TKM I serah dana kemanusiaan Palestin bernilai RM1,223,516.28 kepada PCOM

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyerahkan sumbangan dana kemanusiaan Palestin bernilai RM1,223,516.28 kepada Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM).

 

 

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid kepada Pengerusi PCOM, Baderedin Seyam dekat pejabat MAINPP, Menara JKP di sini petang tadi.

 

 

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50,000 telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri sebagai tanda solidariti ke atas rakyat Palestin yang dizalimi oleh rejim Zionis manakala selebihnya adalah sumbangan orang ramai, pihak-pihak korporat dan lain-lain.

 

 

“Sepanjang kutipan dijalankan (13 hingga 29 Oktober) beberapa aktiviti seperti Himpunan Aman Solidariti Rakyat  Palestin di perkarangan Masjid Negeri seusai solat Jumaat pada 13 Oktober, pameran memperingati Gaza di Masjid Jamek Simpang Tiga, Tasek Gelugor dan Himpunan akasih Gaza yang menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda pada 29 Oktober lalu.

 

 

“Di samping itu, masjid dan surau seluruh negeri Pulai Pinang turut melaksanakan Qunut Nazilah dalam solat Jumaat dan solat hajat secara serentak pada 13 dan 20 Oktober lepas sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin,” ujar Mohamad yang juga Yang DiPertua MAINPP dalam satu majlis ringkas petang tadi.

 

 

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol;  Timbalan Yang DiPertua MAINPP, Dato’ Dr. Roslan Ahmad; Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain dan Pengarah Friends of Palestine Network, Faiz Muhammad Nawi.

 

Baderedin dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada MAINPP dan Kerajaan Negeri yang cakna akan nasib negaranya yang disekat kemudahan hak asasi selain berdepan tindakan ketenteraan.

 

Difahamkan sumbangan melalui MAINPP masih dibuka kepada orang ramai yang masih mahu menyampaikan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui akaun (Bank Islam) khas MAINPP di nombor 07025010036936.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD