TKM1 beri watikah pelantikan 59 MPKK Daerah Barat Daya

BAYAN LEPAS – 59 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Peringkat Daerah Barat Daya Penggal 2019/2010 yang baru menerima watikah pelantikan pada petang ini, diharap dapat saling bekerjasama dengan Pejabat Daerah terutama para penghulu bagi memgenalpasti kawasan seliaan masing-masing.
Ketika berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu, tujuan utama MPKK adalah membuat perancangan dan menggerakkan komuniti di peringkat kampung.
“Secara keseluruhan, terdapat sejumlah 59 MPKK…jumlah ini merangkumi tambahan lagi sembilan MPKK baru.
“Pertambahan ini akan menyebabkan perubahan kepada persempadanan MPKK sendia ada.
“MPKK juga merupakan perantara di peringkat akar umbi yang menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan kepada pihak berkuasa atau pihak yang berkaitan, terhadap sesuatu yang timbul,” jelasnya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPKK Peringkat Daerah Barat Daya Penggal 2019/2020 pada 14 Februari 2019 di Kompleks Tabung Haji di sini.
Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim turut sertai majlis tersebut.
Hadir sama, Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Pengarah Tabung Haji Negeri Pulau Pinang, Abdul Shukur Jangga.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat memberitahu MPKK adalah penjenamaan semula daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).
“Pengerusi dan Setiausaha akan mendapat elaun (bulanan) pada kadar yang sama seperti tahun lepas (2018), masing-masing RM700 dan RM600,” jelasnya yang juga ADUN Pinang Tinggal.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB