TKM II hasrat bertemu JPA, bincang syor serapkan ‘Wira Oren’ MBSP ke jawatan tetap

Admin

GEORGE TOWN – Garis panduan sedia ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu dilonggarkan di peringkat Putrajaya sekirannya Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyerap ‘Wira Oren’, iaitu kakitangan kontrak yang bekerja di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ke perjawatan tetap.

PROF. Dr. P. Ramasamy.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata salah satu halangan pekerja kontrak berkenaan diserap ke perjawatan tetap adalah disebabkan mereka tidak mendapat kredit subjek bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita tertakluk kepada syarat JPA yang mengatakan pengambilan staf sama ada pekerja am atau sebagainya, mesti kredit dengan kepujian dalam bahasa Melayu (iaitu sekurang-kurangnya gred C) dalam SPM.

“Kebanyakan ‘Wira Oren’ MBSP mempunyai rekod kerja yang sangat bagus dalam kerja-kerja 3D (bahaya, kotor dan sukar) tetapi mereka tidak boleh diserapkan sebagai pekerja tetap kerana tiada SPM.

“Dalam mesyuarat Exco (Kerajaan Negeri) juga pernah dibincangkan mengenai hal ini, selepas itu, kita (Kerajaan Negeri melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan) wujudkan skim pekerjaan kontrak yang akan diperbaharui setahun demi setahun,” jelasnya kepada pemberita seusai menyampaikan ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 dekat Dewan Sri Pinang, pagi ini.

Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi memberitahu bahawa pihaknya mungkin akan membangkitkan sekali lagi dalam Mesyuarat Majlis Exco Kerajaan Negeri berhuhung isu perjawatan kontrak membabitkan ‘Wira Oren’ MBSP dan ‘Pekerja 3D’ Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kelak.

“Semua pekerja kontrak adalah rakyat Malaysia, pekerja yang rajin, tidak ada sebab untuk saya sendiri untuk berbincang dan bawa isu mereka sekali lagi ke mesyuarat Exco.

“Sama ada JPA boleh longgarkan syarat seperti kredit dalam bahasa Melayu di peringkat SPM, kalau diluluskan dalam Mesyuarat Exco, kemudian kita (Kerajaan Negeri) akan tulis surat kepada JPA,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

M. Satees.

Sebelum itu, ADUN Bagan Dalam, M. Satees dalam sesi celahan antara lain bertanya Ramasamy sama ada Kerajaan Negeri berhasrat atau tidak untuk menyerap kakitangan kontrak ‘Wira Oren’ MBSP ke perjawatan tetap.

“Kalau Wira Oren bekerja kontrak dalam satu tahun atau dua tahun, saya boleh faham mengenai kedudukan perjawatan kontrak mereka.

“Tapi, ada Wira Oren memang bekerja begitu rajin dan kerja begitu lama dengan MBSP sehingga lebih lapan tahun. Dengan perjawatan kontrak mereka kalau terjadi perkara yang tidak diingini ketika menjalankan kerja-kerja 3D, saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana nasib mereka dan keluarga.

“Jadi, ingin saya bertanya kepada YB Perai, adakah pada masa hadapan kita (Kerajaan Negeri) ada perancangan untuk ‘Wira Oren’ daripada berjawatan kontrak kepada jawatan tetap,” tanya beliau.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: LAW SUUN TING