RM11.2 juta demi memastikan kemudahan pendidikan dan penginapan pelajar di luar negara terus terpelihara.

Penjelasan Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat tersebut dalam sesi pengulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undang Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 November 2024, sekali gus menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Azmi Alang.

ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah dalam sesi celahan selepas itu turut meminta penjelasan lanjut mengenai sebab dana tawaquf tersebut tidak dibelanjakan mengikut had tempoh enam bulan seperti yang ditetapkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebelum ini.

Dalam reaksi lanjut, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP memberitahu, di Pulau Pinang sahaja terdapat ‘dana tawaquf’ iaitu baki dana kutipan zakat yang mesti diagihkan dalam tahun semasa, mesti dibelanjakan dalam had tempoh enam bulan pada tahun berikutnya sebahagaimana difatwakan sebelum ini.

Namun, mengambil kira perancangan pembangunan semasa yang melebihi tempoh enam bulan, Mohamad yang juga ADUN Batu Maung memberitahu bahawa mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang membenarkan dana tawaquf itu dibelanjakan dalam tempoh 12 bulan berikutnya dengan had maksimum perbelanjaan adalah selama 10 tahun mengikut tahun semasa ia tidak dibelanjakan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR