TKM I seru mahasiswa libatkan diri dalam agenda memperkasa komuniti negeri

PINANG TUNGGAL – Mahasiswa kelahiran negeri Pulau Pinang diseru untuk melibatkan diri dalam program memperkasa komuniti lokal, sungguhpun dihambat dengan tanggungjawab belajar di universiti.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata demikian semasa menyempurnakan acara perasmian acara ‘Hero Komuniti Perdana: UniSZA Cakna’ yang berlangsung dekat Dewan Masjid Abdul Fahim, Kepala Batas pada 8 Januari 2021.

Baginya, program operasi khidmat masyarakat yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan memberi peluang kepada mahasiswa kelahiran negeri ini untuk menimba ilmu serta pengalaman ‘di luar bilik kuliah’.

“Saya difahamkan dalam program selama tiga hari ini akan ada majlis agihan sumbangan, gotong royong dan sebagainya.

“Program sebegini akan melatih para peserta dan pemimpin mahasiswa untuk saling berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat, seterusnya turut menyumbang kepada agenda memperkasakan lagi komuniti setempat di negeri ini,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal memberitahu bahawa acara sebegini juga dapat mengasah bakat kepemimpinan dalam kalangan pemimpin mahasiswa dan muda-mudi untuk memimpin komuniti lokal pada masa hadapan.

Justeru, beliau mewakili Kerajaan Negeri mengalu-alukan lebih banyak organisasi berkaitan mahasiswa tampil serta turut membantu Kerajaan Negeri merealisasikan agenda memperkasa komuniti.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, pengarah program tersebut, Nurul Izzah Marzuki merakamkan penghargaan kepada Pejabat Timbalan Ketua Menteri I serta pentadbir Masjid Abdul Fahim atas kerjasama dalam menjayakan operasi khidmat masyarakat anjuran pertubuhan mahasiswa universiti awam tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD DAUD